Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Seruan supaya Melayu terima perubahan bergema dari S’pura sekurun lalu

Brief: Seruan supaya masyarakat Melayu sedia menerima perubahan dibuat sejak sekurun lalu sedang S’pura dan rantau ini berhadapan dengan penjajahan dan pemodenan pesat. Apakah seruan berubah itu masih lagi relevan hari ini? 

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar buku:

Seruan Islah Shaykh al-Hady terjemahan Mohd Rashidi Nasharuddin & Shuhaib Ar Rumy Ismail (Islamic Renaisance Front, 2018)


Pernah kita terdengar dahulu orang selalu membuat perbandingan taraf kemajuan antara masyarakat Melayu dan Cina menerusi pelbagai coretan. 

Misalnya, orang Cina kerap digambarkan sebagai masyarakat perantau yang tiba ke sini hanya sebatang kara, tidak punyai apa-apa kecuali pakaian sehelai pinggang dan kajang berlipatnya yang di bawa ke sana sini.   

Tetapi dengan ‘sekelip mata sahaja’ mereka boleh berubah menjadi peniaga besar, pemilik tanah dan seterusnya sebagai jutawan.

Tidak pula dengan orang Melayu yang besar kemungkinan lambat berubah hingga ketinggalan jauh di belakang orang lain.

Orang yang pertama tercatat membuat perbandingan secara demikian tentunya adalah Syed Shaykh al-Hady, tokoh pembaharuan yang banyak menghabiskan hidupnya untuk melihat masyarakat Melayu berubah bersama-sama kaum lain dalam mengecapi kemajuan dan pemodenan.

Shaykh al-Hady (1867- 1934) mungkin tidak dikenali ramai hari ini kerana beliau bukan seorang ulama ulung, tokoh negarawan atau pun panglima besar.

Meskipun demikian peranannya dalam sejarah ‘islah’ atau  pembaharuan masyarakat Melayu/Islam terutama di sebelah Semenanjung Melayu dan Singapura amat besar sekali.

Malah beliau boleh disamakan dengan tokoh-tokoh pembaharuan besar yang lain seperti Jamaludin Al Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan juga Haji Agus Salim.  

Inilah yang hendak digariskan dalam buku The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady , yang disunting Alijah Gordon, dengan versi terjemahannya: Seruan Islah Syed Shaykh al-Hady  suntingan Ahmad Farook Musa.

PUNCA KEMUNDURAN

Sumbangan Shaykh al-Hady  baik di peringkat antarabangsa dan juga nasional memang belum cukup diiktiraf, salah satu faktornya mungkin kerana perjuangan dan gagasan beliau tidak selari dengan 'arus umum' sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu.

Pandangan beliau mengenai masyarakat Melayu lebih-lebih lagi terhadap kepimpinan tradisional, masyarakat dan agama cukup keras  sehingga baik di pihak kanan atau pun pihak kiri agak sukar untuk menerima beliau.

Golongan kanan tidak senang dengan kritikannya terhadap kepimpinan tradisional Melayu (termasuk Raja Melayu dan golongan istana) dan golongan ulama tradisional, yang sering dianggap al Hady sebagai punca kemunduran masyarakat Melayu ketika itu.

Rumah kampung S'pura, 1907  (New York Public Library) 

Anjuran al-Hady supaya sistem pendidikan madrasah tradisional dirombak untuk menjadi pendidkan moden, menyebabkan beliau sering dikaitkan dengan fahaman liberal dan sekular pula. 

Dalam hal penjajahan Barat pula, Shaykh al-Hady agak sepi dalam kritikannya. Malah al-Hady banyak berasa ‘terhutang budi’ kepada penjajah kerana ia telah melepaskan orang Melayu daripada kepimpinan feudal.  

Apa pun penerimaan masyarakat terhadap Shaykh al-Hady  beliau sebenarnya mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah pemodenan masyarakat Melayu. 

PENGASAS AL IMAM

Sebagai salah seorang pengasas akhbar Al Imam yang dibuka di Singapura pada 1906, beliau banyak berperanan dalam menderaskan tiupan angin pembaharuan pada awal kurun ke-20.

Bersama-sama tokoh pembaharuan yang lain seperti Sheikh Tahir Jalaludin, Haji Abbas Mohd Taha dan Shaykh Mohd Salim al Kalali, mereka mengetengahkan gagasan kemajuan masyarakat Melayu/Islam berlandaskan Islam dan pengetahuan moden.

Seperti tegas William Roff, berbeza dengan penerbitan Melayu sebelumnya, Al Imam memaparkan kewibawaan intelek dan keazaman kuat untuk menggariskan falsafah bertindak yang jelas bagi merubah masyarakat ke arah perubahan.

Bukan sahaja dengan Al Imam, Shaykh al-Hady turut bergiat dalam bidang pendidikan dengan mengusahakan beberapa madrasah, dalam bidang penulisan menerusi novel-novelnya, serta meluaskan pelibatannya dalam kewartawanan menerusi dua lagi akhbar, al Ikhwan dan Saudara.

RESPON TERHADAP CABARAN

Semua pelibatannya itu mencerminkan iltizam dan kegigihannya untuk melakukan sesuatu sebagai respon terhadap pelbagai cabaran yang sedang melanda masyarakat Melayu/Islam ketika itu.

Melayu S'pura dalam 1890an (Gambar wikipedia) 

Dalam al Ikhwan (majalah yang diterbitkannya di Pulau Pinang pada 1928), Shaykh al-Hady  mengambil contoh tentang bagaimana ramai orang Melayu Singapura terpaksa berpindah dari  sekitar High Street dan Cross Street, kerana tidak lagi mampu untuk tinggal di kawasan bandar.

Beliau tidak mempersalahkan pemodenan, perbandaran atau pun pihak penjajah bagi keadaan ini.

Sebaliknya beliau menyalahkan golongan kepimpinan tradisional Melayu terutama sekali pihak bangsawan dan agamawan yang leka dalam menyiapkan masyarakat Melayu untuk menghadapi perubahan.

SERUAN SEBENAR AGAMA

Bagi al-Hady untuk membolehkan masyarakat Melayu berhadapan dengan perubahan ia mestilah menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan moden disamping kefahaman yang betul terhadap ajaran sebenar Islam.

Matlamat perjuangan Shaykh al-Hady dan rakan-rakannya adalah untuk mengembalikan masyarakat kepada ‘seruan sebenar ajaran Islam.’

Islam, katanya, bukan mengajar umatnya supaya menjadi lemah. Sebaliknya umat Islam haruslah menjadi umat yang boleh mengejar kemajuan dengan berpegang kepada ajarannya yang sebenar.

Inilah yang menjadi seruan beliau atau dalam satu rencana ditulisnya sebagai ‘Teriak Sebenar’  di mana beliau melihat perlunya masyarakat dan kepimpinan Melayu berubah sejajar dengan kehendak zaman.   

The Real Cry (dan terjemahannya, Seruan Islah) bukan sahaja mengetengahkan gagasan dan buah fikiran Shaykh al-Hady.

Menerusi sumbangan anaknya, Syed Alwi al-Hady dan cucunya, Syed Mohammed Alwi al-Hady, kita juga dapat melihat gambaran lebih mendalam tentang perwatakan dan peribadi Shaykh al-Hady. 

(Gambar Alijah Gordon) 

BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT

Menurut Syed Mohammed Alwi, datuk beliau, yang juga menjadi ayah angkatnya, adalah seorang yang amat serius yang tidak mempunyai hobi lain kecuali membaca, menulis dan berbincang.

Tidak pernah keluar rumah untuk berhiburan, menyertai majlis-majlis keramaian atau pun keluar bercuti.

Keseluruhan hidupnya dihabiskan bukan untuk mencari kekayaan (beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan harta atau wang untuk keluarga), tetapi sebaliknya untuk  berbakti kepada masyarakat dengan idea pembaharuannya.

Kini sudah seratus tahun Shaykh al-Hady menyuarakan banyak gagasan dan rintihan bahawa masyarakat Melayu tidak seharusnya ketinggalan di belakang zaman  atas sebab-sebab  agama dan kepercayaan.

Melihatkan kepada keadaan semasa hari ini,  apakah kita masih perlu berikan perhatian kepada rintihan dan ‘teriak’ beliau untuk beberapa ketika lagi? 

 

 


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan