Images
  • pengantin
    (Gambar: AFP)

13 termasuk bakal pengantin maut dalam nahas lori

MANILA: Seramai 13 orang termasuk bakal pengantin dan dua orang kanak-kanak terkorban apabila sebuah trak yang mereka naiki terbalik di sebatang jalan raya atas gunung, kata polis.

Menurut pegawai siasatan San Fernando, Encik Victor Quinao pada Ahad (9 Jun), lori jongket yang membawa 53 penumpang di wilayah timur Camarines Sur itu sedang turun ke lebuh raya apabila ia hilang kawalan, lalu menyebabkan lebih sepuluh orang cedera.

Menurut Encik Quinao lagi, rombongan bakal pengantin lelaki dan keluarganya baru pulang dari rumah perempuan yang dipinang lelaki itu namun malangnya perempuan itu antara yang terbunuh dalam kemalangan itu.

“Lori tersebut hilang kawalan lalu terbalik, menyebabkan beberapa penumpang tercampak sementara yang lain tersepit," menurut Encik Quinao kepada AFP. Beliau menambah masih tidak jelas mengapa bakal pengantin perempuan itu berada dalam kenderaan tersebut.

“Lori milik pemerintah tempatan itu digunakan untuk mengangkut tanah dan pasir. Ia dipinjam untuk digunakan bagi majlis itu dan diubah suai dengan meletakkan bangku duduk manakala yang lain berdiri,” kata Encik Quinao kepada AFP.

Menurut Encik Quinao, antara mangsa-mangsa yang terbunuh ialah kanak-kanak berusia empat dan lima tahun. Polis sedang menyiasat kemungkinan pemandu itu bertanggungjawab di atas kejadian tersebut.

- AFP/NA/na

Top