Images
  • senegal map
    Peta menunjukkan kawasan di Senegal. (Gambar: Breakingnews.ie). 

13 belia maut dalam serangan di selatan Senegal

ZIGUINCHOR: 13 belia dibunuh semalam (6 Jan) oleh "unsur-unsur bersenjata" di daerah Casamance di selatan Senegal, kawasan yang dilanda konflik bersenjata selama lebih 30 tahun. Demikian menurut sumber keselamatan.

Para mangsa dilaporkan sedang mencari kayu di hutan Bayotte, 20 kilometer dari ibu kota Ziguinchor, "ketika mereka diserang kumpulan bersenjata seramai 15 orang," kata jurucakap tentera, Abdou Ndiaye.

Satu sumber di Ziguinchor menyatakan bahawa "13 terbunuh dan dua lagi berjaya melarikan diri,". Encik Ndiaye menambah, tujuh lagi cedera dalam serangan itu.

Menurut agensi berita Senegal, "para penyerang melalui zon penimbal yang memisahkan kedudukan tentera Senegal daripada Gerakan Tentera Demokratik di Casamance (MFDC), sebuah kumpulan pemberontak yang bersenjata."

MFDC, sebuah kumpulan pemisah, mula memperjuangkan kemerdekaan pada Disember 1982, namun sudah lama tidak melancarkan serangan terhadap tentera Senegal. Serangan sering berlaku sebelum ini.

"Masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa mereka yang menyerang merupakan anggota MFDC, itu yang akan dikatakan oleh pihak yang menjalankan siasatan," kata Encik Ndiaye.

Kawasan itu aman buat beberapa tahun sejak pelantikan Presiden Macky Sall pada 2012 dan rundingan damai dengan pihak pemberontak sudah dijalankan.

"Tidak ada ketegangan kebelakangan ini, tiada tanda amaran," kata jurucakap tentera.

Angkatan tentera itu mengerahkan 150 pasukan untuk memindahkan mangsa-mangsa dan menyingkirkan para pelaku.

Mayat-mayat itu juga sudah dibawa ke hospital.

Serangan itu berlaku sehari selepas dua pejuang MFDC dibebaskan oleh tentera berikutan rundingan yang diadakan oleh Masyarakat Sant'Egidio dari Rome, sebuah badan amal yang berhubungan dengan Vatican sebagai pengantara untuk proses damai.

Presiden Sall merayu kepada pemberontak di Casamance supaya meneruskan rundingan damai demi mewujudkan "keamanan yang berkekalan".

Di tahap kemuncaknya, pemberontak Casamance menyebabkan beribu-ribu orang awam dan tentera mati, merosakkan ekonomi dan memaksa ramai penduduk melarikan diri. 

- AFP/AQ/aq

Top