Images
  • nahas lombok
    Seorang lelaki sedang menerima rawatan di hospital menyusuli kejadian tanah runtuh di Lombok. (Gambar: Search and Rescue Mataram/AFP)

2 orang terkorban ekoran tanah runtuh Lombok

JAKARTA: Sekitar 35 pelancong luar negara dan tempatan dipercayai terperangkap manakala dua lagi terkorban akibat kejadian tanah runtuh di sebuah tapak air terjun di pulau peranginan Lombok, Indonesia hari ini (17 Mac).

Dua gempa bumi sederhana menggegarkan Lombok, mencetuskan tanah runtuh ketika sekitar 40 rakyat Malaysia dan pelancong tempatan mengunjungi air terjun Tiu Kelep di bahagian utara pulau berkenaan, kata Muhammad Rum, ketua agensi bencana Nusa Tenggara Barat kepada Kompas TV.

Encik Muhammad Rum berkata setakat ini, hanya tiga daripada 40 pelancong berjaya diselamatkan semasa operasi mencari dan menyelamat. Dua individu ditemui maut akibat kejadian tersebut.

"Kami berharap mereka semua selamat. Namun kami tidak pasti kerana operasi mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan," kata Encik Rum.

Beliau tidak dapat mengesahkan kerakyatan mangsa ataupun mereka yang berjaya diselamatkan.

Kejadian gempa bumi dan gegaran susulan yang melanda Lombok pada tahun lalu mengorbankan hampir 500 orang. Ia juga menyebabkan kerosakan besar ke atas bangunan-bangunan dan prasarana awam, dianggarkan bernilai sejumlah AS$500 juta (S$675 juta).

Sementara itu, banjir kilat dan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di wilayah Papua di bahagian timur Indonesia meragut nyawa sekurang-kurangnya 58 orang. Menurut pihak berkuasa hari ini (17 Mac), bencana itu turut mencederakan berpuluh-puluh yang lain dan menyebabkan lebih 4,000 penduduk kehilangan rumah mereka.

- Reuters/AI/ai

Top