Images
  • california plane crash
    Tapak nahas sebuah pesawat kecil di Santee, California. (Gambar: AP/Gregory Bull)

2 maut, rumah terbakar setelah pesawat terhempas di kawasan perumahan California

SANTEE, California: Sebuah pesawat enjin berkembar yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terkorban dan kehancuran di pinggir bandar San Diego menjunam ke darat selepas menerima amaran berulang bahawa ia sedang terbang terlalu rendah.

Demikian menurut satu rakaman.

Kapal terbang Cessna 340 itu terhempas pada sebuah van UPS, membunuh pemandunya, sebelum merempuh rumah-rumah sejurus selepas tengah hari Isnin (11 Okt) di Santee, iaitu sebuah kawasan pinggir bandar dengan 50,000 penduduk. Juruterbang itu juga dipercayai meninggal dunia, dan sekurang-kurangnya dua orang di darat cedera, termasuk seorang wanita yang dibantu oleh jiran untuk keluar daripada sebuah rumah yang terbakar.

Seorang penyiasat daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional dijangka tiba di tempat kejadian Selasa pagi (12 Okt), menurut catatan agensi itu.

Pesawat itu sedang dalam perjalanan untuk mendarat di Lapangan Terbang Montgomery-Gibbs Executive di San Diego apabila ia terhempas. Tidak lama sebelum itu, ketika pesawat berada sekitar 800 meter dari landasan, pengawal lalu lintas udara memberi amaran kepada juruterbang bahawa pesawat itu terlalu rendah.

"Amaran ketinggian rendah, segera naik, naikkan pesawat," pengawal memberitahu juruterbang dalam petikan audio yang diperoleh oleh KSWB-TV.

Pengawal itu berulang kali menggesa pesawat naik ke ketinggian 5,000 kaki, dan apabila ia kekal pada ketinggian 1,500 kaki, beliau memberi amaran: "Anda nampak sedang menjunam lagi, tuan."

Pesawat itu dimiliki oleh Dr Sugata Das, yang mungkin menerbangkan pesawat itu dan meninggal dunia dalam nahas tersebut.

Dr Das bekerja di Pusat Perubatan Wilayah Yuma di Arizona, kata ketua pegawai perubatan hospital tersebut.

Dr Das, seorang juruterbang berlesen, tinggal di San Diego dan berulang-alik ke Yuba, menurut laman web untuk badan bukan meraih keuntungan yang mana beliau memegang jawatan pengarah. Beliau meninggalkan dua anak lelaki.

United Parcel Service of America (UPS) mengesahkan salah seorang pekerjanya meninggal dunia, walaupun nama pekerja tersebut tidak segera didedahkan.

Orang-orang yang berada jauh dari tempat kejadian mengatakan bahawa rumah mereka bergegar akibat hentaman nahas yang dahsyat itu.

- AP/TQ/tq

Top