Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Stereotaip, prejudis dan sikap perkauman – bagaimana kita boleh memahaminya

Sikap perkauman dan prejudis mungkin tidak dapat dihapuskan sama sekali tetapi jika kita bijak dan berhemah ia boleh dikawal dengan kesan-kesan buruknya dapat dikurangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Stereotaip, prejudis dan sikap perkauman – bagaimana kita boleh memahaminya

Para peserta Persidangan Masyarakat Bersepadu (ICCS) di S’pura Jun 2019

Tidak seperti kebanyakan negara lain, Singapura mungkin memang agak terbuka dalam membincangkan perkara-perkara tidak menyenangkan walaupun ia melibatkan isu-isu kaum atau agama.

Agak ganjil untuk perkara sebegini dibangkitkan secara terbuka ekoran satu dua insiden baru-baru ini,  sedang negara sibuk dengan persiapan meraikan hari kebangsaannya yang istimewa.

Namun seperti yang kita ketahui sikap perkauman memang wujud di Singapura walaupun pada keseluruhannya  hubungan kaum dan agama di sini ada menunjukkan perubahan baik dibandingkan pada masa-masa lalu.

 Orang ramai dengan pelbagai latar belakang (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Dari semasa ke semasa memang ada sahaja insiden berbau perkauman, kebanyakannya lebih disebabkan oleh kejahilan atau kesilapan dan bukan kerana didorong oleh niat jahat yang benar-benar mahu menimbulkan porak peranda. 

Bagaimanapun untuk mencapai kemajuan yang lebih mendalam dalam menangani isu-isu perkauman atau sensitiviti antara agama, masyarakat pada umumnya mestilah dilengkapkan dengan kaedah dan pendekatan bijak dalam membincangkan gejala perkauman atau agama, sikap prejudis dan stereotaip negatif terhadap kumpulan-kumpulan masyarakat di sekeliling kita.  

WUJUD DI MANA-MANA

Kita akur bahawa isu-isu perkauman, prejudis dan pandangan serong terhadap kumpulan-kumpulan yang lain daripada kita sebenarnya memang telah lama wujud.

Ia  boleh berlaku dalam mana-mana masyarakat, sama ada yang berbilang kaum dan agama atau pun dalam masyarakat satu kaum atau satu agama.

Prejudis dan salah tanggapan tidak semestinya berasas kaum atau agama sahaja. Ia juga boleh berlaku kerana perbezaan kelas atau kedudukan ekonomi, perbezaan kedudukan sosial dan pangkat, malah kerana perbezaan taraf pendidikan sekalipun. 

Banyak kajian telah pun dijalankan mengenai gejala prejudis dan diskriminasi kaum atau agama lebih-lebih lagi di Amerika dan Eropah.

Kedua-dua  benua ini mempunyai pengalaman sejarah yang lama dalam soal seperti perhambaan, penganiayaan dan penindasan terhadap golongan minoriti, malah juga kebencian dan pembunuhan beramai-ramai atas dasar perbezaan warna kulit dan kepercayaan.

Pelbagai pendekatan digunakan oleh para sarjana untuk memahami gejala ini, antaranya pendekatan sejarah yang mengkaji ideologi dan kesan-kesan penjajahan Eropah ke atas masyarakat pribumi.

Kedua-dua mereka berhujah bahawa banyak stereotaip dan sikap prejudis terhadap golongan yang dijajah (seperti masyarakat Arab, Afrika dan juga masyarakat Melayu di rantau ini), berkisar daripada ideologi penjajahan Barat yang sengaja memperkecilkan budaya, nilai dan kemampuan masyarakat dijajah.

Dengan menggambarkan golongan dijajah dengan ciri-ciri yang penuh daif: seperti malas, kurang berusaha, tidak bijak, tidak bermoral, suka menipu dan sebagainya - meletakkan pihak penjajah di taraf yang lebih tinggi.

Ia sekali gus memberi mereka kuasa moral untuk terus menjajah ‘pihak yang lemah’ itu atas alasan bahawa penjajahan ke atas golongan pribumi ini menjadi tanggungjawab mereka memandangkan pihak yang dijajah itu tidak mempunyai ciri-ciri yang baik untuk mentadbir diri sendiri.

MENINGGALKAN KESAN

Oleh kerana proses penjajahan berjalan cukup lama dengan nilai-nilai yang dikembangkan oleh ideologi penjajahan telah jauh menyerap ke dalam masyarakat, tidak hairan mengapa sesetengah tanggapan salah termasuk stereotaip dan prejudis kaum masih lagi meninggalkan kesan sehingga hari ini.

Beberapa sarjana lain pula seperti Gordon Allport (The Nature of Prejudice, 1954) menggunakan pendekatan psikologi sosial untuk menjelaskan mengapa prejudis kaum dan kelas boleh berlaku di mana-mana.

Dalam kajiannya tentang masalah stereotaip dan prejudis masyarakat, Allport mengakui bahawa ia adalah gejala yang mempunyai akar dan tarikan emosi yang cukup kuat.

Allport (pakar psikologi Amerika dalam tahun-tahun 1960an) mungkin antara pengkaji terawal yang mengaitkan sikap prejudis sebagai punca diskriminasi.

Berbanding dengan sikap perkauman, sikap prejudis (seperti berpegang pada stereotaip negatif terhadap sesuatu kumpulan kaum atau golongan lain) agak sukar dihapuskan dalam masyarakat kerana sebab-sebab psikologi.

Antara faktor utama menurut beliau adalah tabiat manusia yang memang suka meletakkan orang lain dalam kategori-kategori tertentu dan memisahkan sesama sendiri mengikut kumpulan-kumpulan.  

GEJALA BERTERUSAN

Dalam kerangka pemikiran kita, sesetengah orang yang dianggap mempunyai ciri-ciri tertentu diletakkan di dalam kumpulan-dalam (in-group) dan ada pula diletakkan dalam kumpulan-luar (out-group).

Salah satu sebabnya adalah kerana sikap manusia yang sentiasa rasa ‘tidak selamat’ (insecure) dan oleh itu memerlukan kumpulan-dalamnya sendiri untuk berasa tenteram.

Inilah yang menjadi antara sebab penting bagaimana stereotaip dan prejudis boleh wujud kerana kesediaan kita untuk meletakkan label-label tertentu kepada orang lain di luar daripada kumpulan-dalam kita.

Kebanyakan pakar akur bahawa stereotaip dan sikap prejudis memang kuat dipengaruhi oleh sebab-sebab sejarah dan sosial.

Tetapi apa yang kurang jelas adalah bagaimanakah gejala ini boleh berterusan sehingga hari ini walaupun punca-punca sejarah dan sosial itu sudahpun di atasi.

BIJAK DAN BERHEMAH

Hasil penyelidikan Allport telah berjaya dilaksanakan sebagai dasar-dasar pemerintah Amerika termasuk dasar menggalakkan integrasi dan pergaulan antara kaum di negara itu. (Melihat kepada era ketika itu dengan sikap perkauman kulit putih masih cukup tebal,  gagasan Allport itu memanglah suatu yang sukar dibayangkan pada tahun-tahun 1950an dan 60an).

Dasar tersebut menggalakkan interaksi dan kerjasama membina yang telah menyumbang kepada lunturnya tanggapan-tanggapan negatif terhadap satu sama lain.

Sikap perkauman dan prejudis kaum mungkin tidak dapat dihapuskan sama sekali buat masa ini.

Tetapi jika kita terus bersikap bijak dan berhemah kita boleh membuat kemajuan yang baik dalam memastikan gejala ini bukan sahaja terkawal, malah kesan-kesan buruknya ke atas masyarakat dapat terus dikurangkan.  


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan