Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

19 maut bas terbalik di Hong Kong, pemandu ditangkap

Pemandu bas dua tingkat yang terbalik di Hong Kong ditangkap malam semalam (10 Feb) kerana memandu secara berbahaya, menurut polis. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Feb 2018 09:56AM Dikemas Kini : 11 Feb 2018 10:57PM

HONG KONG: Pemandu bas dua tingkat yang terbalik di Hong Kong ditangkap malam semalam (10 Feb) kerana memandu secara berbahaya, menurut polis.

Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala 65 yang lain cedera dalam nahas tersebut.

Gambar-gambar di tempat kejadian menunjukkan bas tersebut kelihatan terbalik dan merempuh tiang lampu yang kemudian tumbang ke bahagian tingkat atas kenderaan tersebut. Pemandunya ditangkap atas tuduhan menyebabkan kematian dan kecederaan teruk dengan memandu secara berbahaya.

Satu kenyataan media oleh pemerintah Hong Kong hari ini (11 Feb) menyatakan bahawa 14 lelaki dan empat wanita disahkan maut di tempat kejadian.

Tambahan pula, 63 lelaki dan tiga wanita lain mengalami kecederaan dan dibawa ke beberapa hospital bagi rawatan perubatan. Seorang lelaki kemudian disahkan meninggal dunia di hospital sekaligus menjadikan angka kematian kepada 19 orang.

Menurut kenyataan media itu lagi, polis sedang menjalankan siasatan ke atas kemalangan maut itu.

Kebanyakan mangsa duduk di tingkat atas bas, kata Encik Chan Hing-Yu daripada jabatan bomba.

Sementara itu, superitendan kanan trafik, Encik Lee Chi-wai memberitahu para wartawan bahawa pemandu tersebut disyaki melebihi had kelajuan sedang dia menuruni bukit dan hilang kawalan kenderaannya.

Pemandu itu juga kelihatan tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan dan dalam keadaan sedar, tambahnya.

‘KEADAAN HURU-HARA’

Para penumpang memberitahu media tempatan bahawa bas tersebut bergerak lajus ebelum kemalangan berlaku.

"Ia bergerak lebih laju berbanding selalunya,” seorang penumpang yang cedera memberitahu South China Morning Post.

“Kemudian, tayarnya kelihatan seperti tertanggal dan bas itu pun terbalik. Keadaan sangat huru-hara dalam bas. Orang-orang terhempap satu sama lain dan terhumban ke sana sini,” katanya.

Sebelum kemalangan itu berlaku, para penumpang merungut kepada pemandu tersebut yang lambat 10 minit. Dia kemudian memandu dengan pantas, menurut laporan Apple Daily yang menukil beberapa penumpang yang tercedera.

Salah seorang penumpang memberitahu Oriental Daily bahawa pemandu itu seakan “dengan sengaja menggunakan bas itu untuk melepaskan kemarahan.”

Kemalangan paling teruk pernah berlaku di Hongkong adalah pada 2003, di mana sebuah bas dua tingkat bertembung dengan sebuah trak mengorbankan 21 orang.  

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan