Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

2 bekas ketua Utusan M'sia kritik akhbar itu sebagai mainkan sentimen perkauman

Dua bekas penyunting Utusan Malaysia hari ini (5 Jun) menyatakan rasa kesal bahawa akhbar yang pernah mereka pimpin masih terperangkap dalam "kepompong sempit dan penuh dengan prasangka".

Anggaran Waktu Membaca:
2 bekas ketua Utusan M'sia kritik akhbar itu sebagai mainkan sentimen perkauman

Seorang lelaki membaca akhbar Utusan Malaysia. (Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 06 Jun 2018 12:47AM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 12:50AM

KUALA LUMPUR: Dua bekas penyunting Utusan Malaysia hari ini (5 Jun) menyatakan rasa kesal bahawa akhbar yang pernah mereka pimpin masih terperangkap dalam "kepompong sempit dan penuh dengan prasangka".

Dalam satu kenyataan keras hari ini (5 Jun), Encik Zainuddin Maidin dan Encik Johan Jaaffar berkata akhbar itu menampakkan pendirian rasis dengan memainkan sentimen perkauman yang berbahaya untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Memetik isu terkini mengenai pelantikan Peguam Negara yang baru, mereka mengatakan adalah tidak dapat diterima apabila Utusan Malaysia bermain api dengan cuba menyemarakkan sentimen kebencian dan keresahan orang Melayu dan orang Islam terhadap pelantikan seorang bukan Melayu dan bukan Islam bagi jawatan itu.

Cara Utusan Malaysia, menurut mereka, memberikan gambaran seolah-olah agama Islam dan kepentingan Melayu akan terjejas dengan pelantikan peguam kanan Tommy Thomas.

Encik Zainuddin dan Encik Johan menegaskan bahawa prinsip pelantikan sepatutnya adalah “integriti di atas segala-galanya, tanpa mengira kaum dan agama”.

SUMBANG KEPADA KEKALAHAN UMNO, BN

“Kami bersyukur satu lagi kemungkinan krisis dapat dielakkan apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Mengulas lanjut pendirian rasis Utusan Malaysia, kedua-dua bekas penyunting itu berkata ia membangkitkan rasa tidak senang rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu sendiri sepanjang kempen pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Malahan, kata mereka, Utusan Malaysia dipersalahkan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU14. UMNO mempunyai saham dalam Utusan Malaysia.

“Tetapi malangnya sehingga hari ini, pimpinan editorial Utusan Malaysia seolah-olah enggan mengakui mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Encik Zainuddin memegang jawatan Ketua Pengarang dari 1981 hingga 1992 manakala Encik Johan menyandang jawatan Ketua Pengarang dari 1992 hingga 1998. Mereka mengakui bahawa UMNO dahulu pernah memperlihatkan kadar toleransi yang tinggi dan mengekalkan prinsip perpaduan antara kaum.

DINAMISME MASYARAKAT BERUBAH, UTUSAN MALAYSIA MASIH DALAM KEPOMPONG

Sejak zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) sehingga baru-baru ini, mereka berkata, UMNO tidak menunjukkan keadaan terdesak untuk memenangi hati dan minda orang Melayu.

Mereka berkata perubahan UMNO amat ketara apabila sokongan orang Melayu mula terhakis, dan akhbar Utusan Malaysia hari ini mencerminkan keadaan terdesak UMNO itu.

"Kami ingin mengingatkan pimpinan Utusan Malaysia bahawa dinamisme masyarakat berubah, begitu juga landskap politik negara. Bumi bergerak di bawah tapak kaki pemimpin editorial Utusan Malaysia mungkin tanpa mereka sedari,” kata kedua-dua bekas ketua pengarang itu.

Encik Zainuddin dan Encik Johan berkata kelihatannya “business as usual” (urusan seperti biasa) bagi Utusan Malaysia hinggakan dalam keadaan kewangan syarikat itu yang kritikal sekarang, Utusan Malaysia masih enggan berubah untuk menarik pembeli dan meningkatkan pendapatan iklan, kata mereka.

“Kami menggesa pimpinan editorial Utusan Malaysia untuk keluar dari kepompong mereka. Kita sekarang berada dalam era baru. Kita menyaksikan Malaysia baru. Menafikan kenyataan ini adalah satu kesilapan yang amat besar bagi akhbar itu,” kata mereka.

Encik Zainuddin dan Encik Johan berkata, saat waktu media mendapat kebebasan baru, Utusan Malaysia tidak sepatutnya membenarkan dirinya dipergunakan oleh mana-mana pihak untuk agenda buruk mereka bagi melemahkan kerajaan yang ada. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan