Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 mayat dipercayai kru kapal korek pasir dekat Muar, ditemui di perairan Indonesia

Dua lagi mayat dipercayai kru kapal korek pasir yang terbalik di perairan 12 Batu Barat, Tanjung Tohor, dekat Muar pada 21 Mac lalu, ditemui di kawasan perairan Pulau Rupat, Indonesia pada 29 Mac.

Anggaran Waktu Membaca:
2 mayat dipercayai kru kapal korek pasir dekat Muar, ditemui di perairan Indonesia

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Apr 2018 07:04PM Dikemas Kini : 01 Apr 2018 07:09PM

JOHOR BAHRU: Dua lagi mayat dipercayai kru kapal korek pasir yang terbalik di perairan 12 Batu Barat, Tanjung Tohor, dekat Muar pada 21 Mac lalu, ditemui di kawasan perairan Pulau Rupat, Indonesia pada 29 Mac.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata kedua-dua mayat itu ditemui sekitar 88 kilometer dari tempat kejadian oleh Badan SAR National (BASARNAS) Indonesia pada 1.00 petang waktu tempatan.

Menurut beliau, pihak BASARNAS memaklumkan pihaknya pada petang hari tentang penemuannya dan ia masih belum dapat dikenal pasti.

"Pihak ejen kapal dimaklumkan bagi menghantar wakil ke sana untuk proses pengecaman indentiti serta urusan selanjutnya.

"Kita tidak menolak kemungkinan mayat yang dijumpai di Indonesia adalah mangsa yang kita cari dan berdasarkan penemuan terbaru ini, enam mayat sudah ditemukan," dedah beliau hari ini (1 Apr).

Kapten Sanifah berkata sehingga kini, dua mayat sudah dikenal pasti manakala empat lagi masih menunggu hasil pemeriksaan.

Tambahnya, sehingga hari ini lima mangsa ditemui selamat dan dibenarkan keluar dari hospital dan tujuh lagi anak kapal masih dilaporkan hilang.

Operasi mencari dan menyelamat kru Kapal JBB Rong Chang 8 itu, memasuki hari ke-12 dengan tempoh pencarian hampir 280 jam sejak operasi dimulakan pada 9.00 pagi, 21 Mac lalu.

Usaha mencari saki baki kru kapal malang berkenaan ditumpukan di perairan Melaka hingga Tanjung Tohor, Muar, dengan keluasan pencarian hampir 1500 kilometer persegi.

Dalam pada itu, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meminta orang ramai menghubungi talian hotline Maritim Malaysia jika terlihat atau menjumpai mangsa-mangsa di sekitar kawasan pencarian.

Orang ramai juga diingatkan untuk berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut dan sentiasa mengutamakan keselamatan.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan