Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN : Rasa percaya terhadap satu sama lain - modal sosial yang semakin terhakis?

Daya saing sesebuah masyarakat bukan bergantung kepada faktor-faktor ekonomi sahaja; faktor sosio-budaya seperti kejujuran dan saling mempercayai juga amat penting. 

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar dua dekad lalu  meletus satu perbahasan di peringkat global tentang ideologi yang bagaimana yang akhirnya akan menguasai dunia.

Fahaman komunisme tidak lagi berpengaruh selepas berakhirnya Soviet Union sedang ideologi demokrasi liberal dan sistem ekonomi liberal kapitalismenya pula semakin menunjukkan taring baik di Barat atau di Timur, malah juga di Selatan.

Menjadi persoalan adalah apakah seluruh dunia akan akhirnya dipengaruhi oleh fahaman kapitalis-liberal di mana tenaga penggeraknya adalah kebebasan individu dengan daya bebasnya untuk membuat pilihan sendiri bagi memenuhi setiap kehendak masing-masing.

Bagi ahli-ahli ekonomi yang berpegang pada fahaman neo-klassikal mereka melihat faktor beginilah yang akan menentukan daya saingan sesebuah ekonomi dan negara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat – dan seterusnya kemakmuran yang lebih besar.

Mereka melihat individu baik sebagai pekerja, pemilik modal atau majikan, kita semua banyak didorong oleh kepentingan diri sendiri.

Selagi kita merasakan kepentingan kita akan terjaga selagi itulah kita akan terus menyumbangkan tenaga dan kemampuan kepada kegiatan ekonomi masing-masing. Ini pula akan merancakkan putaran ekonomi baik di peringkat lokal atau pun sejagat.

FAKTOR LEBIH BESAR

Tetapi bagi para sarjana berfahaman konservatif seperti Francis Fukuyama, mereka melihat adanya satu lagi faktor lebih besar untuk menggerakkan ekonomi.

Ia adalah faktor sosial atau budaya melibatkan nilai-nilai seperti  kepercayaan terhadap satu sama lain.

Dalam tulisannya, TRUST – The Social Virtues and the Creation of Prosperity (Free Press, 1995), Fukuyama mentakrifkan ‘kepercayaan’ atau ‘amanah’ ini dengan merangkumi nilai-nilai seperti kejujuran, kesediaan untuk bekerjasama dan saling mempercayai satu sama lain.

Ia merupakan suatu konsep yang wujud secara organik yang lahir daripada amalan sosio-budaya sesebuah masyarakat. Nilai-nilai itu membolehkan para anggota masyarakatnya bekerjasama sebagai sebuah pasukan untuk mencapai matlamat komersil yang lebih besar.

Nilai-nilai dan amalan sosio-budaya ini disebut Fukuyama sebagai ‘modal sosial’ yang amat penting dalam menyumbang kepada kejayaan sesetengah negara maju dalam membangunkan ekonomi mereka ke tahap global.

MODAL SOSIAL TINGGI

Fukuyama melihat negara-negara di mana nilai-nilai ini menyerlah, seperti Amerika Syarikat, Jepun dan di Eropah seperti Jerman atau Belanda, kesemuanya mempunyai masyarakat yang amat tinggi nilai modal sosialnya.

Masyarakat di negara-negara ini boleh mengatur kegiatan ekonomi mereka sehingga mereka mampu membentuk syarikat-syarikat berbilang bangsa.

Mereka dapat melakukannya dengan bekerjasama sesama sendiri dan tidak menantikan arahan daripada pemerintah atau pihak berkuasa pusat.

Masyarakat dan negara-negara yang masih bergantung kepada perancangan atau pihak berkuasa pusat untuk membimbing atau memandu mereka – seperti di Korea Selatan dan China – menurut Fukuyama, akan satu hari nanti menghadapi masalah untuk membuat penyesuaian besar apabila ekonomi mereka perlu menukar arah.

MODAL TERHAKIS

Merujuk kepada keadaan hari ini, inilah juga yang menjadi masalah bagi sesetengah negara maju seperti Amerika Syarikat apabila modal sosialnya mula terhakis. 

Daya saing dan inovasi mereka juga akan terjejas apabila semangat kerjasama dan mempercayai satu sama lain mula luntur.

Bagi Amerika, Fukuyama melihat faktor-faktor seperti keruntuhan institusi keluarga dengan kadar perceraian tinggi, ekonomi yang semakin tidak samarata dan penekanan berlebihan terhadap hak individu, yang semakin mengikis nilai mempercayai terhadap satu sama lain.

Dengan modal sosialnya yang semakin luput, daya saingan Amerika juga menurut Fukuyama makin terhakis  semakin hari ini.

KELEMAHAN TEORI

Teori pembangunan dan kemakmuran ekonomi Fukuyama ini memang nampak agak menarik dan menyegarkan.

Tetapi tidak semua ahli ekonomi bersetuju terhadapnya.

Tesis Fukuyama yang menggunakan alasan sosial atau budaya untuk menerangkan sesuatu gejala ekonomi  dilihat sesetengah pihak mungkin sebagai suatu bentuk orientalisme baru – yang sering meletakkan faktor kelemahan sesebuah masyarakat atau negara itu pada kekurangan yang ada dalam budaya dan sistem sosial mereka.

Ahli ekonomi Paul Krugman dalam responsnya terhadap tulisan Fukuyama itu menyifatkan kajian beliau sebagai ‘ilmu sosiologi cukup amatur’ sama sekali.

FAKTOR LAIN

Teori Fukuyama untuk menjelaskan kemajuan atau kemakmuran ekonomi dengan menggunakan alasan-alasan sosio-budaya sebagai faktor utama mungkin banyak kelemahannya.

Mungkin banyak lagi faktor yang boleh disebut sebagai penentu utama sama ada sesebuah masyarakat atau negara itu boleh mencatat kemajuan ekonomi yang besar.

Antaranya tentulah faktor kepimpinan pemerintah yang baik dalam perancangannya yang teliti dan bijak dalam menguruskan sumber-sumber ekonomi untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu.

Namun demikian tidak bolehlah juga kita ketepikan dengan mudahnya faktor-faktor sosio-budaya yang disebut Fukuyama: yakni faktor seperti semangat gotong royong, jujur dan amanah, sedia berkorban untuk kepentingan lebih besar serta saling mempercayai satu sama lain.

Nilai-nilai ini mungkin tidak cukup untuk menjadi faktor penentu dalam kita menjana sebuah ekonomi bertaraf dunia.

Tetapi sekurang-kurangnya ia amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat dan juga negara yang lebih seimbang; di mana mutu kehidupannya adalah cukup nyaman dan selesa di tengah-tengah perubahan ekonomi yang pesat.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan