Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

100 kartunis bersatu 'lukis' bantahan terhadap Presiden Trump, pertahan Baitulmakdis

Sekitar 100 pelukis kartun tempatan menzahirkan tentangan terhadap tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel dengan melukis kartun secara beramai-ramai di Muzium Negara.

Anggaran Waktu Membaca:
100 kartunis bersatu 'lukis' bantahan terhadap Presiden Trump, pertahan Baitulmakdis

(Gambar: Eizairi Shamsudin melalui Berita Harian Malaysia).

Diterbitkan : 30 Dec 2017 09:18PM Dikemas Kini : 30 Dec 2017 09:22PM

KUALA LUMPUR: Sekitar 100 pelukis kartun tempatan menzahirkan tentangan terhadap tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel dengan melukis kartun secara beramai-ramai di Muzium Negara.

“Semua kartunis yang ada pada hari ini dan esok berkumpul untuk bersatu bagi mempertahankan Baitulmakdis dengan mennyatakan perasaan marah, geram dan sebagainya dalam bentuk lukisan kartun," kata Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar atau lebih dikenali sebagai Juragan.

Program ‘Solidariti Kartunis Malaysia Selamatkan Baitulmakdis' itu dianjurkan bersama Muzium Negara sempena 'Pameran Kartun dan Kita' yang berlangsung di muzium itu dari 8 Disember hingga 15 April depan.

“Tujuan program perpaduan ini adalah bagi menunjukkan kepada masyarakat dan juga seluruh dunia bahawa golongan pelukis kartun juga prihatin terhadap apa yang berlaku di Palestin,” kata Juragan.

Menurut Juragan, karya yang dilukis di atas dua kanvas putih masing-masing berukuran 13 meter persegi itu akan dipamerkan sepanjang pameran kartun itu berlangsung.

Pengarah Muzium Negara Azmi Ismail pula berkata kartun antara medium yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai isu dengan cara sinikal, kritikal atau mencuit hati.

Bagi kartunis Shaari Sulong, 44 tahun, atau Aie, beliau ingin memberitahu dunia bahawa golongan pelukis kartun sedang bersuara walaupun bukan melalui kekerasan atau peperangan.

“Kerajaan dah jalankan apa yang sepatutnya (dalam menyuarakan bantahan). Jadi usaha kita ni cuma sebagai 'lanjutan' supaya isu ini (Palestin dan Baitulmakdis) tidak terus menyepi.

Kita gunakan kelebihan kita untuk menzahirkan secara visual dengan sebaik mungkin supaya sedikit sebanyak memberi kesan kepada si pelaku (pentadbiran Amerika Syarikat),” katanya.

Aie berkata karyanya menunjukkan watak Yoda dari filem Star Wars yang 'memberitahu' karikatur Presiden Donald Trump bahawa dia malu dengan tindakan pemimpin Amerika Syarikat itu dan pentadbiran beliau dalam isu Palestin.

“Saiz Yoda yang kecil itu sendiri menggambarkan Trump membuli mereka yang lebih kecil daripada beliau dan tindakannya itu adalah memalukan,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan