Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

100 juta dos dalam 100 hari 'boleh dicapai', kata pakar penyakit berjangkit AS

 Matlamat bakal Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk menyuntik 100 juta dos vaksin COVID-19 dalam tempoh 100 hari pertama beliau menyandang jawatan presiden "benar-benar boleh dicapai", kata saintis terkemuka Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci.

Anggaran Waktu Membaca:
100 juta dos dalam 100 hari 'boleh dicapai', kata pakar penyakit berjangkit AS

Encik Anthony Fauci. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 Jan 2021 12:47PM Dikemas Kini : 18 Jan 2021 12:50PM

NEW YORK: Matlamat bakal Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk menyuntik 100 juta dos vaksin COVID-19 dalam tempoh 100 hari pertama beliau menyandang jawatan presiden "benar-benar boleh dicapai", kata saintis terkemuka Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci, pada Ahad (17 Jan) beberapa hari sebelum beliau dilantik sebagai ketua penasihat presiden bagi COVID-19.

"Kebolehlaksanaan matlamatnya sangat jelas, tidak ada keraguan sama sekali," kata Encik Fauci dalam rancangan "Meet the Press" terbitan agensi berita NBC.

"Ia boleh dicapai," kata Encik Fauci, seorang pakar penyakit berjangkit yang juga pernah menasihati Presiden Donald Trump.

Walaupun pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat berjaya menguji dan mengesahkan keselamatan dan keberkesanan dua vaksin baru dalam jangka waktu yang singkat, usaha untuk menyuntik berjuta-juta rakyat Amerika dengan cepat, gagal dilaksanakan sekali gus mencetuskan kritikan yang meluas.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Persekutuan, 31.1 juta dos sudah dihantar sejauh ini, bagaimanapun kurang daripada 40 peratus (12.2 juta) sudah diberikan.

Pada awal Disember, para pegawai pentadbiran meramalkan 20 juta orang akan menerima dos pertama daripada rejim dua dos suntikan itu pada hujung bulan ini.

Beberapa wilayah, termasuk New York, sudah memberi amaran bahawa ia mungkin akan kehabisan bekalan vaksin seawal minggu depan disebabkan oleh kekurangan pada penghantaran yang diselaraskan oleh pemerintah persekutuan.

Ia berlaku sedang wilayah-wilayah berusaha untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

Amerika Syarikat sedang mengalami lonjakan paling dahsyat pada jumlah kes COVID-19. Pada Selasa lalu, Amerika Syarikat mencatat rekod baru yang meragut nyawa 4,470 penduduknya dalam masa 24 jam.

Jumlah kematian dalam lima hari adalah hampir 20,000.

Bakal ketua turus Encik Biden, Encik Ron Klain, pada Ahad (17 Jan) berkata bahawa jumlah kematian yang kini lebih 396,000, boleh melepasi 500,000 pada bulan Februari.

"Virus akan bertambah buruk sebelum menjadi lebih baik," katanya kepada CNN.

"Ini akan mengambil sedikit masa untuk mengubahnya."

Encik Klain berkata, untuk mencapai matlamat mempercepatkan proses pemvaksinan, pentadbiran Encik Biden boleh menggunakan Akta Pengeluaran Pertahanan, yang membolehkan pihak pemerintah mewajibkan syarikat-syarikat menghasilkan keperluan yang dianggap penting dalam keadaan darurat.

Encik Biden juga ada mengatakan bahawa beliau akan mengerahkan Pengawal Negara dan juga Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan untuk membantu menubuhkan pusat vaksinasi tambahan.

Rochelle Walensky, yang bakal dilantik oleh Encik Biden sebagai ketua CDC yang baru, semalam melahirkan keyakinan terhadap matlamat Encik Biden untuk memberikan 100 juta dos suntikan vaksin dalam tempoh 100 hari.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan