Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 lelaki termasuk dalang sindiket penculikan ditembak mati polis

Polis menembak mati dua lelaki Bangladesh, termasuk dalang sindiket penculikan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mudun, Batu 9, Cheras, awal Selasa (12 Feb), dan menyelamatkan seorang lelaki yang diculik kumpulan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki termasuk dalang sindiket penculikan ditembak mati polis

Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Diterbitkan : 13 Feb 2019 08:58AM Dikemas Kini : 13 Feb 2019 09:01AM

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati dua lelaki Bangladesh, termasuk dalang sindiket penculikan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mudun, Batu 9, Cheras, awal Selasa (12 Feb), dan menyelamatkan seorang lelaki yang diculik kumpulan itu.

Kumpulan itu dipercayai terlibat secara langsung dalam 13 kes penculikan warga asing di sekitar ibu negara melibatkan wang tebusan kira-kira RM2.5 juta (S$834,000).

Kedua-dua mereka yang ditembak mati dalam kejadian pada 1.35 pagi itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Encik Mazlan Lazim berkata polis menemui sepucuk pistol jenis Glock 9mm serta sebilah parang panjang di sisi kedua-dua lelaki yang ditembak mati itu.

“Dalam serbuan awal pagi tadi, polis sudah diancam dengan beberapa tembakan yang dilepaskan suspek menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan balas dan berjaya menembak mati kedua-dua mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Encik Mazlan berkata menyusuli kejadian itu, polis melancarkan operasi susulan mengesan anggota sindiket itu dan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an.

“Hasil penahanan dua lelaki tempatan itu, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza disyaki digunakan untuk menculik mangsa,” katanya tanpa mendedahkan waktu dan lokasi mereka ditahan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kumpulan itu turut terlibat dalam kejadian culik dan bunuh lelaki Bangladesh di bawah jambatan Pasar Pudu off Jalan Yew pada 13 Jan lalu.

Encik Mazlan berkata operasi itu, menyusuli laporan berhubung penculikan seorang lelaki warga Bangladesh di Jalan Ipoh pada Jumaat lepas, dan penculik meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 (S$67,000) daripada keluarga mangsa yang berada di Bangladesh.

Lelaki berusia 30-an yang diculik itu ditemui selamat dalam sebuah bilik di rumah berkenaan selepas polis menembak mati dua warga Bangladesh itu, katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan