Images
  • new orleans shooting
    (Gambar: AFP)

10 cedera dalam serangan tembakan di kawasan pelancongan New Orleans

WASHINGTON: 10 orang cedera dalam serangan tembakan pada awal Ahad (1 Dis) di New Orleans French Quarter, yang merupakan pusat pelancongan popular, menurut polis Amerika Syarikat sambil menambah dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Serangan itu berlaku pada pukul 3.21 pagi waktu tempatan (pukul 5.21 petang waktu Singapura) di sebatang jalan yang sibuk berhampiran banyak bangunan hotel dalam sebuah daerah bersejarah yang menarik pengunjung daripada seluruh dunia.

Awal daripada ini, polis melaporkan bahawa 11 orang cedera namun kemudian mengemaskini jumlahnya.

Tiada penangkapan dibuat dan motif di sebalik serangan tembakan itu tidak jelas. Namun, polis menyatakan mereka menyoal seorang individu dekat kawasan jenayah dan akan meneruskan dengan siasatan mereka.

Polis berkata mereka dengan pantas memberi respons terhadap kejadian itu kerana pegawai polis tambahan ditugaskan pada waktu itu bagi satu perlawanan bola sepak Thanksgiving secara tahunan.

Persaingan antara Universiti Louisiana Grambling State dengan Universiti Selatan setiap tahun menarik puluhan ribu pengunjung ke bandar tersebut.

"Kami mempunyai pegawai di blok itu yang percaya mereka menjadi sasaran tembakan," kata Superintenden Polis Shaun Ferguson kepada wartawan.

"Malangnya, ada terlalu ramai orang di situ, dan kami tidak dapat mengesan siapa yang melepaskan tembakan itu pada waktu itu. Kami tidak tahu bagaimana ia bermula."

Datuk Bandar New Orleans LaToya Cantrell menulis di akaun Twitternya bahawa "serangan tembakan di Canal Street pada pagi Ahad adalah gangguan kepada apa yang disifatkan sebagai cuti hujung minggu yang indah."

Gambar-gambar yang dimuatnaik pada laman berita Nola.com menunjukkan Canal Street dipenuhi penanda berwarna kuning yang menunjukkan bekas peluru atau bahan bukti yang lain.

Kejadian tembakan beramai-ramai membayangi kehidupan di Amerika Syarikat di mana Pindaan Kedua Perlembagaan menjamin "hak bagi semua penduduk untuk memiliki dan menggunakan senjata" dan insiden keganasan senjata meragut hampir 40,000 setiap tahun.

- AFP/HA/ha

Top