Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

12 kawasan 'sampah terbang'

Syarikat pengurusan sampah, Alam Flora Sdn Bhd mengenal pasti 12 lokasi 'sampah terbang' di sekitar ibu kota Malaysia, yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
12 kawasan 'sampah terbang'

Antara kawasan sampah yang dikenal pasti di sekitar ibu kota Malaysia.

Diterbitkan : 03 Aug 2018 04:56PM Dikemas Kini : 03 Aug 2018 05:05PM

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan sampah, Alam Flora Sdn Bhd mengenal pasti 12 lokasi 'sampah terbang' di sekitar ibu kota Malaysia, yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Bernama melaporkan bahawa kawasan terbabit termasuk lorong belakang Jalan 5A/6 Danau Kota, Lorong Haji Taib 1, Lorong Gadek, Lorong Baba, Lorong Kancil, dan Jalan Kundur.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata kebanyakan kawasan itu didiami warga asing yang dipercayai membuang sampah dari tingkat atas ke lorong jalan.

"Meskipun tong sampah disediakan, namun warga asing di sini mengambil jalan mudah tidak mahu turun ke bawah, sebaliknya membuang sampah dari atas (kediaman mereka) menyebabkannya berterbangan.

"Dulu fenomena ini sering berlaku di kawasan di tengah-tengah ibu kota seperti Bukit Bintang dan Pudu namun baru-baru ini mereka dilihat sudah berpindah ke pinggir bandar dan perkara sebegini masih lagi berlaku," kata beliau kepada pihak media selepas satu sesi turun padang 'Hentikan Sampah Terbang' di Jalan Semilang, Cheras, semalam (2 Ogos).

Menurut beliau, di Jalan Semilang sahaja, sekitar 900 kilogram sampah dikutip dan dibersihkan oleh para pekerja pembersih, setiap hari.

"Kami menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah bermula pukul 5.00 pagi hingga 7.00 pagi di setiap lokasi yang dikenal pasti itu sebanyak enam kali seminggu.

"Kami turut menjalankan tugasan luar skop dengan membersihkan sampah terbang yang tersangkut di tingkap atau bumbung dengan menggunakan 'skylift' serta 'water jetting' untuk dinding dan longkang secara berkala untuk menghilangkan bau busuk," kata beliau.

Sehubungan itu, Encik Mohd Zain berkata pihaknya bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SWCorp dalam usaha menyuntik kesedaran di kalangan warga asing supaya memahami cara pembuangan sampah yang betul.

"Antaranya mengedarkan risalah-risalah dan poster pelbagai bahasa seperti bahasa Nepal, Myanmar dan Rohingya selain bahasa Malaysia dan Inggeris," kata beliau.

Menurut Bernama, berdasarkan tinjauan, 150 warga Indonesia, 30 warga Myanmar, Bangladesh (20), Rohingya (35) dan Pakistan (20) menetap di Jalan Semilang, sekaligus menyumbang kepada masalah sampah yang serius.

Sumber : Bernama/HS/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan