Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Kerjasama antara agama boleh melahirkan tamadun agung dan kemakmuran

Kemunculan peradaban besar semasa zaman kerajaan Islam di Al Andalus, berasaskan pada  dasar toleransi yang diamalkannya,  membuktikan kerjasama antara agama bukanlah suatu yang mustahil.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Kerjasama antara agama boleh melahirkan tamadun agung dan kemakmuran

Antara peninggalan Islam di Eropah melambangkan kepelbagaian agama yang diwarisinya.

Sekitar buku:

THE ORNAMENT OF THE WORLD - How Muslims, Jews, and Christians Created a Culture of Tolerance in Medieval Spain oleh Maria Rosa Menocal (Back Bay Books, 2002)

(Perhiasan Dunia – Bagaimana masyarakat Islam, Yahudi dan Kristian mewujudkan budaya toleran di Sepanyol).

Seorang biarawati Kristian yang hidup dalam kurun ke-10 agak terpegun mendengar cerita yang didengarnya dari seorang wakil khalifah tentang kerajaan Cordoba di selatan Sepanyol yang dikenali sebagai Al Andalus.

Kerajaan itu dilaporkan agak makmur dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup dengan aman damai dan penuh toleransi.

Mendengar laporan itu, biarawati tersebut, Hroswitha,  memberikan nama jolokan bagi Cordoba sebagai Perhiasan Dunia (Ornament of the World) yang menjadi tajuk buku Maria Rosa Menocal.

Wakil khalifah itu yang bertindak sebagai duta besar kerajaannya adalah seorang biskop (bishop) Kristian. Dan terdapat kemungkinan Menteri Luar kerajaan Cordoba yang menghantarnya ke Jerman itu adalah seorang beragama Yahudi.

Ramai orang Eropah seperti Hroswitha kagum dengan kemakmuran Al Andalus yang diperintah dinasti-dinasti Islam sejak kerajaan Umayyah  dari kurun ke-8 hinggalah kurun ke-15.  

Al Andalus yang terletak di semenanjung Iberia bukan sahaja makmur, mewah dan aman, tetapi juga cukup kaya dengan ilmu pengetahuan dan kemajuan pemikiran.

Kemakmuran itu digambarkan oleh Menocal dengan pelbagai cara dan penceritaan dan dengan membandingkan pencapaian Cordoba dengan kerajaan lain di Eropah.

Perpustakaan di Cordoba sahaja dikatakan menyimpan 400,000 jilid buku, sedangkan perpustakaan terbesar di dunia Kristian hanya mempunyai 400 jilid sahaja.

KEHIDUPAN TOLERAN

Apa yang digambarkan oleh Menocal adalah pengajaran sejarah  bahawa amalan hidup bersama yang toleran (disebut sebagai Convivencia) terutama yang ditunjukkan oleh masyarakat Islam boleh mewujudkan peradaban yang paling maju di Eropah.

Lebih menarik lagi adalah apa yang dicapai oleh Al Andalus bukannya berlaku di Timur Tengah atau tempat-tempat lain, tetapi di tengah-tengah benua Eropah sendiri.

Ia menunjukkan kepada dunia bahawa apabila masyarakat Islam, Yahudi dan Kristian hidup bersebelahan satu sama lain dan bekerja rapat sesama sendiri, mereka mampu mewujudkan satu budaya dan peradaban yang mengkagumkan.


Menurut Maria Menocal, mendiang profesor di universiti Yale (meninggal pada 2012), ini semua boleh dicapai walaupun adanya pelbagai perbezaan dari segi fahaman dan kepercayaan, selagi budaya toleransi itu dipupuk di semua peringkat masyarakat.

Dalam budaya begini, wujud jaminan kebebasan beragama dan penerimaan bahawa walaupun kita mempunyai perbezaan dan pertentangan kepercayaan, ia tidak bermakna kita tidak boleh hidup bersama atau bekerja rapat untuk kebaikan semua.

PENGARUH BUDAYA ARAB

Ketika peradaban ini mencapai kemuncaknya, sekitar kurun ke-12, Al Andalus terutama sekali kota Toledo menjadi pusat terjemahan dan pengaliran ilmu dari dunia Islam ke Eropah.

Dari segi falsafah, umpamanya, dua pemikir utama dari Al Andalus yang mempunyai ramai pengikut di kalangan pemikir Kristian Eropah adalah Ben Maimon (Maimonides) seorang ahli falsafah Yahudi dan Ibn Rushd, ahli falsafah Islam yang dikenali di Eropah sebagai Averroes.

Orang seperti Ben Maimon, Ibn Rushd  dan seorang ahli falsafah Kristian zaman pertengahan Eropah, Peter Abelard,  melambangkan era toleransi ini di mana perbezaan sesama mereka adalah tidak penting.

Yang penting adalah kegigihan masing-masing dalam pencarian mereka untuk mendapatkan ‘kebenaran’.

Di Al Andalus juga, kita diingatkan oleh Menocal bahawa  masyarakat Yahudi yang cukup terpengaruh dengan budaya Arab menemui semula budaya Yahudi mereka termasuk seni sajak Yahudi.

Pengaruh Arab-Islam Andalus tidak di situ sahaja. Dari segi seni bina, banyak istana, gereja dan tempat ibadat Yahudi dibangunkan  mengikut gaya dan seni bina masyarakat Muslim, dengan tembok-temboknya dihiasi dengan khat Arab.

Rumah ibadat Yahudi Santa Maria, Toledo (wikipedia)

Ada juga tempat seperti di Toledo di mana rumah ibadat Yahudi dihiasi dengan ayat-ayat Al Quran.

Malah, Raja Ferdinand, raja Kristian Sepanyol yang berjaya merampas kubu terakhir kerajaan Islam Andalus di Granada, disemadikan dengan tugu kuburnya dipenuhi dengan tulisan Arab, Yahudi, Latin dan Castilian.

PERADABAN MENAKJUBKAN

Bagi Menocal, apa yang yang menakjubkan ekoran percampuran tiga budaya utama di Eropah ketika itu adalah lahirnya peradaban yang bermutu tinggi bagi kemanusiaan,  sedang kebanyakan tempat lain di Eropah masih lagi diselubungi ‘zaman kegelapannnya’.

Seperti yang digambarkan oleh Menocal peradaban luar biasa ini dibentuk oleh suatu ‘wawasan yang kompleks’ dan ‘identiti yang bertentangan’ tetapi berasaskan kepada prinsip toleransi dan kepentingan dapat wujud bersama.

Walaupun bertentangan, wujud kebijakan di kalangan masyarakat Al Andalus untuk mencapai keseimbangan bagi melahirkan sebuah masyarakat ‘mewah, berpendidikan dan kreatif’.

Akhirnya Al Andalus mampu menjadi pencetus idea-idea pembaharuan dari segi pemikiran dan sains, yang kemudian merubah Eropah dan menariknya keluar daripada kemunduran sejak berkurun-kurun lamanya.

Seperti yang disebut oleh seorang sarjana, ini semua berlaku pada ‘saat-saat toleransi begitu berpengaruh’.

BAGAIMANA IA BERAKHIR

Malangnya, seperti yang kita ketahui dari sejarah,  tekanan demi tekanan yang dihadapi oleh Al Andalus telah melemahkan masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibentuknya.

Peperangan demi peperangan, kebanyakannya ancaman dari luar – baik dari kuasa-kuasa Kristian, mahu pun dari kuasa Muslim seperti dua dinasti utama Afrika Utara, Almohad dan Almoravid, melemahkan daya tahan Al Andalus.

Kedua-dua dinasti itu membawa bersama mereka bibit-bibit ketegaran dan fahaman agama yang agak sempit.

Menurut sesetengah sejarawan, dinasti Almohad hanya memerlukan kurang enam dekad sahaja untuk melemahkan Al Andalus dengan menggantikan masyarakatnya yang toleran dengan masyarakat beraliran fundamentalis.

Ini telah menyebabkan ramai masyarakat Yahudi, Islam dan Kristian diusir atau terpaksa meninggalkan Cordoba – ada yang lari ke Granada dan beberapa kota Kristian yang lain.

Al Hambra kubu terakhir Islam di Granada  (wikipedia)

Dan apabila Granada jatuh pula kepada kerajaan Kristian pada pertengahan kurun ke-15, peradaban berbilang kaum dan agama yang telah bertahan selama tujuh kurun di selatan Sepanyol pun berakhir.

Kalau sebelum ini dasar kurang toleran diamalkan oleh dinasti fundamentalis Afrika Utara, ketibaan kerajaan Kristian di Granada membawa pula dasar tegar yang diamalkan oleh kerajaan dan pihak gereja Katolik.

Pengusiran ramai penganut Islam dan Yahudi serta paksaan kepada mereka supaya menukar agama kepada agama Kristian, melemahkan perpaduan dan persefahaman agama yang telah lama terjalin.

GABUNGAN TIGA AGAMA

Kesan menyeluruh akibat semua perkembangan ini adalah tamatnya peradaban yang cukup dinamik pernah dicipta menerusi gabungan tiga masyarakat utama di Eropah.

Walaupun ini semua berakhir sekitar enam kurun lalu, ia tetap meninggalkan pengajaran penting kepada kita pada hari ini.

Antaranya adalah perpaduan dan kesediaan untuk hidup dan bekerja rapat antara agama – terutama di kalangan agama Islam, Yahudi dan Kristian – bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ia pernah berlaku enam kurun lalu, malah, lebih awal lagi semasa zaman Rasulullah sendiri di Madinah pada kurun ke-7, apabila beliau menyatukan semua masyarakat utama; baik Islam, Yahudi, Kristian dan suku kaum Arab yang lain menerusi Piagam Madinah.

Ini semua menunjukkan bahawa peninggalan sejarah yang baik dan penuh teladan  masih boleh berulang lagi hari ini.

 


 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan