Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 maut dalam tindakan keras polis Myanmar tangani tunjuk perasaan

Polis Myanmar menembak dan membunuh dua penunjuk perasaan pada Ahad (28 Feb) dan mencederakan beberapa yang lain, menurut seorang doktor dan ahli politik.

Anggaran Waktu Membaca:
2 maut dalam tindakan keras polis Myanmar tangani tunjuk perasaan

Gas pemedih mata dilepaskan ke arah penunjuk perasaan di Yangon, Myanmar pada 28 Feb 2021 (Gambar: AP photo)

Diterbitkan : 28 Feb 2021 03:28PM Dikemas Kini : 28 Feb 2021 03:34PM

YANGON: Polis Myanmar menembak dan membunuh dua penunjuk perasaan pada Ahad (28 Feb) dan mencederakan beberapa yang lain, menurut seorang doktor dan ahli politik.

Ia berlaku sedang polis mengambil tindakan keras untuk cuba menamatkan tunjuk perasaan yang berlarutan selama beberapa minggu membantah rampasan kuasa tentera 1 Februari.

Polis melepaskan tembakan di bandar Dawei, menyebabkan satu kematian dan mencederakan beberapa orang, kata ahli politik Kyaw Min Htike kepada Reuters dari bandar selatan itu. Saluran media Dawei Watch juga melaporkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan belasan cedera.

Polis juga melepaskan tembakan di bandar utama Yangon, di mana seorang lelaki dibawa ke hospital setelah terkena peluru di bahagian dada lalu meninggal dunia, kata seorang doktor di hospital yang tidak ingin identitinya didedahkan. Media Mizzima juga melaporkan kematian tersebut.

Polis dan jurucakap majlis tentera yang berkuasa tidak menjawab panggilan telefon meminta ulasan.

Myanmar dilanda pergolakan selama sebulan sejak pihak tentera merampas kuasa dan menahan ketua parti memerintah, Aung San Suu Kyi, serta sebahagian besar pemimpin partinya, atas dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya November lalu yang mana parti Cik Suu Kyi menang besar.

Rampasan kuasa itu, yang menghambat kemajuan demokrasi Myanmar setelah hampir 50 tahun di bawah pemerintahan tentera, mendorong ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan raya selain mencetuskan kecaman negara-negara Barat, dengan beberapa daripadanya mengenakan sekatan terhad.

Di Yangon, sebilangan orang, termasuk yang berlumuran darah, dibantu keluar dari kawasan tunjuk perasaan, menurut gambar yang ditunjukkan oleh pihak media.

Tidak jelas bagaimana mereka terluka, tetapi media melaporkan terdapat tembakan peluru hidup. Kumpulan media Myanmar Now melaporkan bahawa orang-orang "ditembak mati" tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Polis juga melemparkan bom gamam (stun grenade), menggunakan gas pemedih mata dan melepaskan tembakan ke udara, kata para saksi.

Pemimpin junta Jeneral Min Aung Hlaing berkata pihak berkuasa menggunakan kekuatan minimum untuk menangani tunjuk perasaan tersebut.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan maut dalam kemelut tersebut. Pihak tentera menyatakan seorang anggota polis terbunuh.

Tindakan keras itu menunjukkan kesungguhan pihak tentera untuk menegakkan kewibawaannya dalam menghadapi tentangan yang meluas, tidak hanya di jalan-jalan raya tetapi lebih meluas lagi di kawasan seperti perkhidmatan awam, pentadbiran perbandaran, sektor pendidikan dan kesihatan serta media.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan