Images
  • kimia
    Tujuh daripada 143 orang yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia Pasir Gudang masih dirawat di ICU. (Gambar: Bernama)

143 orang masih terima rawatan pencemaran sisa kimia Pasir Gudang

JOHOR BAHRU: Seramai 143 orang yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor Bahru masih menerima rawatan di wad hospital, setakat tengah malam tadi (17 Mac).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata mereka termasuk 36 orang yang dirujuk di hospital luar daerah itu dan 29 orang di hospital luar negeri Johor.

"Setakat pukul 12.00 malam tadi, tujuh pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil.

"Jumlah pesakit yang dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai pula adalah seramai 108 orang," katanya dalam satu kenyataan hari ini (17 Mac).

Dalam pada itu, Dr Sahruddin berkata kawasan seluas 1.3 kilometer daripada kawasan 1.5 kilometer yang tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan setakat pukul 4.00 petang semalam (16 Mac).

Beliau berkata kerja pembersihan berjalan lancar setakat ini, dengan kerja dilakukan tanpa henti sejak ia dimulakan pada Rabu (13 Mac).

"Baki 200 meter lagi akan diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya satu hingga dua hari akan datang," katanya.

Dr Sahruddin turut menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri tempat kejadian serta mengambil langkah pencegahan dengan mengurangkan kegiatan luar.

Sehingga kini, institusi pendidikan di Pasir Gudang masih lagi tidak beroperasi dan hanya akan memulakan sesi pembelajaran setelah diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa, katanya. 

- BERNAMA/AI/ai

Top