Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Kepimpinan bermoral tinggi telah lama dituntut dalam warisan sejarah Melayu

Di tengah-tengah kekeliruan dan kecelaruan berfikir, teks Melayu lama seperti Taj al-Salatin menyediakan renungan yang amat berguna tentang apa itu kepimpinan yang baik dan beretika mulia. 

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Kepimpinan bermoral tinggi telah lama dituntut dalam warisan sejarah Melayu

Tunjuk perasaan di Indonesia pada 2 Dis 2018 (Gambar: AFP)

Dalam hiruk-pikuk hari ini dengan pelbagai suara lantang menyemarakkan politik identiti kaum dan agama, agak sukar bagi kebanyakan kita untuk bersifat tenang dan rasional.

Bagaimanapun inilah yang sangat-sangat diperlukan – kesabaran dan kebijaksanaan -  supaya keadaan yang buruk tidak menjadi bertambah kucar kacir lagi.

Nilai-nilai yang baik itu menjadi salah satu pengajaran utama dalam kitab Taj al-Salatin (Mahkota Raja-Raja) karangan Bukhari Al-Jauhari sekitar awal kurun ke-17 di Aceh.

Ia banyak membicarakan berbagai perihal yang perlu diketahui oleh seseorang yang memegang tampuk pemerintahan seperti raja, menteri-menteri dan pegawai-pegawai pemerintah.

BIJAK MEMERINTAH

Sebagai budaya dan peradaban yang antara tertua di Asia Tenggara, mungkin menjangkau lebih seribu tahun lamanya, masyarakat Melayu sebenarnya cukup matang dalam hal pemerintahan dan ketatanegaraan.

Kearifan ini ditonjolkan dalam beberapa teks lama yang merakamkan hal-hal ketatanegaraan seperti Taj al-Salatin.

Menurut pakar-pakar, pengarang Taj al-Salatin, Bukhari Al-Jauhari adalah seorang cendekiawan Aceh yang mengarang kitab ketatanegaraan itu sebagai sumbangan kepada rajanya pada awal tahun 1600an. 

Ada pendapat yang menyatakan Al-Jauhari, seorang pakar permata, mungkin berasal dari Bukhara tetapi telah lama tinggal di Aceh. Atau mungkin juga seorang yang berasal dari Johor tetapi tinggal di Aceh dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda.

Penulisannya yang bersifat hikayat atau penceritaan bertujuan memberi pedoman kepada raja-raja dan pegawai-pegawai istananya tentang etika, politik  dan nilai-nilai kepimpinan yang baik dalam menguruskan negara.

KEMELUT DAN MAKMUR

Al-Jauhari dikatakan mula mengarang Taj al-Salatin sedang Aceh menghadapi pelbagai persoalan kepimpinan dan pergolakan politik.

Tidak lama selepas tulisannya itu dipersembahkan kepada Sultan Alauddin Riayat Syah yang uzur, rampasan kuasa berlaku dengan Sultan itu digulingkan oleh salah seorang anaknya, Sultan Muda.

Namun tidak lama kemudian, anak saudaranya sendiri, Johan Perkasa Alam, menggulingkan pula Sultan Muda.

Potret Sultan Iskandar Muda Aceh (wikipedia)

Potret Sultan Iskandar Muda (wikipedia)

Di bawah kepimpinan Perkasa Alam yang menggelarkan dirinya sebagai Sultan Iskandar Muda (1583-1636) Aceh memasuki ‘zaman keemasan dalam  bidang politik, ekonomi, perdagangan dan juga sebagai pusat kegiatan intelektual Islam.’

Wilayah di bawah kesultanan Aceh ketika itu bertambah luas sehingga meliputi hampir dua pertiga Sumatera dan  sebahagian Semenanjung Tanah Melayu seperti Kedah.

Para penduduknya pula semakin bertambah majmuk dengan masyarakat asingnya terdiri daripada Arab, India, Parsi, Cina, Siam dan Eropah – setiap satu dengan budaya, kepercayaan dan amalan hidup yang berbeza.

Berhadapan dengan pelbagai perkembangan ini disamping latar belakang sejarahnya yang agak bergolak, Al-Jauhari cuba menjelaskan bagaimana seharusnya raja-raja Melayu yang beragama Islam memerintah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

KETATANEGARAAN

Dalam kita menelaah kandungan yang terdapat dalam karya ini – kesemuanya terdapat 20 bahagian – kita akan dapati perkara yang sangat diberikan keutamaan adalah mengenai keadilan.

Banyak hal yang dibangkitkannya adalah bagaimana sebuah masyarakat boleh dibangunkan atas dasar keadilan.

Hanya dengan keadilan yang dikuatkuasakan oleh pihak raja dan kalangan pegawainya, kemakmuran, kedamaian dan kesejahteraan boleh dicapai sesebuah masyarakat baik di dunia dan akhirat.
Tetapi untuk menjadi raja yang adil, seseorang itu mestilah terlebih dahulu mengenal dirinya dengan mengamalkan filsafat hidup yang tinggi.

Yang paling penting dalam hubungan antara seorang raja dengan Penciptanya adalah kesedaran beliau tentang tanggungjawabnya dalam menegakkan keadilan.

Raja yang adil dan ihsan, menurut Al-Jauhari,  adalah raja yang selalu memenuhi tugas dan kewajibannya dengan baik.

Disamping itu dia juga tidak menyombongkan diri serta memudah-mudahkan persoalan yang dihadapi rakyat.

Nilai-nilai dan etika tinggi yang harus diamalkan seseorang raja juga melibatkan sikap  tidak mudah memurkai atau menghukum orang, golongan atau kaum tertentu tanpa alasan atau bukti yang kuat.

Seorang raja juga suka melindungi semua golongan, kaum, umat dan setiap lapisan rakyat dengan sikap kasih dan sayang.

Beliau mestilah banyak berdialog dengan para ulama, cendikiawan dan ilmuwan tetapi mengurangkan pertemuan dengan orang yang bebal, tamak dan jahat.

Memenuhi janjinya kepada rakyat, melaksanakan hukuman yang adil pada orang jahat dan memuji orang yang berbuat baik.

“Maka hendaklah raja yang kehendaknya mengerjakan adil dan memelihara akan beberapa orang yang demikian perinya dan pekertinya banyak bawanya …”

Makam Sultan Iskandar Muda Aceh (1636) 

PEKERTI BAIK

Seorang raja atau pemimpin itu mestilah bersikap lemah lembut dalam menjalankan hukum serta memelihara diri dari segala aib dan dosa.

Tugas yang dipikul oleh raja dan pegawai-pegawainya adalah cukup berat sehinggakan mereka tidak boleh banyak membuang masa dengan melayan nafsu sendiri:

“Maka haruslah yang raja itu kurang makan dan kurang tidur dan jangan menurutkan hawa nafsu supaya dapat mengerjakan ia pekerjaan kerajaan yang maha sukar mengadakan dengan sebenarnya.”

Tidak kurang penting, raja itu mestilah menjadi  tauladan dari segi perbuatan dan perkataan kerana perbuatannya yang baik itu akan menjadi contoh kepada rakyat.

Turut menjadi tanggungjawab penting bagi seorang raja dan penjawat-penjawat awam di bawahnya adalah untuk memastikan adanya kemudahan dan prasarana yang menyenangkan rakyat.  

Dan bagi raja dan pegawai-pegawai beliau yang enggan menjalankan tugas dengan baik sehingga mereka tidak bertindak dengan adil dan jujur, kedudukan mereka amat terancam di hari akhirat kelak:

“Barang siapa daripada raja-raja yang tiada kasihankan rakyat itu diharamkan Allah Taala atas syurga.”

Manuskrip Taj al-Salatin (British Library) 

PENGARUH MELUAS 

Taj al-Salatin dikatakan besar pengaruhnya sehingga tersebar luas ke seluruh Nusantara dengan banyak kraton dan istana di Jawa dan kalangan istana di Semenanjung Tanah Melayu menjadikannya bahan rujukan sehinggalah ke abad 19.

Seperti kata sarjana Taufik Abdullah, Taj al-Salatin adalah salah sebuah teks Melayu-Islam yang paling asli pernah dihasilkan. 

Walaupun cukup lama, tetap jelas bahawa banyak pedoman dan pengajarannya masih lagi relevan, malah menjadi semakin penting untuk dirujuk semula.

Dengan keadaan politik Melayu nampaknya semakin ‘cerca merba’ dengan kekacauan pemikiran di sana sini, adalah baik untuk pemimpin dan masyarakat di bawa kembali bertenang dan merenung semula ke dalam sejarah.

Salah satu renungan sejarah yang baik tentunya adalah pembicaraan mengenai etika dan moral kepimpinan yang terkandung dalam Taj al-Salatin.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan