Images
  • flooding china shanxi
    Wilayah Shanxi yang lazimnya kering dilanda hujan yang jumlahnya hampir selama tiga bulan dalam tempoh minggu. (Gambar: AFP)

15 maut susuli hujan lebat, banjir besar di China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 15 orang maut akibat hujan lebat dan banjir besar di wilayah Shanxi di China pada awal bulan ini, menurut para pegawai pada Selasa (12 Okt) selepas wilayah yang biasanya kering tiba-tiba dilanda hujan yang jumlahnya hampir selama tiga bulan dalam tempoh minggu.

Banjir besar itu menjejas teruk daerah batu arang di wilayah tersebut sedang China mengalami masalah kekurangan bekalan tenaga di seluruh negara dan setelah banjir yang mencecah paras rekod meragut nyawa lebih 300 orang di wilayah Henan pada Julai.

Sekurang-kurangnya 60 lombong batu arang di wilayah itu - salah satu wilayah pengeluar batu arang utama di China - ditutup buat sementara waktu akibat banjir tetapi sekarang semua kecuali empat telah kembali beroperasi seperti biasa, kata pegawai pengurusan kecemasan Wang Qirui di satu sidang media.

Menurut Encik Wang, sekitar 19,000 bangunan musnah akibat cuaca yang dahsyat, dengan 18,000 yang lain mengalami "kerosakan yang teruk".

"15 orang meninggal dunia akibat bencana ini, dan tiga orang masih dilaporkan hilang," tambahnya.

Sekurang-kurangnya 1.75 juta penduduk di wilayah berkenaan terjejas akibat banjir tersebut, dengan 120,000 sudahpun dipindahkan ke tempat yang lebih selamat, menurut Encik Wang.

Gambar-gambar yang diterbitkan oleh akhbar tempatan Shanxi Evening News pada Selasa (12 Okt) menunjukkan para pegawai polis trafik mengangkat murid-murid sekolah sambil meredah air bah yang mencecah paras pinggang setelah beberapa kenderaan terkandas.

Wilayah Shanxi dilanda lebih tiga kali purata hujan bulanan pada Oktober dalam tempoh hanya lima hari pada minggu lalu, dengan pemerintah wilayah mengatakan hujan mencecah paras rekod di beberapa daerah.

- Agensi berita/RB/fz

Top