Images
  • Commentary Default Photo

ULASAN: Selain beribadat, Ramadan juga bulan yang baik buat renungan ilmu

Mungkin sebahagian besar daripada kita tidak lagi perlu diingatkan bahawa  Ramadan adalah bulan untuk banyak beribadat dan melakukan amal jariah.

Sebenarnya sebagai bulan kerohanian, ia juga bulan yang baik untuk membuat renungan mendalam terhadap pemahaman dan penghayatan kita mengenai Islam.

Renungan ilmiah ini pastinya boleh mendalamkan lagi ilmu dan penghayatan kita terhadap Islam itu sendiri.

Misalnya, pemahaman kita terhadap prinsip-prinsip yang telah menjadikan Islam sebagai agama yang unggul – bukan sahaja kepada umat Islam malah juga kemanusiaan seluruhnya.

PRINSIP WASATIYYAH

Salah satu prinsip itu tentunya adalah konsep wasatiyyah iaitu prinsip keseimbangan dalam segala aspek kehidupan. 

Ia melibatkan sikap mengambil jalan tengah atau kesederhanaan baik dalam tindak tanduk mahu pun  dalam cara  berfikir. 

Misalnya, kita  bersikap seimbang dan mengambil jalan tengah dalam hubungan dengan orang lain dan dalam hal-hal  melibatkan perbezaan pendapat atau berlainan kepercayaan.

Ia tidaklah bermakna kita menyerdehanakan kepercayaan atau amalan kita tetapi lebih bermaksud perlunya kita tolak ansur dan bersikap toleransi.


Dalam bukunya, The Middle Path of Moderation in Islam, Profesor Mohammad Hashim Kamali dari Jabatan Perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, meneliti konsep wasatiyyah itu dari segi latar belakang sejarah dan juga konteks semasa.

Beliau melihat wasatiyyah sebagai prinsip kehidupan yang dipegang oleh sejumlah besar umat Islam di merata dunia sejak dari dahulu lagi.

Apa yang menjadikan wasatiyyah dipersoalkan hari ini adalah kerana adanya sejumlah kecil umat Islam yang mahu berlebih-lebihan dalam tindak tanduk dan kepercayaan mereka.

Pendirian dan amalan mereka itu jauh melampaui apa yang digalak dan dibenarkan oleh agama (seperti kurang toleran terhadap pihak yang berlainan kepercayaan, berpegang kepada fahaman ekstrem, bertindak radikal dan melakukan pengganasan).

Bagi Prof Kamali beliau menemui prinsip-prinsip keseimbangan Islam itu dalam dua sumber asasnya iaitu Al Quran dan Hadis Nabi.

SEJARAH MENDALAM

Beliau  berhujah bahawa wasatiyyah mempunyai sejarah yang panjang dan cukup mendalam terutama sekali dalam bidang perundangan Islam.

Ia juga banyak terkait dengan isu-isu semasa melibatkan soal-soal keadilan, hak wanita, alam sekitar dan juga globalisasi.


Prof Kamali menunjukkan bagaimana prinsip tersebut amat relevan dalam perbincangan mengenai isu-isu mendesak hari ini seperti konsep jihad dan dalam hubungan antara agama.

Sebagai pakar  perundangan Islam, Prof Kamali amat tegas menyuarakan bahawa hukum Islam yang berasaskan kepada prinsip wasatiyyah amat responsif terhadap keperluan dan keadaan masyarakat Islam hari ini.

Dalam ulasannya terhadap buku ini, Seyyed Hossein Nasr, profesor kajian Islam di Universiti George Washington, berpendapat prinsip kesederhanaan Islam itu amat terserlah dalam banyak perkara yang sememangnya mencerminkan perspektif yang tulen.

KEHIDUPAN SECARA DAMAI

Pendek kata seperti yang dihujahkan oleh para sarjana lain, keupayaan Islam memberi respons secukupnya terhadap persoalan hari ini mencerminkan bagaimana prinsip kesederhanaannya itu boleh meyumbang kepada moraliti agama sejagat.

Dengan keyakinan sedemikian, tidak hairanlah mengapa ada sarjana yang melihat tulilsan Prof Kamali itu sebagai bukti jelas bahawa apabila prinsip wasatiyyah menjadi panduan masyarakat, umat Islam tidak mempunyai masalah untuk hidup secara damai dalam apa konteks sekali pun.   

Walaupun menyentuh pelbagai isu yang kompleks dan agak berat, buku The Middle Path of Moderation in Islam boleh dihayati masyarakat awam dan juga kalangan sarjana.

Apa pun isu yang dibangkitkannya, mesej yang disampaikannya adalah sama: umat Islam boleh  hidup dalam suasana toleran dan aman damai dengan   penganut-penganut lain jika ia mengamalkan prinsip keseimbangan itu.

Kalau tulisan Prof Kamali menggali prinsip sedemikian menerusi dalil-dalil Al Quran dan Hadis, kajian Karen Armstrong pula menemukannya dalam kehidupan pengasas Islam sendiri iaitu Nabi Muhammad.


Dalam, Muhammad: A Prophet of Our Time,   Armstrong memaparkan gambaran yang seimbang terhadap Nabi Muhammad sebagai tokoh junjungan besar kepada umat Islam.

Gambaran yang dibuat beliau itu menunjukkan bahawa dari mula lagi Rasulullah adalah seorang yang menolak kekerasan dan peperangan – kecuali apabila benar-benar terdesak demi mempertahankan diri sendiri.

PERBETULKAN GAMBARAN SALAH

Ia bagi memperbetulkan banyak gambaran salah terutama dari pengkritik-pengritik Barat, yang melihat Nabi sebagai tokoh yang cenderung kepada kekerasan.

Tanggapan mereka yang salah itu gagal membezakan apa yang diperjuangkan oleh Nabi dengan realiti kekerasan dan kezaliman yang dihadapinya.  


Armstrong menjelaskan dengan panjang lebar dan dengan banyak contoh untuk memberikan gambaran yang lebih seimbang tentang kehidupan Nabi.

Beliau menunjukkan perjuangan Nabi adalah berpusat kepada tentangannya terhadap ideologi jahiliyah (atau kejahilan) dan segala kelemahannya.

Ini termasuklah  sistem masyarakatnya yang mengabaikan golongan lemah dan terlalu angkuh terhadap pihak-pihak di luar kalangan mereka.

Sistem masyarakat itu yang mudah terdedah kepada konflik dan sikap suka berbalas dendam antara satu sama lain, amat ditentang oleh Nabi kerana ia bercanggahan dengan naluri dan prinsip beliau yang dahagakan keadilan dan perdamaian.

TANGGUNGJAWAB BESAR

Hasilnya gambaran yang dilukis oleh Armstrong adalah seorang Nabi yang pada dasarnya manusia biasa tetapi memikul tanggungjawab besar untuk merubah masyarakatnya.

Daripada sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem yang cukup tidak adil terhadap yang lemah kepada masyarakat yang lebih seimbang dan penuh keihsanan.

Untuk mencapai matlamatnya itu Nabi perlu bergelut dengan banyak kepercayaan, tradisi, budaya dan amalan dalam masyarakat lama yang beliau tidak senangi.

Tetapi apabila semua matlamatnya itu tercapai, beliau tidak pula melaksanakan sistem masyarakat yang mengekang dan kurang adil kepada mereka yang tidak bersetuju dengan dasar-dasar yang dikuatkuasakannya.

Piagam Madinah, misalnya, yang digubal oleh Rasulullah sering dilihat sebagai suatu projek kemasyarakatan yang progresif.

Ini kerana ia berjaya memaparkan masyarakat berbilang kepercayaan dan budaya yang boleh wujud secara damai walaupun adanya banyak perbezaan sesama mereka.

ASPEK ISTIMEWA

Prinsip keseimbangan yang utama di bawah Piagam Madinah adalah pentingnya  setiap pihak sedia bekerja rapat dan bertolak ansur untuk menjaga kepentingan bersama yang lebih besar.

Inilah antara aspek istimewa yang boleh kita fikirkan bersama dalam kita merenung tentang apa sebenarnya yang menjadikan Islam agama yang unggul.

Tentunya dalam kita perbanyakkan amal ibadat sempena Ramadan, renungan tentang sejarah dan prinsip-prinsip yang menyumbang kepada keunggulan Islam haruslah juga dilihat sebagai kegiatan yang bermakna sepanjang bulan suci ini.


- BERITAmediacorp/IB

Top