Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Perdagangan pemacu kemajuan Asia Tenggara sejak sekian lama

Apakah dengan benua besar Asia mengorak langkah ke arah era pertumbuhan pesat ekonomi baru, rantau Asia Tenggara  akan juga turut sama berkembang maju? 

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Perdagangan pemacu kemajuan Asia Tenggara sejak sekian lama

The World Trade Organization estimates that global trade will expand by just 1.7 per cent in 2016, compared to its April projection of 2.8 per cent. (Photo: AFP)

Sekitar buku:

Southeast Asia in the Age of Commerce 1450-1680 Vol 2, oleh Anthony Reid (Yale University Press, 1993)

Negara-negara Asia sibuk mengadakan sidang puncak besar-besaran dalam bulan November ini bermula dengan Sidang Puncak Asean yang berlangsung di Singapura. Kemudian disusuli pula dengan Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik APEC di Papua New Guinea.

Pertemuan besar-besaran ini mencerminkan pentingnya rantau Asia baik dalam soal pembangunan ekonomi atau keselamatan serantau kepada seluruh dunia.

Apakah dengan benua besar Asia keseluruhannya mengorak langkah dengan bangga ke arah era pertumbuhan pesat ekonomi baru, Asia Tenggara akan juga turut sama berkembang pesat di bawah apa yang dipanggil revolusi perusahaan ke-4?

TEPAT PADA MASANYA

Berdasarkan kajiannya terhadap sejarah silam Asia Tenggara, penulis Southeast Asia in The Age of Commerce Vol2, Anthony Reid mungkin berhujah bahawa ia merupakan soalan yang tepat pada masanya. (Jilid 1 buku ini menyelongkar tentang aspek fizikal, budaya dan struktur sosial rantau ini).

Walaupun ditulis lebih 25 tahun lalu, Reid meneliti sejarah silam Asia Tenggara dan mendapati bahawa rantau ini mempunyai keunikannya sendiri dalam ia membuat respon terhadap perubahan yang berlaku di peringkat global.

Merujuk kepada kurun-kurun sebelum kedatangan penjajah Eropah, Reid mendapati Asia Tenggara menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang amat pesat sekitar 1400 hinggalah 1500 dan mencapai kemuncaknya antara 1600-1630.

Tempoh kemakmuran dagangan itu keseluruhannya hampir dua kurun lamanya, sehinggalah beberapa sebab ekonomi, ketenteraan dan agama – menyebabkan kemerosotan peranannya dalam dagangan rantau ini.

Sepanjang kurun-kurun ‘Zaman Perdagangan’ itu (antara 1450 – 1680) Eropah sendiri mula menyaksikan Kebangkitan Semula tamadunnya (Renaissance) dan pembangunan awal Kapitalisme.

Kedua-dua rantau Asia Tenggara dan Eropah nampaknya dalam haluan sama ke arah pembangunan pesat ekonomi, perdagangan, perbandaran malah juga kebangkitan budaya dan agama.

MENINGKATNYA PERMINTAAN

Pencetus pertumbuhan pesat dagangan di kedua-dua rantau ini adalah kerana meningkatnya permintaan dan dagangan ke atas rempah ratus (terutama sekali buah pala dan bunga cengkih) – dengan sumber utamanya di kepulauan Maluku.

(Gambar hiasan: Karim Sahib/AFP)

(Gambar hiasan: Karim Sahib/AFP)

Dari perniagaan rempah ratus – suatu bahan dagangan yang kecil tetapi amat berharga, baik di Eropah, Timur Tengah atau Asia – ia membuka jalan kepada meningkatnya dagangan sejagat keseluruhannya.

Pemangkin meningkatnya dagangan ini mungkin kerana kemakmuran dan kekayaan kerajaan Ming China yang mengkehendaki lebih banyak import bahan-bahan mewah dari Asia Tenggara.

Di pihak yang lain pula dagangan juga bertambah di Eropah kerana berakhirnya beberapa keadaan krisis di benua itu (tamatnya wabak Black Death dan kendurnya konflik antara Venice dengan kerajaan Mamluk di Mesir, yang meningkatkan dagangan di Mediteranean).

KERANCAKAN EKONOMI

Sekitaran positif ini bantu meningkatkan kerancakan ekonomi pada kurun ke-16 dan juga ke-17.

Ini pula merintis jalan kepada perubahan besar di Asia Tenggara dari segi peningkatan urbanisasi, perdagangan umumnya, struktur negara dan juga sistem kepercayaan.

Kegiatan ekonomi dan dagangan begitu pesat di kota-kota Asia Tenggara seperti Melaka membolehkan bukan sahaja barangan dagangan sibuk dijual beli, tetapi juga pertemuan antara manusia dari pelbagai pelusok yang membawa barang dagang serta idea-idea baru.

Ini menjadikan kota-kota pelabuhan Asia bukan sahaja membesar tetapi juga menjadi lebih terbuka dengan penduduk yang pelbagai dan amalan budaya serta juga kepercayaan yang berbeza-beza.

PENGARUH ISLAM

Dengan meningkatnya dagangan antara Asia Tenggara dan rantau sebelah barat (Timur Tengah dan selatan India) bertambah juga pertembungan antara Islam dengan penduduk rantau ini.

Beberapa konsep yang berasal dari Islam, seperti muflis (bankrup), pengharaman riba, perkongsian untung (laba) dan pelbagai peraturan pelayaran, menjadi sebahagian daripada amalan dagangan di kawasan-kawasan penduduk Islam.

Turut diterapkan juga konsep dan istilah-istilah baru yang dibawa para pedagang Islam yang berpengaruh seperti pedagang Gujerati yang disifatkan sebagai pedagang paling ‘pintar’.

Daripada mereka ini diterima masuk istilah-istilah seperti ‘modal’ dan ‘baniaga’ (berniaga).

MEROSOT DENGAN MENDADAK

Selepas mencatat kerancakan bermula dari tahun 1400, ‘Zaman Dagangan’ ini merosot dengan mendadak pada tahun-tahun 1500, dengan ketibaan Portugis ke rantau ini.

Meskipun demikian ia meningkat semula selepas 1530 dan mencapai kemuncaknya antara 1600 hingga 1630.

Menurut Reid, mulai sekitar 1629, ‘Zaman Dagangan’ ini merosot semula dan bermulalah apa yang disebutnya ‘Krisis kurun ke-17’.

Ia berlaku serentak dengan kejayaan besar kuasa-kuasa ekonomi Eropah terutama sekali Syarikat Hindia Timur Belanda (ringkasnya VOC).

PERANAN EROPAH JEJAS ASIA TENGGARA

Sebelum Belanda dan Inggeris, umpamanya, Portugis cukup berperanan besar dalam mengganggu pengaliran dagangan Nusantara dengan kekuatan ketenteraanya.

(Gambar hiasan: Jason Reed/AFP)

(Gambar hiasan: Jason Reed/AFP)

Sejurus sahaja kapal-kapalnya memasuki perairan lautan Hindi sekitar 1499, mereka akan merampok setiap kapal asing yang membawa rempah ratus.

Kerosakan dan kerugian yang dialami pedagang-pedagang Muslim dari Asia Tenggara begitu besar sehingga mereka terpaksa mengelakkan dagangan ke Eropah sama sekali.

Selepas Portugis, yang berjaya menawan Melaka sekitar 1511, satu demi satu tamparan dialami kerajaan-kerajaan Nusantara di tangan kuasa-kuasa Eropah yang lain terutama sekali Belanda dan kemudian Inggeris.

Menurut Reid, tahun 1629 boleh dianggap sebagai titik tolak kemerosotan ini dan permulaan ‘Krisis kurun ke-17’.

Dalam era ‘Krisis’ ini perubahan besar yang berlaku di Asia Tenggara adalah merosotnya peranan dagangan, proses urbanisasi dan juga corak kosmopolitan kota-kota di rantau ini.

KESAN KRISIS KURUN KE-17

Umumnya, rantau ini juga mengurangkan kebergantungannya kepada pasaran antarabangsa sebagai sumber utama kegiatan ekonomi.

Reid juga melihat munculnya trend-trend lain dengan kemerosotan dagangan ini.

Antaranya adalah kemelesetan ‘kepercayaan terhadap idea-idea dari luar’ dan meningkatnya orientasi keagamaan bercorak spiritual yang menolak kebendaan umumnya.

Dalam bidang politik pula, Reid melihat munculnya kecenderungan ke arah kekuasaan mutlak (absolutism) yang melemahkan lagi sistem pentadbiran dan daya saing masing-masing.

Semua trend baru itu gagal diubah dan berterusan sehinggalah ke kurun ke-20 selepas berakhirnya penjajahan.

TIDAK HARUS TERHINDAR

Dalam Asia Tenggara mencorak semula masa depannya, Reid berpendapat, ia tidak haruslah rasa terhindar dengan kelemahan-kelemahan yang meghambat daya bingkasnya di bawah zaman ‘Krisis Kurun ke-17’ itu.

Rantau ini seharusnya melihat kembali kepada kurun-kurun ‘kegemilangannya’ di bawah ‘Zaman Dagangan’ dari tahun-tahun 1400 hingga 1630an.

Menurutnya di bawah era lebih awal ini terdapat cukup bukti adanya ‘pelbagai respon yang kreatif’ di kalangan negara-negara Asia Tenggara dalam menangani perubahan ekonomi di sekelilingnya.

Inilah yang boleh dijadikan iktibar oleh generasi Asia Tenggara hari ini dalam kita merenung kembali peranan dan kedudukan rantau ini lebih empat kurun lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan