Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

17 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran sempadan dengan Israel

Askar-askar Israel menembak dan mencederakan 17 penduduk Palestin pada Jumaat (1 Mac) semasa satu tunjuk perasaan yang diadakan di sempadan yang memisahkan Gaza dan Israel, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
17 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran sempadan dengan Israel

Seorang penunjuk perasaan cedera dalam bantahan di sempadan Gaza-Israel pada 1 Mac 2019. (Gambar: Said Khatib/AFP)

Diterbitkan : 02 Mar 2019 05:13PM Dikemas Kini : 02 Mar 2019 05:16PM

GAZA: Askar-askar Israel menembak dan mencederakan 17 penduduk Palestin pada Jumaat (1 Mac) semasa satu tunjuk perasaan yang diadakan di sempadan yang memisahkan Gaza dan Israel, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Selama hampir setahun, tunjuk-tunjuk perasaan diadakan di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan kementerian itu, "17 orang dicederakan oleh pihak berkuasa Israel yang melepaskan tembakan," tanpa memberi perincian lanjut mengenai keadaan mangsa yang ditembak.

Menurut kenyataan itu lagi, tiga paramedik dan seorang wartawan cedera akibat tembakan gas pemedih mata.

Pihak tentera Israel memberitahu agensi berita AFP bahawa askar-askarnya melepaskan tembakan "berdasarkan peraturan pertempuran" terhadap para penunjuk perasaan yang bertindak ganas.

"Hampir 8,000 penunjuk perasaan melemparkan batu, membakar tayar serta melambungkan bahan letupan dan bom terhadap askar-askar serta pagar sempadan," dakwa seorang jurucakap.

"Sebagai tindak balas, kami mengambil langkah-langkah bagi menyuraikan para penunjuk perasaan, berdasarkan peraturan pertempuran," katanya.

Menurut hasil siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Khamis (28 Feb), pihak berkuasa Israel yang memberi respons kepada tunjuk perasaan di sempadan Gaza didapati "mencerobohi undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan kemanusiaan."

"Sesetengah daripada pelanggaran itu mungkin merangkumi jenayah perang ataupun jenayah terhadap kemanusiaan," menurut laporan tersebut, yang dihasilkan oleh sebuah jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Tunjuk perasaan dan bantahan mula dianjurkan di sempadan Gaza pada 30 Mac 2018.

Penunjuk-penunjuk perasaan menggesa agar para pelarian Palestin dibenarkan pulang ke rumah mereka yang kini berada di dalam wilayah Isarel. Namun, para pegawai Israel menyifatkannya sebagai serupa dengan seruan bagi memusnahkan negara itu.

Israel menuduh Hamas menggunakan tunjuk perasaan tersebut seolah-olah untuk menyembunyikan penyusupan dan serangan-serangan, manakala kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan rakyat Paletin pula mengatakan bahawa para penunjuk perasaan yang tidak mencetuskan ancaman besar ditembak oleh para penembak hendap Israel.

Sekurang-kurangnya 251 rakyat Palestin maut akibat serangan oleh pihak berkuasa Israel sejak Mac 2018. Sebahagian besar daripada mereka ditembak semasa tunjuk perasaan yang diadakan setiap minggu, manakala yang lain pula maut akibat tembakan meriam ataupun serangan udara yang dilancarkan sebagai respons terhadap keganasan di Gaza.

Dua askar rakyat Israel juga terbunuh sepanjang tempoh tersebut.

Para pemimpin Israel mengutuk keras hasil siasatan PBB itu, yang menyiasat pencerobohan yang mungkin berlaku sejak tunjuk perasaan itu mula diadakan, iaitu dari Mac sehinggalah 31 Disember.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanhayu berkata negara itu "menolak sama sekali hasil laporan tersebut".

Menteri Luar Israel Katz pula menyifatkannya sebagai "bersifat bermusuhan, kurang benar dan berat sebelah" sambil menekankan bahawa "tiada institusi yang boleh mensia-siakan hak Israel untuk melindungi dirinya".

Hamas menguasai Carikan Gaza sejak lebih sedekad lalu dan ia sudah terbabit dalam tiga peperangan dengan Israel sejak 2008.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan