Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1 cedera akibat serangan di masjid Norway jelang Aidiladha; penembak diberkas

Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah masjid berhampiran Oslo pada Sabtu (10 Ogos), mencederakan satu orang sebelum dilenturkan oleh seorang jemaah warga tua dan diberkas, menurut polis Norway dan para saksi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Aug 2019 10:43AM Dikemas Kini : 11 Aug 2019 11:54PM

OSLO: Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah masjid berhampiran Oslo pada Sabtu (10 Ogos), mencederakan satu orang sebelum dilenturkan oleh seorang jemaah warga tua dan diberkas, menurut polis Norway dan para saksi.

Beberapa jam selepas serangan, mayat seorang gadis yang ada kaitan dengan suspek ditemui di sebuah rumah di daerah Baerum, di mana berlakunya serangan tersebut.

Para penyiasat menyifatkan kematian wanita itu sebagai mencurigakan dan siasatan terhadap kes pembunuhan itu sudah dilancarkan.

Ketua masjid itu menyifatkan penyerang sebagai seorang pemuda berkulit putih dan berpakaian serba hitam. Suspek juga dipercayai memakai topi keledar dan jaket kalis peluru.

Menurut beliau, hanya tiga orang berada di dalam pusat Islam al-Noor semasa serangan itu dilancarkan.

Polis dimaklumkan mengenai serangan itu sejurus selepas pukul 4.00 petang.

Pada awalnya, para pegawai polis melaporkan bahawa seorang mangsa ditembak tetapi kemudian menjelaskan bahawa satu orang mengalami "kecederaan ringan" akibat insiden itu.

Bagaimanapun buat masa ini, belum jelas sama ada ia adalah luka tembakan.

Menurut polis, suspek dipercayai bertindak sendirian.

"Dia seorang lelaki muda rakyat Norway yang dibesarkan di negara ini. Dia tinggal di kawasan ini," kata jurucakap polis Oslo, Rune Skjold, semasa satu sidang media hari ini.

Encik Skjold berkata polis mengetahui mengenai suspek sebelum berlaku serangan itu, tetapi suspek tidak dianggap sebagai seseorang "dengan latar belakang jenayah".

Serangan itu dilancarkan sehari sebelum umat Islam di sana menyambut Hari Raya Aidiladha.

Polis menyatakan pihaknya akan mengerahkan lebih ramai pegawai untuk "menjaga keselamatan" semasa sambutan perayaan itu.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan