Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Menggarap perkembangan dan erti sumbangan awal masyarakat Melayu kepada S’pura moden

Berbeza daripada apa yang kerap dilihat, masyarakat Melayu/Islam mempunyai keupayaan menyesuaikan diri yang kreatif sejak dari dulu lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Menggarap perkembangan dan erti sumbangan awal masyarakat Melayu kepada S’pura moden

Gambar hiasan kawasan Kampong Gelam. (Gambar fail: TODAY)

Sekitar buku:

Malays/Muslims in Singapore – Selected Readings in History 1819-1965 (Pelanduk Publications/RIMA, 2006)

 

Naratif yang kerap kedengaran mengenai Singapura selepas  1819 adalah terbatasnya peranan masyarakat Melayu dalam proses pembentukan semula Singapura daripada sebuah pulau nelayan kepada kota pelabuhan yang moden dan kosmopolitan.

Gambaran yang biasanya terlukis terutama daripada pihak penjajah Inggeris menunjukkan kemajuan Singapura lebih terletak pada usaha pentadbir Inggeris daripada Raffles sendiri hinggalah kepada pegawai-pegawainya seperti William Farquhar dan John Crawfurd.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat dan meluas tentang di manakah kedudukan dan sumbangan masyarakat Melayu pada era-era semasa dan selepas Raffles, bolehlah kita merujuk kepada buku-buku seperti ‘Malays/Muslims in Singapore, Selected Readings in History 1819-1965 – disunting oleh Khoo Kay Kim, Elinah Abdullah dan Wan Meng Hao, 2006).

Daripada sekumpulan rencana yang terkumpul dalam penerbitan ini, kita dapat menjejaki pelbagai perubahan yang dilalui oleh masyarakat Melayu/Islam daripada dekad-dekad selepas Inggeris bertapak di sini, sehinggalah kepada era kemerdekaan negara.

Jika kayu ukur yang digunakan tidak terbatas kepada sumbangan ekonomi sahaja, masyarakat Melayu/Islam sebenarnya banyak menyumbang dalam proses pemodenan dan pembangunan negara termasuk dalam  pembentukan sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama yang sepadu. 

MENERIMA PERUBAHAN

Malah, ada yang mahu melihat langkah pertama Sultan Hussein yang berpindah dari Bintan untuk bermastautin di Singapura, sebagai kesediaan beliau menerima perubahan.

Sejarawan Kwa Chong Guan menganggapnya sebagai legasi Sultan Hussein untuk “meninggalkan yang lalu di Bintan” dan “memulakan usaha untuk berhadapan dengan pemodenan”.

Memang benar Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman mungkin tidak pernah menjangkakan apakah kesan sebenarnya keputusan mereka mengikat perjanjian dengan Britain.

Hakikatnya, keputusan mereka itu telah mencetuskan pelbagai perkembangan yang kemudian mencorak masa depan Singapura sehinggalah ia menjadi apa yang wujud hari ini.

PENDATANG BARU

Dari segi pembentukan masyarakat Melayu awal pasca-Raffles, kita mendapati bermula dengan hanya sekitar 100 orang laut, pembukaan Singapura sebagai pelabuhan bebas telah membolehkan ribuan pendatang baru dari rantau Nusantara berhijrah ke sini.

Mereka termasuk ratusan orang Melayu dari kepulauan Riau yang tiba di Singapura bersama-sama dengan Sultan Hussein; tidak jauh di belakang sejumlah masyarakat Bugis turut berhijrah dari Riau bersama-sama ketua mereka, Arong Bilawa.

Dari kawasan semenanjung Melayu, ramai orang Melayu menjejakkan kaki di Singapura bersama-sama dengan William Farquhar.

Kumpulan pertama dari rantau Nusantara pula terdiri daripada ratusan pedagang Bugis dari Makassar, serta sejumlah dari Jawa  sebagai buruh ladang yang tiba pada dekad-dekad terakhir kurun ke-19.

Peniaga dan pendatang baru pada awal pembukaan S'pura (Gambar Wikipedia)   

(Gambar Wikipedia)   

MASYARAKAT MELAYU AWAL

Daripada mereka ini semualah terbentuknya masyarakat awal Melayu/Islam yang terus membesar menerusi penghijarahan dari masa ke semasa.

Dengan bermastautin, berniaga dan bekerja dalam pelbagai bidang, mereka semua membantu proses pembangunan Singapura untuk menjadi bandar pelabuhan yang berjaya.

Menerusi kemajuan dan kemakmuran yang diraih di Singapura, masyarakat Melayu/Islam awal ini turut menikmati proses pemodenan seterusnya.

Ini pula membolehkannya membuat sumbangan lebih besar lagi pada dekad-dekad seterusnya.

Singapura pada lewat kurun ke-19 memang menyediakan banyak peluang yang menjadi daya penarik kepada ramai pendatang baru yang mahu mejadikan pulau ini tempat tinggal mereka.

KEPIMPINAN BARU

Daripada mereka yang ‘berani meneroka’ ini dan mencuba sesuatu yang baru, terbentuklah kepimpinan-kepimpinan masyarakat – baik dalam bidang pendidikan, budaya, agama, ekonomi, mahu pun politik.

Dengan berakhirnya kepimpinan tradisional dari golongan bangsawan, ekoran berpindahnya seluruh keluarga dan pentadbiran Temenggong ke Johor Bahru pada 1866, ia meninggalkan kesan mendalam terhadap ciri kepimpinan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Masa depan mereka kini bergantung bukan kepada pihak istana, tetapi pada golongan yang kaya harta benda dan juga yang berpendidikan tinggi.

Walaupun hidup di bawah sistem pentadbiran penjajah yang penuh dengan pelbagai keterbatasan, mereka memainkan peranan masing-masing untuk menyumbang kepada negara dan pada masa yang sama bantu memajukan masyarakat.

Di kalangan mereka lahir tokoh-tokoh pendidikan, penulis dan wartawan, seperti Dato Haji Mohamad Said yang disifatkan ‘sejarawan modernis pertama’ yang mempelopori pemodenan Bahasa Melayu.

TOKOH PEMBAHARUAN

Tokoh modernis Islam seperti Haji Abbas Mohd Taha, yang bergiat dalam penerbitan akhbar Al Imam, dengan pandangannya tentang Islam sebagai agama “dinamik dan sejajar dengan kemajuan”.

Akhbar Al Imam (1908)

Pemikiran modernis merupakan antara komponen penting pemodenan masyarakat Melayu/Islam ketika itu.

Selain menerusi bidang kewartawanan dan penerbitan mereka juga menyumbangkan pemikiran dan pemahaman progresif menerusi pendidikan.

Antara madrasah ‘moden’ pertama yang dibuka mereka adalah madrasah Al Iqbal Al Islamiyah (1908) yang  menyediakan mata-mata pelajaran dalam bahasa Arab dan Inggeris serta juga mata-mata pelajaran seperti Matematiks, Ilmu Alam dan Perancangan Bandar.

Perkembangan dinamik ini berterusan hinggalah ke dekad-dekad 30an, zaman perang 40an dan kepada tahun-tahun 50an.

PEMIKIRAN PROGRESIF

Pengaruh dan kesedaran tentang pentingnya kemajuan dan pemikiran progresif menyaksikan kelahiran semangat nasionalisme, pertumbuhan dalam bidang penulisan dan kesusasteraan hinggalah kepada bidang seni dan kebudayaan seperti teater, muzik dan perfileman.

Pendek kata daripada usaha dan sumbangan mereka itu, Singapura berjaya dibentuk menjadi pusat pemikiran dan kebudayaan Melayu/Islam yang utama di Nusantara pada lima dekad pertama kurun ke-20.

Semua pertumbuhan dan perkembangan ini tidak mungkin berlaku tanpa wujudnya kepimpinan yang terbuka dan progresif yang dapat memanfaatkan persekitaran kosmopolitan yang tersedia di Singapura.

Salah seorang penyumbang rencana, Iskandar Mydin menulis, apa yang jelas bagi beliau adalah “masyarakat Melayu/Islam mempunyai keupayaan menyesuaikan diri yang kreatif” dalam usahanya menangani proses pemodenan yang berlaku di Singapura.

Persembahan gamelan masyarakat Melayu S'pura (1890) (Wikipedia) 

MENYESUAIKAN PEMODENAN

Pengalaman yang dilalui masyarakat Melayu/Islam itu  mencerminkan keupayaannya untuk menyesuaikan pelbagai bentuk pemodenan yang rencam dan kompleks.

Semua cabaran perubahan dan pemodenan ini berjaya ditangani mereka kerana adanya sifat-sifat keterbukaan, kosmopolitan dan inklusif yang dipegang oleh masyarakat Melayu/Islam dan pucuk pimpinannya ketika itu.

Ciri-ciri ini tentunya masih lagi diperlukan hari ini dalam kita berhadapan dengan cabaran-cabaran semasa yang lebih rumit . 

 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan