Images
  • Malay world map
    Rantau Melayu Nusantara menurut peta kurun ke-17 (wikipedia)

ULASAN: Rantau Melayu pernah setanding dan semewah Eropah – kini bagaimana?

Perspektif  Anthony Reid dalam bukunya:

A History of Southeast Asian - Critical Crossroads  (Wiley Blackwell, 2015)            

Southeast Asia in the Age of Commerce 1450-1680 (Yale Univ Press, 1993)

Berbeza dengan tanggapan yang telah lama dipendamkan dalam benak pemikiran kita, masyarakat Asia termasuk kaum Melayu, tidaklah asing dengan kemajuan dan peradaban yang setanding dengan Eropah.

Sebelum ini, terutama semasa zaman penjajahan, kerap digembar-gemburkan bahawa masyarakat Asia sentiasa di belakang Eropah dalam pembangunan  tamadun manusia.

Ini adalah jauh berbeza sekali daripada kajian yang dibuat oleh Anthony Reid dalam tulisan utama beliau seperti Southeast Asia in the Age of Commerce 1450-1680 (Asia Tenggara dalam Zaman Perdagangan) dan A History of Southeast Asia – Critical Crossroads (Sejarah Asia Tenggara – Persimpangan Kritikal).

Reid, profesor emeritus dalam Sejarah Asia Tenggara,  melihat bahawa rantau Asia Tenggara termasuk Dunia Melayu pernah mengecapi ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ baik dari segi ekonomi, perdagangan, teknologi dan juga kebudayaan – yang menurut beliau, bukan sahaja setanding, malah adakalanya jauh di hadapan Eropah.

Kalau sejarah Asia Tenggara boleh dibahagikan kepada dua tempoh utama sebelum kemunculan zaman ‘pemodenan Barat’ (sekitar kurun ke-19), Reid melihat dua era penting yang pernah dilalui oleh rantau ini.

ZAMAN PERDAGANGAN

Pertama, adalah era atau ‘Zaman Perdagangan’ (dari sekitar pertengahan kurun ke-15 hinggalah ke lewat kurun ke-17) dan era krisis yang digelar oleh Reid sebagai ‘Zaman Krisis Kurun ke-17’ (yang yang membawa kepada kelemahan rantau dan masyarakat Asia keseluruhannya).

Pada era perdagangan yang menjadi zaman kegemilangan dunia Melayu, Reid melihat banyaknya kejayaan dan kegemilangan di rantau Asia dan rantau Melayu, sebahagian besarnya berpunca daripada kemampuan rantau ini memanfaatkan faedah dagangan bebas kurun ke-15.

Kerancakan perdagangan dan kamakmuran membantu rantau ini mengorak perubahan lebih besar dari segi urbanisasi (kehidupan di kota), struktur kenegaraan dan kebudayaan.

Dari segi urbanisasi, kota-kota pelabuhan Asia termasuk Melaka dan Demak, misalnya, muncul menjadi lebih besar daripada kota-kota Eropah ketika itu.

TERBUKA DAN PELBAGAI

Kegiatan ekonomi dan dagangan begitu pesat membolehkan bukan sahaja pengaliran barangan dagangan, malah juga pertemuan antara manusia dari pelbagai pelusok yang membawa bersama mereka idea-idea baru dari luar.

Ini sekali gus menjadikan banyak kota pelabuhan Asia bukan sahaja besar tetapi juga amat terbuka dan pelbagai dari segi penduduk, amalan budaya dan juga kepercayaan.

Dari segi teknologi juga, Asia Tenggara tidaklah keterbelakang daripada Eropah ketika itu, terutama sekali dalam teknologi pembinaan kapal atau bot pelayaran.

Misalnya, masyarakat Melayu bukan sahaja pintar berdagang dari satu tempat ke tempat lain, malah amat cekap dalam membina kapal-kapal dagang.

Lukisan jong Melayu-Jawa sekitar kurun ke-15 (Gambar wikipedia)

Kita difahamkan bahawa perkataan ‘junk’ yang dulunya bermakna kapal layar berasal daripada nama sejenis kapal Melayu atau Jawa iaitu ‘jong’.

Apabila rantau Melayu memeluk agama Islam sekitar kurun ke-15, rangkaian dagangan Melayu juga membesar dari segi jumlah barang yang diperdagangkan – termasuk rempah ratus,  barangan tembikar serta kapas – dan dari segi jumlah kota pelabuhan yang dijelajahinya hinggalah ke Lautan Arab.

MENCAPAI KEMUNCAK

Urusan dagangan menerusi jalan laut ini yang membawa kemakmuran ke Timur Tengah dan Eropah, terus berkembang sehinggalah ia mencapai kepada kemuncaknya pada kurun ke-17.

Dalam satu segi, era perdagangan kurun ke-15 dan ke-16 menghasilkan kemakmuran dan kemewahan kepada rantau Melayu.

Dari segi yang lain pula, ia mewujudkan kepelbagaian budaya, semangat keterbukaan, daya inovasi dan penyesuaian diri yang tidak terhenti.

Era ini menunjukkan kemampuan cukup tinggi di kalangan masyarakat Asia Tenggara dan dunia Melayu untuk terus mencari ‘huraian-huraian kreatif’ bagi menangani setiap cabaran yang dihadapinya.

Inilah gambaran yang kita perolehi daripada analisis Reid yang cuba menunjukkan pelbagai kepintaran rantau ini, keupayaannya dalam manfaatkan pengaruh-pengaruh dari luar dan dalam menguruskan ehwal masing-masing secekap mungkin.

ERA KRISIS

Namun, cabaran besar yang gagal ditangani rantau ini adalah apabila tibanya Eropah ke sini - bermula dengan Portugis, disusuli dengan Sepanyol, Belanda dan Inggeris.

Ketibaan mereka dan corak ‘perdagangan’ mereka yang tidak seimbang, yakni bukan dengan cara berniaga tetapi lebih dengan merampok dan menjajah, rantau Asia Tenggara perlahan-lahan mengalami kemerosotan bermula dari kurun ke-17 hinggalah kepada era kolonialisme kurun ke-20.

Dalam era kemeosotan ‘Krisis Kurun ke-17’ ini, Reid melihat banyak faktor yang menyebabkan Asia Tenggara dan dunia Melayu perlahan-lahan hilang kekuatan dan semangat dinamik yang dimilikinya pada dua kurun sebelumnya.

Antara faktor itu adalah kemelesetan dari segi dagangan global akibat merosotnya permintaan dunia terhadap barangan utama rantau Asia.

Turut menjadi faktor penentu kemelesetan ini adalah perubahan arahan di mana rantau Asia Tenggara mengurangkan dengan banyaknya bukan sahaja dari segi hubungan dagangan tetapi dari segi keterbukaannya kepada dunia luar dalam bentuk pertukaran idea dan pemikiran.


                                Prof Anthony Reid

Menurut Reid, dalam era krisis ini, rantau Asia Tenggara dan dunia Melayu jelas mengurangkan penggantungannya terhadap dunia luar dari segi dagangan dan juga pertukaran budaya dan idea.

Kalau sebelum itu ia lebih banyak melihat kepada rantau lain untuk menerima masuk idea-idea baru dan segar, kini muncul trend memandang ke dalam dalam mewujudkan budaya, pemikiran dan sistem kenegaraan pribumi masing-masing.

SIKAP TERTUTUP

Akibatnya, lahirlah sikap yang lebih tertutup terhadap idea-idea dari luar dan sistem kepimpinan berkuasa mutlak dan tidak toleran terhadap pandangan yang berbeza.

Reid mengambil contoh kepimpinan di bawah era Sultan Iskandar Thani di Aceh (1636-41), bagi menunjukkan bentuk pemerintahan sedemikian – yang mengamalkan pemahaman agama yang lebih sempit dan tegar (seperti mengharamkan ajaran tasauf Hamzah Fansuri dan dengan membakar semua karangan beliau).

Dari segi dagangan pula, Iskandar Thani menguatkuasakan sistem yang tidak toleran terhadap masyarakat pedagang asing, yang sebelum ini dasarnya bersifat lebih terbuka dan kosmopolitan.

Satu lagi perkembangan yang semakin ketara pada era kemerosotan ini, dunia Melayu semakin menonjolkan fahaman feudal tegar dengan nilai-nilai feudal semakin diterapkan dalam  upacara agama dan juga adat istiadat diraja.

KEMBALI MAKMUR

Mungkin dalam era sedemikian di mana paras keyakinan jati diri semakin tergugat akibat cabaran dan saingan sengit dari Barat, dunia Melayu hanya mampu menzahirkan harga dirinya dengan berpaut pada lambang-lambang feudal silam.

Dalam era kebangkitan ekonomi global hari ini adalah jelas bahawa dunia Melayu perlu kembali semula kepada nilai-nilai yang membawanya kepada kemakmuran kurun ke-15 hingga ke-17.

Ia adalah nilai-nilai yang menjadikannya lebih makmur, mewah dan setanding dengan Eropah seperti keterbukaan, berinovasi dan cukup kreatif dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapinya.


- BERITAmediacorp/IB

Top