Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

1,000 orang banjiri Econsave, terpedaya berita palsu TMJ akan belanja lagi

Orang ramai dilaporkan menyerbu Pasaraya Econsave di Pontian menyusuli tersebar gambar dan pesanan suara kononnya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan datang dan membayar harga barangan yang dibeli pengunjung di situ.

Anggaran Waktu Membaca:
1,000 orang banjiri Econsave, terpedaya berita palsu TMJ akan belanja lagi

Para pelanggan membanjiri Pasaraya Econsave harapkan TMJ belanja. (Gambar: inspirearcade.my/Facebook)

Diterbitkan : 13 Apr 2018 07:47AM Dikemas Kini : 13 Apr 2018 07:51AM

PONTIAN: Orang ramai dilaporkan menyerbu Pasaraya Econsave di Pontian menyusuli tersebar gambar dan pesanan suara kononnya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan datang dan membayar harga barangan yang dibeli pengunjung di situ.

Utusan Malaysia melaporkan bahawa lebih 1,000 pengunjung berpusu-pusu membanjiri pasar raya itu sejak dibuka pagi semalam (12 Apr) dan memenuhkan troli masing-masing sebelum beratur panjang di kaunter.

Akhbar itu juga memetik Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam sebagai berkata, dakwaan Tunku Ismail akan belanja orang ramai di pasar raya berkenaan adalah berita palsu.

“Ini berita palsu dan tidak benar. Gambar dan pesanan suara yang ditularkan kononnya Tunku Ismail akan belanja orang ramai di Pasaraya Econsave Pontian adalah tidak benar sama sekali.

“Pihak kami sudah membuat lima hingga enam kali pengumuman mengenai perkara ini di pasar raya tersebut namun orang ramai masih tidak mempercayainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rabu lalu (11 Apr), Tunku Ismail membuat kejutan di pusat beli-belah AEON Mall Tebrau City Johor Bahru apabila tiba-tiba muncul dan membelanja pengunjung di situ.

Beliau dilaporkan membelanja orang ramai RM3,000 (S$1000) setiap seorang melibatkan jumlah sehingga RM1 juta (S$0.3 juta).

Mas Imran juga dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata, orang ramai masih tidak bersurai walaupun sudah beberapa kali pengumuman memaklumkan bahawa kedatangan Tunku Ismail itu adalah berita palsu.

Menurutnya, pihak polis juga sudah dipanggil untuk meredakan keadaan tetapi orang ramai di situ seperti masih berharap kedatangan Tunku Mahkota Johor itu bukan berita palsu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan