Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Khazanah lama bukan untuk dipendam tetapi dihayati semula dengan sikap terbuka

Nilai khazanah lama terletak pada keupayaan kita menyegarkannya semula supaya relevan untuk kehidupan hari ini.  

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Khazanah lama bukan untuk dipendam tetapi dihayati semula dengan sikap terbuka

Masjid Umayyad, Damsyik (Wikipedia)

Kalau ikutkan sejarah,  warisan ilmiah Islam sepatutnya mungkin telah lama terkubur akibat malapetaka buatan manusia.

Setidaknya juga  mungkin lebih ‘miskin’ dan tidak sekaya daripada apa yang diwarisi hari ini.

Mujur walaupun dilanda pelbagai porak peranda dek angkara malapetaka serangan tentera Mongol pada kurun ke-13, umat Islam tetap dapat bernafas lega.

Ini setelah warisan ilmu dan tradisinya sedikit sebanyak berjaya diselamatkan dan kemudian diturunkan dari satu generasi ke generasi selanjutnya.

Pukulan tentera Mongol pimpinan Genghis Khan beserta anak-anak dan cucunya memanglah hebat.

Bermula dengan kota-kota di Khorasan (timur laut Iran) seperti Herat, Nishapur dan Bukhara, hinggalah kepada Baghdad dan Aleppo, semua kota ini musnah satu persatu dari 1218 hinggalah lewat kurun ke-13.

Kehilangan nyawa sejumlah besar manusia – lebih tiga juta orang menurut sesetengah anggaran – dan kemusnahan harta benda, meninggalkan kesan mendalam terhadap dunia Islam.

Satu lagi kesan besarnya  adalah kemusnahan sejumlah besar warisan ilmiah Islam yang kebanyakannya lupus menjadi debu apabila tentera Mongol menguasai kota-kota ilmu dunia Islam seperti  Baghdad.

Kemusnahan dan kehilangan besar-besaran ini  kerap mendapat perhatian ramai sejarawan sebagai antara faktor utama  menghambat kemajuan kebendaan dan ilmiah umat Islam sejak kurun ke-13.

Sejarawan Marshall Hodgson (Venture of Islam) berpendapat ia antara faktor yang menyebabkan mengapa dunia Islam gagal mempelopori dunia moden dan mengapa peranan tersebut sebaliknya dimainkan pula oleh Eropah.

Menurut Hodgson, kerosakan dan tamparan ke atas dunia Islam oleh pihak penjajah Mongol itu menggugat teruk umat Islam dari segi jiwa dan psikologi.

Terlalu berat kesannya sehingga sukar untuk umat Islam mengembalikan keyakinannya untuk bangkit semula dan merintis sekali lagi banyak kemajuan yang dicapainya sebelum itu.

Kemajuan yang diraihnya sebelum ini termasuk dari segi sains dan inovasi, pemikiran dan falsafah, dan ilmu pengetahuan amnya termasuk ilmu ketuhanan dan kerohanian.

Soal bagaimana umat Islam boleh menghasilkan sebuah peradaban yang tinggi pencapaian ilmunya (antara kurun ke-9 dan ke-10), dan kemudian boleh menghadapi tahap ‘kejatuhannya’ satu dua kurun kemudian antara persoalan yang disentuh dalam buku Khazanah Intelektual Islam, disunting oleh  Nurcholish Madjid (IKRAQ, 2019). 

PELOPOR PERADABAN

Nurcholish Madjid (meninggal 2005), yang lebih dikenali dengan panggilan akrabnya Cak Nur, membangkitkan persoalan mengapa umat Islam hari ini belum berjaya mengatasi peradaban moden yang dipelopori Barat.

Walhal  sebelum Eropah bangkit untuk mempelopori peradaban itu, dunia Islam telah pun meletakkan asas-asas utama peradaban sedemikian untuk beberapa kurun lamanya.

Ia merupakan persoalan yang seharusnya menjadi ‘ketukan di hati’ umat Islam hari ini.

Dalam mukadimahnya, Cak Nur menggariskan banyak persamaan antara para ilmuwan Islam itu dan bagaimana sumbangan mereka telah membantu kesinambungan khazanah pemikiran Islam sehingga hari ini.

Baik dari segi kekuatan ilmiah dan akliah, mahu pun dari segi kerohanian, daya pemikiran mendalam yang dipaparkan oleh tokoh-tokoh itu telah berjaya mengorak banyak kemajuan besar dalam bidang masing-masing, jauh sebelum Eropah menandinginya.   

Warisan ilmiah yang ditinggalkan mereka cukup pelbagai walaupun tidak semuanya sehaluan.

Kalau Al Ghazali dilihat sebagai pemikir Islam yang ‘paling hebat dan original’, Ibn Rushd pula dilihat sebagai pemikir yang gigih ‘menggabungkan agama dan falsafah’.

Namun Cak Nur melihat ‘kekalahan dan kegagalan Ibn Rushd’  dalam soal keharmonian antara agama dan falsafah itu  telah meninggalkan ‘kesan yang negatif’ dalam usaha mengembangkan ‘tradisi berfikir rasional umat’.

Memang tidak dinafikan adanya pertembungan dan pergeseran besar antara satu bentuk pemikiran dengan yang lain.

Tetapi  sekiranya konteks mereka diselami, kita boleh memahami mengapa ini berlaku dan seharusnya dapat mencari keseimbangan yang bijak.

AKAL DAN AGAMA

Misalnya, pendirian ketiga-tiga tokoh seperti Al Ghazali, Ibn Taimiyah dan Ibn Khaldun cukup ketara; mereka tidak yakin bahawa falsafah (atau akal fikiran) berkesan sebagai alat untuk memahami ‘kebenaran terakhir’.

Ini boleh difahami jika melihat pada konteks sosio-politik dunia Islam ketika itu.

Jelas keadaan tidak mantap ketika itu tidak mengizinkan perbalahan yang berterusan akibat perbezaan pemikiran, sehingga ‘umat kehilangan daya pertahankan diri’.

Walau apapun perselisihan antara agama dan akal, bagi Cak Nur pada asasnya yang paling utama dalam menggerakkan semangat Islam adalah kepimpinan yang benar-benar berlandaskan akhlak yang tinggi.

Daripada kepimpinan sedemikian akan lahir pemikiran-pemikiran progresif yang akhirnya dapat membentuk sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

Sejajar dengan kepercayaan Ahlul Sunnah, Cak Nur melihat tokoh yang dapat  menggerakkan semangat Islam secara menyeluruh itu adalah orang seperti Saidina Umar Al Khattab, khalifah kedua dalam sejarah Islam.

Umar, katanya ‘pemimpin beriman yang paling unggul’ kerana penghayatan Islamnya yang diperkukuh dengan contoh-contoh akhlak yang tinggi.

KEKUATAN MORAL DAN ILMIAH

Gabungan kekuatan moral disamping kekuatan ilmiah boleh dilihat sebagai faktor yang menyumbang kepada kelestarian khazanah ilmu dan tradisi Islam dari zaman ke zaman, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Ia menjadi kekuatan daya tangkis ilmiah yang menyebabkan mengapa penguasaan Mongol berakhir dengan mereka sendiri kemudian memeluk Islam.

Ini sekaligus telah menyelamatkan warisan Islam itu daripada terkubur di bawah penaklukan Mongol.

Pengajaran sejarah bagi kita hari ini adalah  untuk mendalami faktor-faktor yang membantu peradaban Islam menangkis pengaruh-pengaruh dari luar yang cuba menghapuskannya.

Dan dalam kita meneliti faktor-faktor itu, kita pasti  dapati bahawa daya bingkasnya itu banyak terletak pada keupayaan umat Islam terdahulu menerima dan menghayati kepelbagaian yang terkandung dalam khazanah intelektual yang diwarisinya.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan