Images
  • drug (2)
    Gambar hiasan.

122 kanak-kanak terbunuh dalam kempen perangi dadah Filipina: NGO

GENEVA: Sekurang-kurangnya 122 kanak-kanak terkorban dalam usaha memerangi dadah di Filipina, menurut dua badan bukan pemerintah (NGO) pada Isnin (29 Jun), yang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan.

Badan-badan bukan pemerintah itu dalam satu laporan menyuarakan keprihatinan bahawa angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi, sedang Majlis Hak Asasi Kemanusiaan PBB bersiap untuk meninjau keadaan di Filipina.

Kempen tegas anti-dadah oleh Presiden Rodrigo Duterte mendapat kritikan aktivis hak asasi yang menyifatkan polis bertindak keras terhadap suspek dadah dan ribuan sudah terbunuh sejak 2016.

Laporan pada Isnin bertajuk 'Bagaimana mereka boleh melakukan seperti ini kepada anak saya?', diterbitkan bersama oleh Pertubuhan Dunia Terhadap Penyiksaan
(OMCT) dan Pusat Hak Undang-Undang dan Pembangunan Kanak-kanak (CLRDC, Filipina).

Laporan itu mendokumentasikan 122 kes pembunuhan kanak-kanak, berusia satu hingga 17 tahun, antara Julai 2016 dengan Disember 2019 di seluruh negara.

"122 hanya sebahagian kecil; mungkin ada ramai lagi di negara ini. Bayangkan jika anda melihat 122 kes ini di depan kamera. Bayangkan teriakan itu," kata Setiausaha Agung OMCT, Gerald Staberock kepada wartawan menerusi taklimat maya.

Isu hak asasi manusia di Filipina akan dibangkitkan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, yang memulakan sesi persidangan ke-44, pada Selasa (30 Jun).

Majlis itu meminta Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet untuk menyiapkan laporan bertulis untuk dibentangkan di sesi itu, diikuti dialog interaktif berkaitan hasil penemuannya.

Laporan itu, yang diterbitkan awal Jun, memaklumkan usaha memerangi dadah menyebabkan pembunuhan secara sistematik dan meluas dalam konteks yang hampir bebas daripada hukuman.

Filipina adalah satu daripada 47 negara yang kini menganggotai majlis itu.

Laporan NGO itu menetapkan cadangan kepada majlis tersebut, termasuk mewujudkan suruhanjaya siasatan bebas mengenai pelanggaran hak asasi manusia di Filipina, dengan menumpukan perhatian tehadap kanak-kanak.

Laporan mereka mengenal pasti keadaan berulang kanak-kanak terbunuh.

Kanak-kanak dijadikan sasaran langsung, ada kalanya sebagai saksi pembunuhan lain; proksi apabila sasaran sebenar tidak dapat dijumpai; terbunuh kerana identiti salah atau terkena peluru sesat dalam operasi polis.

Laporan itu menekankan enam kes, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai dibunuh selepas menyaksikan seorang dewasa dibunuh oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut laporan itu, mangsa termuda berusia 20 bulan.

Tujuh kanak-kanak terbunuh antara Januari dengan Mac tahun ini.

Perang terhadap dadah juga mengakibatkan peningkatan tangkapan dan penahanan kanak-kanak, kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan, dianggarkan kira-kira 27,000 pembunuhan yang tidak mengikut undang-undang berlaku dalam kempen anti-dadah oleh Duterte.

Encik Staberock mendakwa sebahagian besar masyarakat antarabangsa menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Filipina.

- AFP/NA/na

Top