Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Memilih yang ‘lama dan tulen’ juga perlukan ilmu dan kebijaksanaan

Apakah dengan meningkatnya kecenderungan yang lebih konservatif bermakna kita perlu berpaling kepada apa sahaja yang lama tanpa berfikir panjang.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Memilih yang ‘lama dan tulen’ juga perlukan ilmu dan kebijaksanaan

Khutubkhanah zaman Abassiah, Baghdad kurun ke-13. (Gambar Wikipedia)

Trend kembali kepada ajaran asas agama baik dipanggil sebagai fundamentalisme atau pun konservatisme bertujuan mengajak masyarakat kembali kepada prinsip, nilai dan amalan agama seperti yang ada pada asalnya.  

Ia merupakan trend yang menjejas semua kumpulan agama sejak beberapa dekad lalu lebih-lebih lagi selepas runtuhnya Komunisme sebagai salah satu ideologi utama di dunia.

Dengan terkuburnya Komunisme sebagai ideologi sejagat, masyarakat dunia kini berhadapan dengan dua sahaja pilihan ideologi – satu, fahaman sekular yang lebih terbuka dengan nilai-nilai individualisme dan kapitalismenya.

Dan satu lagi, yang berciri konservatif yang menjurus kepada penekanan terhadap nilai-nilai dan amalan tradisional baik sebagai seorang Muslim, Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan lain-lain lagi.

Bagi umat Islam, kembali kepada ajaran agama dan nilai-nilai konservatif sering dikaitkan dengan apa yang disebut sebagai fahaman atau aliran Salafi.

Ia merupakan aliran yang bermaksud kembali kepada ajaran pokok Islam sebagaimana yang diamalkan pada zaman awalnya.

GERAKAN SALAFI

Kalau konsep Salafi pembaharuan (reformis) kurun ke-19 banyak dikaitkan dengan tokoh seperti Jamaludin al Afghani dan Muhammad Abduh (yang menggalakkan kemodenan, keterbukaan, pendidikan moden),  hari ini pula ia dikelirukan dengan perjuangan kumpulan-kumpulan tegar dan radikal seperti al Qaeda dan ISIS.

Bagi golongan Salafi reformis  usaha kembali kepada masa lalu tidak semestinya bermakna kita menolak nilai-nilai progresif dan keterbukaan yang menekankan penguasaan ilmu moden, sains dan teknologi.

Tetapi bagi golongan Salafi tegar pula kembali kepada masa lampau bermakna menolak apa sahaja yang melambangkan kemodenan hari ini termasuk nilai-nilai dan fahaman dari Barat, yang dianggap perosak nilai dan jati diri tulen Muslim.

Bagi Salafi tegar kalau usaha menolak nilai-nilai dan sistem Barat memerlukan paksaan dan keganasan, mereka tidak ragu-ragu untuk menghalalkannya ke atas sesiapa yang menentang agenda mereka walaupun ke atas orang Islam sekalipun.  

Satu sumber agama yang sama tetapi membawa pengertian dan penghayatan yang jauh menyimpang dari satu sama lain.

Kumpulan rencana itu ditulis oleh pakar-pakar pengajian Islam yang menjurus kepada tafsiran kontemporari terhadap pelbagai pemikiran klasik termasuk buah fikiran tokoh ulama kurun ke-13/14, Ibn Taimiyyah.

Ibn Taimiyyah (1263-1328), yang dianggap antara ulama terawal mempelopori gerakan salaf (yakni kembali kepada ajaran tulen Islam seperti yang diamalkan oleh generasi para Sahabat Nabi).

Menurut Kendall dan Ahmad Khan pandangan dan buah fikiran Ibn Taimiyyah telah  ‘dibaca dan digunakan untuk pelbagai matlamat’.

Sejak kebelakangan ini ia semakin digunakan untuk memberi justifikasi terhadap tujuan-tujuan radikal sesetengah kumpulan ganas hari ini. 

Namun kajian seorang sarjana, Yahya Michot, menolak dengan keras tafsiran sedemikian sambil menyatakan bahawa ia merupakan tafsiran yang tidak tepat tentang niat sebenar ulama tersebut.

Michot, profesor pengajian Islam Belgium yang beragama Islam, berkata jika pemikiran Ibn Taimiyyah dikaji dengan teliti, kita mendapati beliau sebenarnya menganjurkan sikap yang sederhana dan pragmatik dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran semasa.

Michot melihat jika gagasan Ibn Taimiyyah dihayati dengan memahami konteks sejarah dan kerangka etikanya,  apa yang beliau anjurkan sebenarnya bertentangan dengan apa yang dipegang oleh pihak radikal atau pelampau agama.

Michot berpendapat jika Ibn Taimiyyah difahami dengan betul, aspek-aspek pragmatisme dan etika yang diajarkannya boleh menjadi panduan dalam umat Islam menangani cabaran masing-masing.

Antara pandangan beliau yang kerap disalahfahami termasuklah anjuran sama ada umat Islam perlu berhijrah jika kawasan atau negeri tempat tinggal mereka sudah tidak lagi selamat (yang disebut sebagai tidak lagi menjadi ‘Darul Islam’) kerana Muslimnya menjadi mangsa penindasan.

SIFAT PRAGMATIK

Menurut Michot, tafsiran yang lebih tepat adalah Ibn Taimiyyah sebenarnya menggalakkan sifat pragmatik, dengan mennganjurkan supaya umat Islam menilai sendiri keburukan atau kebaikan keadaan masing-masing.

Jika dirasakan tidak selamat, maka perlulah mereka berhijrah. Tetapi jika dirasakan faedah terus menetap adalah jauh lebih baik daripada meninggalkan tempat, maka tiadalah kewajipan untuk berhijrah.

Masjid Umayyah di Damsyik di mana Ibn Taimiyyahh pernah mengajar. (Wikipedia)

Ibn Taimiyyah juga, menurut Michot, lebih banyak menganjurkan pendekatan damai dan bersabar daripada penggunaan kekerasan semata-mata, walaupun ketika berhadapan dengan ketidakadilan dan kezaliman.

Ini sejajar dengan prinsip yang dipegangnya bahawa: “60 tahun di bawah sebuah raja yang tidak adil adalah lebih baik daripada satu malam tanpa beraja.”

Kekhuatiran Ibn Taimiyyah adalah ‘keadaan tanpa beraja’ (akibat pemberontakan, umpamanya) boleh membawa mudarat lebih besar seperti keadaan kucar-kacir yang lebih dahsyat dibandingkan dengan keadaan di bawah pemerintahan seorang raja yang zalim.

Michot menilai bahawa tafsiran yang kerap menggunakan buah fikiran Ibn Taimiyyah untuk menghalalkan pengganasan dan pemberontakan, seperti yang dianjurkan oleh pemikir pengganasan Abdul Salam Faraj, merupakan ‘pemahaman yang tidak lengkap’ dan disebabkan oleh ‘kecetekan dalam menghayati kerohanian’.

TIDAK STATIK

Apa yang boleh kita pelajari daripada semua perbahasan ini adalah penghayatan terhadap tradisi pemikiran yang diwarisi dari sejarah, tidaklah statik malah cukup responsif terhadap perubahan keadaan.

Peninggalan lama yang diwarisi dari satu generasi ke generasi terus dinilai dan dipertimbangkan semula dengan setiap generasi perlu mengambil kira keadaan dan masyarakat sekeliling.

Yang lama itu memang kita sanjung tinggi kerana berharga dari segi keaslian dan ketulenan.

Tetapi kita haruslah bijak dalam menilai apa yang hendak dipilih.

Ini memerlukan bukan sahaja ilmu dan kepakaran tetapi juga kebijaksanaan untuk menerapkannya dalam keadaan dan sekitaran kita yang berbeza-beza.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan