Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Sejarah lebih mudah dihayati dengan sikap kritikal dan jiwa terbuka

Ketokohannya tidak dipersoalkan walaupun ada yang menyangsikan sumbangan beliau kepada dunia ilmu. Ruang untuk kita terus menghayati sumbangan Ibn Khaldun masih terbuka luas jika kita tahu menilainya.  

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar buku:

Ibn Khaldun An Intellectual Biography

Orangnya bukanlah ulama besar seperti yang kita kenali, namun cukup tidak asing bagi ramai umat Islam.

Abdul Rahman ibn Muhammad Ibn Khaldun, sejarawan kelahiran kurun ke-14 dari rantau Maghrib sering disebut-sebut sebagai tokoh besar yang pernah dilahirkan dunia Islam.

Namun seperti yang diingatkan oleh sejarawan British, Robert Irwin, tokoh ini sebenarnya bukanlah mudah untuk dikenali dengan mendalam.

Antara persoalan yang kerap ditimbulkan mengenai Ibn Khaldun: Adakah benar beliau seorang sejarawan besar dengan ketokohannya jauh mendahului zamannya? Seorang pemikir ‘moden’ yang hidup dalam zaman pra-moden?

Atau adakah beliau hanya sekadar pemikir sezamannya, tidak banyak beza dengan pemikir-pemikir lain ketika itu, dengan idea-idea mereka tetap terikat dengan keadaan dan zaman ‘Pertengahan’ masing-masing?

Inilah yang cuba dijawab oleh  Irwin dalam bukunya Ibn Khaldun: An Intellectual Biography .

Irwin mahu menjawab pelbagai pandangan yang berbelah bahagi di kalangan sarjana-sarjana kontemporari tentang siapakah sebenarnya Ibn Khaldun. 

Beliau menggariskan pelbagai pandangan dengan ada rata-rata menyanjung Ibn Khaldun kerana melihatnya sebagai sejarawan besar yang berjaya menggali prinsip-prinsip di sebalik perkembangan sejarah.

PEMIKIR BESAR

Mereka melihat Ibn Khaldun sebagai bapa ilmu sejarah moden dengan teorinya bahawa faktor seperti semangat kesatuan dan perpaduan ‘asabiyah’ amat penting dalam pembangunan sesebuah tamadun.

Muqaddimah, versi bahasa Arab tulisan Ibn Khaldun 

Dalam karya agungnya, Muqaddimah,  Ibn Khaldun juga menyentuh banyak isu besar lain sehingga ada yang melihat beliau sebagai pengasas ilmu kaji masyarakat.

Ada juga yang menganggapnya sebagai ahli falsafah dan juga tokoh tasawuf yang sealiran dengan imam-imam  besar seperti Al Ghazali, umpamanya. 

Pendek kata mereka melihat Ibn Khaldun sebagai pemikir yang bukan calang-calang orangnya, malah pemikir yang amat di hadapan masanya  dibandingkan sarjana-sarjana sezamannya.

TIADA KATA MUKTAMAD?

Tetapi apakah semua gambaran terhadap Ibn Khaldun itu tepat? Terutama sekali pandangan bahawa beliau adalah seorang pemikir besar dengan banyak idea baru yang jauh mendahului zamannya.

Atau apakah gagasan-gagasan yang diluahkan oleh Ibn Khaldun itu sebenarnya tidaklah sebesar mana seperti yang dilaung-laungkan hari ini?

Bagi Irwin tiada kata muktamad sebenarnya tentang mengapakah kita perlu menyanjung tinggi ketokohan dan sumbangan Ibn Khaldun.

Malah Irwin lebih jelas dalam penegasannya bahawa adalah satu kesilapan bagi sarjana dan pakar-pakar hari ini untuk meletakkan pengiktirafan terlalu tinggi kepada Ibn Khaldun.

Arca Ibn Khaldun di Tunis, Tunisia 

Arca Ibn Khaldun di Tunis, Tunisia

Dalam Ibn Khaldun,   Irwin menerangkan pelbagai faktor mengapa  para sarjana hari ini banyak membuat silap dalam menyanjung tinggi penulisan dan sumbangan Ibn Khaldun.

Pertama sekali, Irwin berhujah walaupun Ibn Khaldun mungkin sudah tidak asing bagi kebanyakan kita, ia tidak bermakna kita semua sudah mengenalinya dengan baik.

Irwin mengingatkan para pembaca walaupun dunia sudah pun mengangkat Ibn Khaldun sebagai antara ‘pemikir tersohor yang pernah dilahirkan oleh tamadun Islam’, ia tidak bermakna gambaran kita mengenainya adalah tepat.

Bagi Irwin dan ramai lagi sarjana sepertinya, mereka melihat tokoh ini bukanlah seorang yang mudah difahami dengan lengkap. 

DISANJUNG TINGGI

Mereka yang sudah mengkajinya pula masih belum sepakat  mengapa tokoh ini harus disanjung begitu tinggi.

Inilah yang menjadi teras hujah-hujah Irwin di mana beliau bertanya mengapakah “pakar-pakar membuat kesilapan” sehingga menilai Ibn Khaldun sebagai terlalu tinggi daripada apa yang sepatutnya.

Apakah sebenarnya sumbangan beliau kepada perkembangan tamadun ilmu?

Apakah beliau seorang yang jauh mendahului zamannya dengan pemikiran yang meluas tentang sejarah dan tamadun?

Atau apakah beliau sekadar penulis sejarah yang masih terbatas dengan linkungan pemikiran pada zamannya, tidak lebih daripada penulis-penulis sejarah lain yang sezamannya.

Menerusi kajiannya terhadap  latar belakang,  liku hidup,  corak pemikiran dan sekitaran ilmiah Ibn Khaldun, Iriwn mendapati Ibn Khaldun sebenarnya tidak banyak luar biasanya dibandingkan penulis-penulis lain.

Pandangan dan teori sejarah Ibn Khaldun, katanya,  telah dinilai terlalu tinggi untuk  masyarakat moden hari ini, walaupun kebanyakan idea beliau sebenarnya tidaklah mendahului zaman beliau.

Masjid Tunis (wikipedia) 

Masjid di Tunis di mana Ibn Khaldun menuntut ilmu (wikipedia) 

PROGRESIF ATAU SEZAMAN? 

Idea dan teori Ibn Khaldun, tegas Irwin,  tidak seharusnya dipandang sebagai progresif, malah harus diterima sebagai suatu yang sesuai untuk zamannya sahaja sekitar 700 tahun lalu.

Untuk menguatkan hujahnya, Irwin  menyenaraikan beberapa cebisan pandangan Ibn Khaldun yang menurutnya agak anih dan tidak sesuai untuk zaman ini, kerana ia mencerminkan ‘pertimbangan rasional yang terbatas’, ‘tidak saintifik’ dan ‘cukup terikat dengan acuan lama’.

Antaranya kepercayaan Ibn Khaldun bahawa

- matahari itu tidak panas atau pun sejuk;

-  wabak penyakit (seperti Black Death) tiada kena mengena dengan penyakit tetapi lebih disebabkan oleh pencemaran udara dan kepadatan penduduk.

- kebuluran tidak boleh menyebabkan kematian sambil mendakwa ada yang masih boleh hidup sehingga 40 hari.

- kelembapan dalam otak merupakan punca kebodohan.

- kekuasaan politik berpindah dari rantau selatan ke utara kerana matahari di sebelah utara sudah semakin panas.

- kepercayaan kepada kebatinan dan juga ilmu nujum, lebih-lebih lagi yang melibatkan ramalan tentang apa yang akan berlaku pada masa depan.

Kita boleh terima hujah dan contoh-contoh Irwin bahawa pandangan di atas ini tidak mencerminkan ‘pemikiran yang jauh mendahului zamannya’.

SUMBANGAN KESARJANAAN

Ia bagaimanapun tidak menafikan sama sekali bahawa Ibn Khaldun telah membuat sumbangan yang besar kepada dunia kesarjanaan.

Misalnya, pendekatan beliau bahawa di sebalik perkembangan dan perubahan sejarah itu ada prinsip-prinsipnya yang  tertentu merupakan pendekatan pensejarahan yang baru bagi zamannya.

Kaedah beliau itu diiktiraf telah menyumbang kepada bidang pengetahuan yang dipanggil falsafah sejarah.

Sama ada teori atau pun gagasan yang dikembangkannya sebagai prinsip sejarah itu masih lagi relevan adalah satu perkara lain.

Inilah antara perkara-perkara yang dipersoalkan oleh Irwin : sejauh manakah gagasan-gagasan Ibn Khaldun itu masih lagi berguna kepada kita hari ini.

IKTIBAR PENTING

Pakar-pakar yang mengkaji Ibn Khaldun mungkin akan terus berbalah tentang bagaimanakah kita harus menilai sumbangan sebenar tokoh tersebut.

Sedang mereka berselisih dalam penilaian masing-masing, ia tidaklah bermakna kita boleh menolak mentah-mentah apa yang dicernakan oleh Ibn Khaldun.

Begitu juga ia tidak bermakna kita langsung jangan mengendahkan pandangan-pandangan kritikal terhadap pemikir tersebut.

Iktibar pentingnya adalah kita perlu bersikap terbuka dan sedia menimbangkan apa sahaja penilaian dan pandangan yang kita terima; sama ada kita setuju atau pun tidak adalah satu perkara lain.

BERSIKAP TERBUKA

Pandangan dan tafsiran yang berbeza akan terus berlaku. Yang penting kita tidak harus bersikap terburu-buru untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan.

Sebaliknya kita perlu membuat penilaian sendiri yang seboleh-bolehnya berasaskan kepada prinsip-prinsip ilmiah, keterbukaan, objektif, rasional dan juga saintifik.

Berlengkapkan dengan prinsip-prinsip ini serta ilmu dan maklumat yang seperlunya, teruslah membuat penilaian masing-masing dengan lapang dada – sama ada kita mahu menerima Ibn Khaldun sebagai ilmuwan besar atau pun sebaliknya.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan