Images
  • GORILA
    (Gambar: Ken Bohn/Taman Safari San Diego)

2 gorila di Taman Haiwan San Diego positif COVID-19

LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya dua ekor gorila di Taman Haiwan San Diego di California dijangkiti COVID-19, kejadian pertama yang dilaporkan membabitkan penularan terhadap spesies beruk besar itu, kata para pegawai pada Isnin (12 Jan).

Dua gorila itu mula batuk minggu lalu dan sejak itu diuji positif COVID-19, sementara beruk ketiga menunjukkan gejala, kata Gabenor Gavin Newsom.

Haiwan-haiwan itu disyaki dijangkiti virus daripada seorang kakitangan zoo yang tidak mengalami gejala, walaupun ini masih belum dapat disahkan.

"Selain mengalami sesak nafas dan batuk, gorila itu dalam keadaan baik," kata pengarah eksekutif taman haiwan terkenal dunia itu, Lisa Peterson dalam satu kenyataan.

"Semua gorila terbabit tetap dikuarantin bersama dan tidak ada masalah makan dan minum. Kami berharap ia sembuh sepenuhnya."

Kajian mendapati beberapa primat bukan manusia terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Masih tidak diketahui sama ada gorila-gorila itu akan mengalami tindak balas serius terhadap penyakit yang telah meragut nyawa 1.94 juta manusia, atau sama ada anggota lain kumpulan haiwan itu juga dijangkiti.

Taman Safari San Diego, tempat gorila itu disimpan, ditutup kepada pengunjung sejak awal Disember apabila jumlah jangkitan mencapai paras rekod di California Selatan.

Para pekerja dkehendaki memakai peralatan pelindungan peribadi seperti pelitup apabila mendekati gorila, kata pihak taman haiwan itu.

- AFP/TQ/na

Top