Images
  • pfizer astrazeneca vaccine
    (Gambar: AFP)

2 dos vaksin Pfizer, AstraZeneca berkesan lawan varian Delta

LONDON: Dua dos vaksin Pfizer atau AstraZeneca hampir sama berkesan bagi melawan jangkitan varian Delta yang sangat mudah berjangkit berbanding dengan varian Alpha yang sebelum ini dominan, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Rabu (21 Jul).

Menurut para pegawai, kedua-dua vaksin itu sangat berkesan terhadap varian Delta, yang kini adalah varian dominan di seluruh dunia. Bagaimanapun, kajian itu menegaskan bahawa satu suntikan vaksin saja tidak cukup untuk memberikan perlindungan yang tinggi.

Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine (Jurnal Perubatan New England) itu turut mengesahkan penemuan utama yang dikeluarkan oleh Kesihatan Awam England pada Mei mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Oxford-AstraZeneca, berdasarkan data dunia nyata.

Kajian pada Rabu mendapati bahawa dua dos suntikan vaksin Pfizer adalah 88 peratus berkesan dalam mencegah penyakit bergejala akibat jangkitan varian Delta, berbanding 93.7 peratus terhadap varian Alpha, rata-rata sama seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dua suntikan vaksin AstraZeneca 67 peratus berkesan terhadap varian Delta, meningkat daripada 60 peratus yang dilaporkan pada awalnya, dan 74.5 peratus berkesan terhadap varian Alpha, berbanding dengan keberkesanan 66 peratus yang dilaporkan sebelum ini.

"Perbezaan ketara yang keberkesanan vaksin dicatatkan berhubung varian Delta dibandingkan dengan varian Alpha setelah mendapatkan dua dos vaksin," tulis penyelidik Kesihatan Awam England (PHE) dalam kajian tersebut.

Data dari Israel menganggarkan tahap keberkesanan yang lebih rendah bagi suntikan vaksin Pfizer terhadap penyakit bergejala, namun perlindungan terhadap penyakit yang teruk masih tinggi.

PHE sebelum ini menyatakan bahawa dos pertama daripada salah satu vaksin itu adalah sekitar 33 peratus berkesan terhadap penyakit bergejala akibat jangkitan varian Delta.

Kajian penuh yang diterbitkan pada Rabu mendapati bahawa satu dos suntikan vaksin Pfizer adalah 36 peratus berkesan, dan satu dos vaksin AstraZeneca adalah sekitar 30 peratus berkesan.


- Reuters/TQ/tq

Top