Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

11 maut, puluhan cedera kereta api bertembung di Pakistan

Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala lebih 60 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung di tengah Pakistan pada Khamis (11 Jul), menurut para pegawai.

Anggaran Waktu Membaca:
11 maut, puluhan cedera kereta api bertembung di Pakistan

Nahas kereta api di Pakistan pada 11 Jul (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Jul 2019 10:16PM Dikemas Kini : 11 Jul 2019 10:20PM

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala lebih 60 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung di tengah Pakistan pada Khamis (11 Jul), menurut para pegawai.

Perdana Menteri Imran Khan menyalahkan prasarana landasan yang tua dan "tidak diselenggara" sebagai punca kejadian.

Nahas berlaku di kawasan Sadiqabad, di selatan wilayah Punjab. Sebuah kereta api membawa penumpang dari Lahore bertembung dengan kereta api muatan yang berhenti di lintasan, menurut seorang pegawai kanan pemerintah.

Pasukan penyelamat memindahkan mangsa yang cedera dengan memotong besi-besi gerabak dan puluhan dikejarkan ke hospital, menurut pihak polis.

Pegawai polis tempatan Omar Salamat berkata 66 penumpang cedera dalam kemalangan itu dan sudah dibawa ke hospital.

Perdana Menteri Imran Khan mengeluarkan kenyataan takziah dan menyalahkan prasarana rangkaian rel yang sudah usang dan termakan usia akibat kurangnya pelaburan dan kerja-kerja penyenggaraan yang tidak mencukupi.

"Saya sudah mengarahkan Menteri Rel untuk mengambil langkah-langkah kecemasan untuk membetulkan prasarana kereta api yang terbiar berpuluhan tahun dan memastikan piawai keselamatan," tulis Encik Khan di Twitter.

Bulan lalu, enam orang terbunuh apabila sebuah kereta api muatan berlanggar dengan kereta api penumpang di Hyderabad.

Punca kemalangan pada Khamis masih sedang disiasat namun Menteri Rel Sheikh Rasheed Ahmed berkata ia dipercayai akibat kesilapan manusia.

"Saya sudah mengarahkan siasatan. Siasatan akan selesai dalam dua, tiga hari," beliau memberitahu Geo Television.

Menteri itu turut mengumumkan pampasan bagi mereka yang mati atau cedera.

Sumber : AFP/Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan