Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 nelayan Indonesia yang diculik Abu Sayyaf sudah dibebaskan

Dua nelayan rakyat Indonesia yang diculik oleh Abu Sayyaf di perairan Sabah, Malaysia lebih setahun lalu sudah dilepaskan oleh kumpulan militan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
2 nelayan Indonesia yang diculik Abu Sayyaf sudah dibebaskan

Gambar fail bot nelayan di Lat Sulu. (Gambar: AFP/Therence Koh)

Diterbitkan : 20 Jan 2018 09:06PM Dikemas Kini : 20 Jan 2018 09:09PM

JAKARTA: Dua nelayan rakyat Indonesia yang diculik oleh Abu Sayyaf di perairan Sabah, Malaysia lebih setahun lalu sudah dilepaskan oleh kumpulan militan itu.

Kementerian Ehwal Luar Indonesia menyatakan lelaki-lelaki berkenaan dilepaskan semalam (19 Jan) dari lokasi di mana mereka ditahan di Sulu, iaitu bahagian selatan Filipina.

Konsulat agung Indonesia di Davao dan kedutaan Indonesia di Manila sedang menyelaras dengan pihak berkuasa untuk memudahkan kepulangan dua rakyat Indonesia itu.

"Kedua-dua rakyat Indonesia itu adalah La Utu bin Raali dan La Hadi bin La Adi. Mereka adalah nelayan dari Wakatobi, tenggara Sulawesi dan diculik oleh Abu Sayyaf dari dua bot berasingan pada 5 November 2016 berdekatan perairan Kertam, Sabah, Malaysia," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini (20 Jan).

Sebaik sahaja dibebaskan, kedua-dua nelayan itu ditempatkan di pangkalan Pasukan Bertindak Bersama di Sulu.

Mereka dijangka diterbangkan ke Zamboanga menaiki helikopter. Dari sana, mereka akan kembali ke Indonesia setelah memperolehi pelepasan daripada pihak berkuasa imigresen Filipina.

Pada 8 November 2016, tiga hari setelah insiden penculikan itu, Menteri Ehwal Luar Indonesia, Retno Marsudi mengunjungi pelabuhan Sandakan di Sabah untuk mengadakan pertemuan dengan nelayan tersebut dan juga ratusan nelayan lain.

Semasa lawatan itu, beliau berjanji bahawa pemerintah Indonesia akan berusaha gigih untuk memastikan kedua-dua nelayan dibebaskan.

Kegiatan serangan lanun dan rompakan bersenjata ke atas kapal-kapal meningkat lebih seganda di Filipina pada tahun lalu berbanding 2016.

Ini termasuk penculikan anak kapal di selatan Filipina, dengan para militan menyasarkan para pelaut di rantau itu, menculik mereka dan seringkali menuntut pampasan sebelum mereka dibebaskan.

Pada bulan Jun tahun lalu, Indonesia, Malaysia dan Filipina melancarkan rondaan maritim secara bersama untuk membanteras pengganasan dan jenayah rentas negara di Laut Sulu.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan