Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

10 dilapor cedera akibat kebakaran stesen kereta api Haramain; khidmat rel digantung

Seramai 10 orang cedera dalam kebakaran yang tercetus di bumbung stesen Kereta Api Laju Haramain di daerah Sulaymaniyah pada Ahad (29 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
10 dilapor cedera akibat kebakaran stesen kereta api Haramain; khidmat rel digantung

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 30 Sep 2019 11:22AM Dikemas Kini : 30 Sep 2019 11:27AM

JEDDAH: Seramai 10 orang cedera dalam kebakaran yang tercetus di bumbung stesen Kereta Api Laju Haramain di daerah Sulaymaniyah pada Ahad (29 Sep).

Laman Saudi Gazette menyatakan Jabatan Kecemasan dan Krisis di Ehwal Kesihatan Jeddah menyatakan, pihaknya sudah memindahkan empat orang yang cedera ke sebuah hospital di timur Jeddah manakala enam yang lain dirawat di tempat kejadian.

Laporan berasingan dari AFP pula melaporkan lima orang cedera dalam kejadian itu, menukil media tempatan.

"Lima orang cedera ringan akibat kebakaran itu dan sudah dibawa ke hospital," menurut siaran televisyen setempat Al-Ekhbariya.

Stesen yang terjejas itu terletak di laluan sistem Kereta Api Laju Haramain. Laluan tersebut dibuka pada Oktober tahun lalu dan ia membawa penumpang dari kota suci Makkah ke Madinah.

Ketua Pengarah Pertahanan Awam Arab Saudi menulis di Twitter awal sebelum itu bahawa pihaknya sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

Jabatan Kesihatan Jeddah pula menasihatkan para penduduk supaya "menjauhi asap kebakaran sejauh mungkin".

Ia juga menasihati orang ramai supaya "memakai pelitup apabila keluar rumah" untuk melindungi diri daripada asap dan debu.

Video yang dimuatnaikkan ke Twitter oleh pemerintah wilayah Makkah menunjukkan kepulan asap dari kompleks stesen berkenaan.

Seorang wartawan AFP melaporkan pasukan keselamatan menutup jalan raya utama yang menghubungkan Makkah dengan Jeddah dan mengepung tempat kejadian.

Kebakaran bermula pada 12:35 tengah hari waktu tempatan, menurut akaun Twitter Kereta Api Laju Haramain. Syarikat itu kemudian mengumumkan ia menggantung semua perjalanan buat sementara waktu.

"Demi keselamatan para penumpang, perjalanan sepanjang laluan kereta api laju Haramain akan digantung sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak," menurut syarikat itu.

Sumber : Agensi berita/AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan