Images
  • bushfire australia 9 nov
    Kebakaran belukar di Australia (Gambar: AFP/Kelly-ann Oosterbeek)

2 maut, 100 rumah musnah akibat kebakaran belukar di Australia

MELBOURNE: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 100 rumah musnah akibat kebakaran belukar paling dahsyat di timur Australia, menurut pihak berkuasa pada Sabtu (9 Nov).

Pemimpin New South Wales Gladys Berejiklian berkata tujuh orang masih belum ditemui, sedang para anggota bomba berusaha untuk mengawal puluhan kebakaran belukar yang tercetus sejak Jumaat.

"Dengan berat hati saya memaklumkan jumlahnya akan terus meningkat sepanjang hari" katanya mengenai angka korban, sambil menambah bahawa meskipun keadaan bertambah baik pada Sabtu, ramalan cuaca minggu depan "mungkin bermakna keadaan buruk masih belum berlalu."

Pasukan khidmat kecemasan menyatakan bahawa para anggotanya menemui mayat di dalam kereta dan seorang wanita lain pula meninggal dua meskipun anggota paramedik berusaha selama berjam-jan untuk menyelamatkannya.

"Buat masa ini, sekurang-kurangnya 100 rumah musnah dalam kebakaran belukar semalam," menurut pihak bomba pada awal Sabtu.

Lebih 30 orang cedera, kebanyakannya anggota bomba.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata jumlah besar kebakaran adalah sesuatu yang "sangat membimbangkan". Beliau menggesa para penduduk supaya "terus berhati-hati" dan "mematuhi arahan khidmat kecemasan".

"Saya diberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan kita bersiap sedia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan," tulis beliau di Twitter.

- AFP/Reuters/TQ/tq

Top