Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Sahruddin Jamal sah Menteri Besar Johor ke-17

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong (ADUN), Dr Sahruddin Jamal, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene di Johor Bahru hari ini (14 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Apr 2019 10:56AM Dikemas Kini : 14 Apr 2019 11:06PM

JOHOR BAHRU: Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong (ADUN), Dr Sahruddin Jamal, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene di Johor Bahru hari ini (14 Apr).

Sebelum ini, Dr Sahruddin merupakan anggota exco kerajaan negeri yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.

Dilahirkan pada 26 Mei 1975, Dr Sahruddin yang berusia 43 tahun merupakan doktor perubatan lulusan Sarjana Perubatan dari Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia.

Sebelum menceburi bidang politik, beliau membuka kliniknya sendiri iaitu Klinik Dr Sahruddin di Bukit Pasir, Pagoh.

Dr Sahruddin berkahwin dengan seorang doktor iaitu Dr Nila Armila Mukdan dan dikurniakan tiga orang anak perempuan.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Sahruddin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi DUN Bukit Kepong, yang dahulunya dikenali sebagai DUN Bukit Serampang, dengan mengalahkan Mohd Noor Taib dari Barisan Nasional (BN) dengan meraih 11,665 undi.

Beliau menewaskan calon BN itu dengan majoriti 1,273 undi.

Dr Sahruddin juga dilihat memainkan peranan penting ketika Johor menghadapi pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang selama dua minggu pada bulan lalu. 

Ketika itu, beliau memainkan peranan penting secara "hands-on" dan turun padang sejak hari pertama lagi (7 Mac), serta melihat sendiri keadaan di beberapa lokasi kejadian serta turut mempraktikkan ilmu perubatan beliau dengan memeriksa mangsa-mangsa yang terkena "Simptom Kim Kim".

Anak kelahiran Muar itu turut menjadi perhatian apabila menjadi wakil rasmi Menteri Besar sebelum ini, Osman Sapian, semasa Retreat Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung di Putrajaya (9 April), sehari selepas Encik Osman bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan antara mantan Menteri Besar itu dengan Dr Mahathir pada 8 April difahamkan berkenaan dengan status jawatan MB yang dijawat Osman ketika itu.

Kehadiran Dr Sahruddin dalam retreat tersebut turut menguatkan lagi khabar angin bahawa beliau adalah antara calon Menteri Besar Johor yang baru.

Pelantikan Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar turut menandakan kesepakatan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tetap dengan pendirian meneruskan tampuk pimpinan negeri Johor kepada Bersatu Johor.

Pada PRU lalu, PH memenangi 36 kerusi DUN manakala BN 19 kerusi dan PAS satu kerusi.

Daripada 36 kerusi itu, DAP memiliki 14 kerusi, Amanah sembilan kerusi, PKR sebanyak lima kerusi manakala Bersatu sebanyak lapan kerusi.

Bagaimanapun, Bersatu menambah tiga lagi kerusi DUN dengan penyertaan tiga ADUN Bebas yang merupakan bekas ADUN BN (UMNO) iaitu ADUN Endau (Alwiyah Talib) pada September tahun lalu dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari pada November.

Ini menjadikan komposisi DUN Johor kepada PH 39 kerusi, BN 16 kerusi dan PAS satu kerusi. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan