Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1 lagi suspek ditangkap; polis yakin dapat selesaikan kes bunuh stesen minyak Johor

Polis menahan seorang lagi lelaki di Johor Bahru semalam (21 Dis) bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi Ahad lalu (17 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
1 lagi suspek ditangkap; polis yakin dapat selesaikan kes bunuh stesen minyak Johor

Para penyiasat di tempat kejadian di mana seorang lelaki dibunuh di Taman Pelangi, Johor pada 17 Disember. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Dec 2017 04:39PM Dikemas Kini : 22 Dec 2017 04:41PM

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lagi lelaki di Johor Bahru semalam (21 Dis) bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi Ahad lalu (17 Dis).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penahanan lelaki berumur 22 tahun itu menjadikan jumlah tangkapan setakat ini adalah 14 individu yang terdiri daripada empat wanita dan 10 lelaki berumur 16 hingga 26 tahun.

“Kita percaya dengan tangkapan 14 individu ini, kita dapat selesaikan kes ini. Kita masih cuba mengesan saki baki (mereka yang dipercayai terlibat) yang telah kita kenal pasti," katanya kepada wartawan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini (22 Dis).

Setakat ini, katanya, polis sudah merekodkan keterangan dari lapan individu bagi membantu siasatan itu termasuk saksi yang berada di stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata polis masih menyiasat latar belakang mangsa yang merupakan anggota kongsi gelap dan siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan pergaduhan mengenai hutang berkaitan pengedaran dadah.

KESELAMATAN DI JOHOR TERKAWAL

Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin berkata tiga pasukan dari Bukit Aman juga diarahkan ke Johor bagi membantu soal siasat yang dijalankan terhadap penangkapan dan saksi berkaitan kes berkenaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menerima kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) yang membantu menahan tujuh individu di republik itu, katanya.

Mengenai kereta BMW yang digunakan dalam jenayah terbabit, beliau berkata polis masih belum menemuinya tetapi pemeriksaan mendapati ia menggunakan nombor pendaftran palsu dan pemilik kenderaan asal dengan nombor sama sudah membuat laporan polis.

Sambil berkata kejadian di stesen minyak itu menarik perhatian ramai setelah ia viral di laman sosial, beliau menjelaskan bahawa ia adalah kes terpencil dan meminta orang ramai tidak gusar kerana keselamatan di negeri ini terkawal.

"Saya pasti keadaan di Johor terkawal seperti biasa dan kejadian ini tidak menjejaskan pengunjung termasuk dari luar negara," katanya sambil memberitahu bahawa kawasan Taman Pelangi bukan kawasan tumpuan jenayah dan menggesa orang ramai tidak menyebar maklumat tidak tepat.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam Ahad lalu, mangsa berumur 40-an tahun itu mati di tempat kejadian selepas ditikam, dilanggar dan digilis kereta yang dinaiki empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan isterinya berhenti di stesen itu untuk mengisi angin tayar kenderaannya.

Mangsa itu dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Cina di Melaka semalam. 

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan