Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

12 pelajar naikkan berat badan demi elak berkhidmat untuk negara

Ingin mengelak menjalani perkhidmatan tentera, 12 pelajar sanggup makan dengan gelojoh supaya berat badan mereka naik dengan mendadak.

Anggaran Waktu Membaca:
12 pelajar naikkan berat badan demi elak berkhidmat untuk negara

Gambar fail para anggota jalani latihan tentera di Korea Selatan. (Gambar: Jung Yeon-Je/AFP)

Diterbitkan : 24 Sep 2018 05:01PM Dikemas Kini : 24 Sep 2018 05:05PM

SEOUL: Ingin mengelak menjalani perkhidmatan tentera, 12 pelajar sanggup makan dengan gelojoh supaya berat badan mereka naik dengan mendadak.

Itulah gelagat 12 pelajar Korea Selatan yang terbongkar baru-baru ini. Kesemuanya menceburi bidang muzik di universiti yang sama di Seoul.

Menurut pihak berkuasa, mereka mengambil serbuk protin dan meminum bergelas-gelas jus pada hari pemeriksaan fizikal.

"Pelajar-pelajar dari kelas yang sama berkongsi tips tentang cara-cara untuk menaikkan berat badan melalui satu ruang sembang online," menurut pihak berkuasa. Mereka terutama sekali meminum jus yang mengandungi pulpa lidah buaya (aloe vera) yang dikatakan kekal di dalam tubuh bagi tempoh lebih lama jika dibandingkan dengan makanan lain.

Setiap lelaki yang tegap dan sihat diwajibkan menjalani perkhidmatan negara sebelum usia mereka mencecah 28 tahun. Mereka perlu berkhidmat selama sekurang-kurangnya 21 bulan.

Mereka yang didapati dengan berat badan yang berlebihan, mahupun mereka yang kurang berat atau mengalami sebarang masalah kesihatan, dikecualikan dan biasanya dikerahkan bertugas di badan-badan awam seperti mahkamah.

12 pelajar daripada insiden tersebut didapati mempunyai berat badan berlebihan untuk menjalani perkhidmatan negara lalu ditugaskan untuk bekhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.

Dua sudahpun selesai memenuhi tanggungjawab mereka, manakala yang lain masih menjalani perkhidmatan negara atau sedang menunggu giliran.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa ia menggunakan "teknologi forensik digital" untuk membongkar para pelajar berkenaan.

Kes itu sudah dirujuk kepada pendakwa raya bagi memutuskan sama ada mereka akan didakwa.

Jika sabit kesalahan, mereka perlu sekali lagi menjalani pemeriksaan jasmani dan berkhidmat dalam tentera.

Percubaan untuk mengelak menjalani perkhidmatan negara sering berlaku di negara itu. Ada yang dilaporkan sanggup membuat tulang bahu atau lengan terkehel.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan