Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

13 hotel di Johor tutup akibat pandemik COVID-19

Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini (1 Dis) dimaklumkan bahawa 13 hotel di Johor menutup operasinya susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
13 hotel di Johor tutup akibat pandemik COVID-19

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Dec 2020 07:21PM Dikemas Kini : 01 Dec 2020 07:24PM

ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini (1 Dis) dimaklumkan bahawa 13 hotel di Johor menutup operasinya susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai penutupan hotel-hotel itu tidak didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Onn Hafiz Ghazi.

Beliau, bagaimanapun, berkata penutupan sempadan Malaysia-Singapura sehingga kini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac mengakibatkan kadar purata penginapan di Johor turun kepada 27.66 peratus pada Ogos tahun ini, berbanding 57.3 peratus pada 2019.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pemandu pelancong di negeri itu hilang punca pendapatan dan jumlah pelawat di taman-taman tema serta pusat beli-belah juga merosot.

“Kerajaan negeri sedar tentang betapa pentingnya pembukaan sempadan Malaysia-Singapura terutamanya untuk sektor pelancongan. Sebab itu, Menteri Besar membawa perkara ini ke Putrajaya setiap minggu, bukan sahaja dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tetapi juga ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC). 

“Namun begitu, kita maklum bahawa untuk agenda pembukaan sempadan ini berjaya, ia memerlukan dua resipi utama iaitu persefahaman dan persetujuan antara kerajaan negeri, kerajaan pusat dan Singapura selain mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan, yang mana angka kes COVID-19 perlu rendah di kedua-dua negara,” kata Onn Hafiz.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (PH-Stulang), Zulkurnain Kamisan (PN-Sri Medan) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) yang bertanyakan tentang usaha kerajaan negeri dalam memulih sektor pelancongan termasuk membantu agensi pelancongan yang terkesan.

Onn Hafiz berkata kerajaan Johor menyediakan beberapa inisiatif bagi memastikan sektor pelancongan mampu bertahan dan sekali gus membolehkannya terus berdaya maju pada masa depan.

Inisiatif termasuk sumbangan sekali beri sebanyak RM1,000 (S$328) kepada pemandu pelancong berdaftar, pengecualian pembayaran lesen perniagaan dan duti hiburan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor 2020 bagi membantu penggiat industri pelancongan.

Selain itu, katanya sesi libat urus bersama penggiat industri juga telah diadakan, di samping usaha memperkenalkan program Majestic Johor, menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Iskandar Puteri (IPTAC) dan Jawatankuasa Pelancongan Perubatan Johor (JMTC).

“Bagi tahun hadapan pula, kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif seperti meneliti semula Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014-2023 bagi memastikan hala tuju sektor pelancongan dapat dirancang dengan lebih tersusun dan mengikut trend semasa, membangunkan Johor Tourism Interchange (JTI) bagi mentransformasi ekonomi digital pelancongan dan menyediakan Baucar Pelancongan berjumlah RM1.5 juta (S$493,400) untuk pusat penginapan dan beli-belah terpilih.

“Selain itu, peruntukan RM5 juta (S$1.6 juta) disediakan bagi membangun dan menaik taraf prasarana pelancongan di Johor yang merangkumi kemudahan asas pelancongan di daerah, inap desa, desastay dan Taman Negara,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan