Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Pengaruh ideologi ganas sama kuat dengan keupayaannya menimbulkan kerosakan

Ideologi ganas yang diperjuangkan kumpulan seperti al Qaeda dan ISIS jauh berakar dalam pergolakan politik dunia Islam. Usaha membanterasnya perlukan pemahaman yang mendalam dan ketegasan dalam menentangnya.

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar buku:

The Mind of the Islamic State: ISIS and the ideology of the Caliphate oleh Robert Manne (Prometheus Books, 2017) 

Serangan ganas pada hari sambutan Easter di Colombo, Sri Lanka baru-baru ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa kumpulan pengganas terutama yang kuat dengan pegangan ideologinya tidak mudah kalah begitu sahaja.

Sedang siasatan masih lagi dijalankan kita sudah pun diberitahu bahawa kumpulan ISIS atau Daesh telah mengaku bertanggungjawab.

Pihak berkuasa Sri Lanka pula menyatakan serangan-serangan itu dilakukan oleh beberapa lelaki dan seorang wanita, yang ada kaitan dengan kumpulan National Thowheed Jamaat, sebuah kumpulan miltan tempatan yang tidak diketahui pernah melakukan serangan-serangan ganas.

Kalau benar kumpulan tersebut ada kaitannya dengan ISIS, ia merupakan petanda bahawa ideologi yang dipegang oleh ISIS telah berkembang dan boleh menjadi inspirasi kepada kumpulan-kumpulan lain.

DAYA PENARIK

Berdasarkan taktik dan pelaksanaan serangan ganas mereka, ideologi seperti ISIS dan al Qaeda masih menjadi daya penarik bagi sesetengah orang yang sanggup membunuh diri untuk mencapai matlamat ideologi kumpulan mereka.

Motif sebenar lapan lelaki dan seorang wanita yang terlibat dalam serangan ganas itu mungkin sukar dipastikan, tetapi latar belakang mereka menunjukkan mereka semuanya ‘agak berpendidikan’ dan dari golongan ‘berpendapatan tinggi atau pertengahan.’

Kalau kita ambil kira penilaian pakar pengganasan Perancis, Gilles Kepel, serangan di Sri Lanka itu mengambarkan apa yang disifatkannya sebagai pengganasan ‘tahap ketiga’ .

Dua tahap pengganasan sebelum ini: tahap pertama adalah ‘perjuangan jihad’ yang bermula dalam tahun-tahun 1970an dan tahap kedua yang dilancarkan oleh kumpulan seperti al Qaeda pada tahun-tahun 1990an.

TAHAP KETIGA

Dalam tahap ketiga pula, mulai pertengahan tahun-tahun 2000an, Kepel melihat meluasnya seruan ‘jihad pengganasan’ ke seluruh dunia, terutama dengan meningkatnya serangan-serangan di Eropah dan semakin ramainya pelibatan individu-individu yang biasanya digelar sebagai penyerang ‘lone wolf’.

Dalam tahap ini juga kita melihat meluasnya pengaruh ideologi pengganasan yang mempergunakan Islam, termasuk melabelkan perjuangan mereka sebagai ‘jihad’ dan melibatkan serangan berani mati atau membunuh diri.

Ideologi ini dikembangkan oleh kumpulan-kumpulan seperti al Qaeda, Jemaah Islamiyah (di rantau Asia Tenggara), dan kemudian oleh ISIS.

Dalam bukunya, Robert Manne, profesor politik di universiti La Trobe, Melbourne, menjejaki perkembangan ideologi kumpulan pengganas seperti ISIS dan juga al Qaeda, yang berpegang pada penggunaan taktik pengganasan demi mencapai matlamat masing-masing.

Bagi Manne, dan ramai penganalisis lain seperti Kepel dan Olivier Roy, ideologi pengganasan yang menghalalkan penggunaan kekerasan boleh dikesan kepada tulisan-tulisan berbau revolusioner dari bilik penjara Sayyid Qutb, seorang tokoh utama kumpulan Ikhwanul Muslim Mesir dalam tahun-tahun 50an dan 60an. 

Dua buku Sayyid Qutb yang tidak asing bagi kebanyakan aktivis Muslim sejak sekian lama adalah Milestones (Tanda di Sepanjang Jalan) dan In the Shade of the Quran (Dalam Bayangan Quran).

Tulisan utama Qutb, Milestones, pernah disifatkan oleh Kepel sebagai ‘versi kumpulan Islamis sama seperti tulisan pengasas revolusi komunis Rusia, VL Lenin ‘What is to be Done’ (yang meletakkan asas tentang apa yang mesti dilakukan bagi menjayakan visi sebuah negara komunis di Rusia).

MASYARAKAT JAHILIYAH

Sama seperti Lenin yang mahu membentuk sebuah masyarakat yang baru, Sayyid Qutb mahu melihat masyarakat Islam ‘tulen’, menerusi tindakan ‘revolusioner’ seperti melancarkan jihad untuk menghapuskan sistem ‘masyarakat jahiliyah’.   

Daripada pandangan-pandangan Qutb, ideologi ‘jihadi’ berkembang kepada pemikiran dan teori pengganasan Osama Bin Laden dan orang kuat nombor dua al Qaeda, Ayman al Zawahiri yang merancang serangan 11 September.

Selain pemikiran Qutb, Manne juga menilai tulisan tokoh militan lain seperti Muhammad Abdul Salam Faraj (The Neglected Duty).

Seperti Qutb, Faraj juga percaya kepada penggunaan kekerasan demi mencapai matlamat ‘negara Islam’ – termasuk dengan melakukan pembunuhan (seperti serangan bunuh mereka ke atas presiden Mesir, Anwar Sadat).

‘JIHAD GLOBAL’

Turut diperhatikan Manne adalah dua tulisan ‘terbaru’ yang menjadi asas pengganasan kumpulan seperti ISIS, iaitu tulisan tokoh-tokoh radikal seperti Abdullah Azzam, yang pernah digelar Bapa Jihad Global (tulisannya, ‘The Defense of the Muslim Lands’ dan ‘Join the Caravan’).

Azzam menulis bahawa jihad boleh berupa ‘jihad ofensif’ ke atas wilayah-wilayah asing seperti negara Barat dan ‘jihad defensif’ di mana serangan ganas boleh dilancarkan untuk mengusir pihak-pihak yang menduduki wilayah-wilayah Islam (seperti di Afghanistan dan wilayah Palestin).

Satu lagi tulisan penting yang dikaji Manne adalah hasil buah fikiran tokoh pengganas Mesir, Muhammad Khalil al Hakim (The Management of Savagery), yang melihat pentingnya taktik-taktik  pengganasan yang buas dan kejam.

Bagi al Hakim taktik sedemikian adalah penting demi menakutkan pihak ‘musuh’ dan menjadikan mereka ‘putus asa’ dalam berhadapan dengan serangan-serangan ganas.

BAHAN DIAYAH

Taktik sedemikian juga bertujuan menjadi bahan diayah untuk menarik anggota-anggota baru dalam menyertai ‘kabilah jihadi’ mereka.

Tulisan al Hakim itu dikatakan berpengaruh sehingga ia menjadi panduan kepada tokoh pengganas al Qaeda di Iraq, Abu Musab al Zarqawi, yang telah meletakkan asas pengganasan yangn cukup kejam seperti yang dilakukan oleh ISIS kemudian.

Menurut Manne, gerakan ‘jihadi Salafi’ yang diperjuangkan oleh al Qaeda dan ISIS, merupakan campur aduk dan   pembauran antara ideologi ‘jihad revolusioner Mesir’ (menerusi tokoh-tokoh seperti Sayyid Qutb, Abdullah Azzam dan Zawahiri) dan fahaman ‘politik Wahhabi’.

Semua buah fikiran dan ideologi pelampau yang diperjuangkan mereka kini banyak dimuatkan dalam majalah diayah al Qaeda seperti Inspire dan penerbitan online ISIS iaitu Dabiq.

PENGARUH MASIH KUAT

Walau apa pun motif sebenar di sebalik serangan ganas di Sri Lanka – sama ada ia melibatkan ISIS atau kumpulan militan tempatan – sekiranya ia didorong oleh ideologi jihadi, ini menunjukkan pengaruhnya masih lagi kuat bagi sesetengah orang.

Bagi pakar-pakar seperti Robert Manne dan Gilles Kepel, mereka melihat pentingnya ideologi sedemikian diperangi di semua peringkat dan melibatkan semua pihak – baik Muslim dan yang bukan Muslim.

Menurut Manne mengalahkan kumpulan-kumpulan radikal di medan pertempuran adalah sama pentingnya dengan menentang ideologi mereka yang menjadi daya penggerak dan daya penarik kumpulan-kumpulan tersebut.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan