Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1,440 orang dijangka guna VTL darat melalui Tambak Johor & Laluan Kedua: Menteri Besar Johor

Kerajaan negeri Johor menjangkakan seramai 1,440 orang akan menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua pada minggu pertama pelaksanaannya.

Anggaran Waktu Membaca:
1,440 orang dijangka guna VTL darat melalui Tambak Johor & Laluan Kedua: Menteri Besar Johor

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Nov 2021 02:25PM Dikemas Kini : 21 Nov 2021 02:28PM

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor menjangkakan seramai 1,440 orang akan menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua pada minggu pertama pelaksanaannya.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata berdasarkan perbincangan antara kedua-dua kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura, jumlah pelawat yang menggunakan laluan tersebut dijangka meningkat kepada 2,500 orang pada minggu kedua dan seterusnya 5,000 orang pada minggu ketiga.

Justeru itu, beliau berharap agar pembukaan VTL darat yang dijadualkan berjalan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini, tidak akan ditangguhkan.

"Berdasarkan keupayaan dan persediaan awal untuk buka sempadan, (dijangkakan) minggu pertama jumlah pergerakan keluar masuk ialah 1,440 orang pengembara.

"Sama ada bilangan ini menggunakan pengangkutan awam atau dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian... ia sedang dimuktamadkan," kata beliau pada hari kedua Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 hari ini (21 Nov).

Bagaimanapun Encik Hasni berkata Johor bersedia dengan segala prosedur operasi standard  (SOP) dan sudah pun membangunkan sistem yang boleh membantu kerajaan Persekutuan untuk menampung VTL darat ini.

"Kita ada Johor Travel Safe, sistem yang telah dibangunkan dan telah membantu kerajaan Persekutuan ketika pelaksanaan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang membenarkan masing-masing seramai 2,000 orang (sehari) dan 400 orang (mingguan)," kata beliau.

Mengenai kategori pelawat yang dibenarkan, Encik Hasni (UMNO-Benut) berharap agar kategori yang sama untuk VTL udara akan dibenarkan juga untuk VTL darat.

Bagi memastikan SOP yang dilaksanakan bersesuaian dengan kapasiti saringan dan pengembara, satu ujian rintis berhubung VTL darat dijangka berjalan esok (22 Nov), katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) yang bertanyakan mengenai kaedah dan SOP VTL darat, kategori dan jumlah pelawat.

Terdahulu, Encik Hasni berkata kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan sedang menyediakan dan mengukuhkan SOP berkenaan VTL darat terutama sekali mengenai prosedur operasi saringan kepada pelawat yang ingin keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.

"Secara prinsipnya, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif VTL Darat ini dan ia merupakan satu langkah progresif untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa negara yang selamat.

"Ia adalah satu lagi kejayaan penting dalam kerjasama Malaysia dan Singapura, dan berupaya untuk memulihkan ekonomi kedua-dua negara terutama sekali Johor," kata beliau.

Semalam, pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Singapura menyatakan sempadan darat Singapura-Malaysia mungkin dibuka menjelang hujung November untuk membolehkan mereka yang terpisah bersatu semula dengan keluarga mereka.

Keutamaan diberi untuk keluarga yang telah lama terpisah sejak permulaan COVID-19.

Menurut Encik Hasni, pada 27 September lepas, kerajaan negeri Johor membentangkan cadangan SOP yang terkini bagi tujuan ulang-alik antara Malaysia dan Singapura dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik Bilangan 37/2021.

"Malaysia dan Singapura telah pun bersetuju bahawa pembukaan sempadan ini akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik yang membolehkan aktiviti rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

"Selain itu, pelbagai isu perlu diberikan penekanan dan perhatian termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua negara, kapasiti semasa Tambak Johor dan juga Linkedua, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi oleh Malaysia dan Singapura, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa perlu diberi perhatian," kata beliau.

Encik Hasni berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Puah, Chen, Liow, Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) dan Dr S. Ramakrishnan (PH-Bekok) mengenai status pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua dan pelaksanaan VTL darat.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan