Images
  • Sains1

ULASAN: Islam tidak menentang sains tapi berapa ramaikah yang hayatinya

Visi Singapura untuk mewujudkan Negara Bijak di mana teknologi digital luas digunakan telah dilakar lima tahun lalu.

Dalam ucapannya di Sidang Puncak Negara Bijak baru-baru ini Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata untuk menjayakan visi itu rakyat mestilah menerima sains dan teknologi dan bukannya mempunyai perasaan takut terhadapnya.

Jika kita bersikap ragu-ragu terhadapnya ia hanya menjadikan kita mundur bukannya maju ke depan.

Perbincangan begini mengingatkan kita tentang sejarah perit jerih umat Islam sedunia dalam ia  menggarap pengertian sebenar ilmu sains dan pemodenan kepada manusia dan masyarakat Islam khususnya.

Sikap umat Islam terhadap soal besar ini diungkap dalam tulisan wartawan dan sejarawan Christopher de Bellaigue, "Islamic Enlightenment - The Modern Struggle Between Faith and Reason", yang melakarkan susur galur sikap dunia Islam, terutamanya Mesir, Iran Turki, dalam ia berhadapan dengan pemodenan Barat sekitar dua ratus lalu.

DUNIA ISLAM DAN EROPAH

Pertembungan antara dunia Islam dengan Eropah memanglah bukan perkara baru.

Ia telah lama berlaku dengan pertembungan  pertama meletus hanya beberapa dekad sahaja selepas kewafatan Nabi Muhammad.

Misalnya, apabila tentera Islam berjaya menundukkan kuasa besar Rum apabila ia tersebar luas ke Palestin, Syria dan Mesir pada pertengahan kurun ke-7, dan kemudian menjejakkan kakinya di Sepanyol pada kurun ke-8 Masihi.

Pertembungan pada era awal Islam ini membawa manfaat besar kepada kedua-dua dunia Islam dan Eropah sendiri.

Berbekalkan dengan pemahaman agama yang segar, pertembungannya dengan dunia ilmu Greek misalnya, meningkatkan lagi daya pemikiran umat Islam ketika itu, dengan bertambah meluasnya sumbangan Islam kepada dunia sains, falsafah dan juga pemikiran agama sendiri.

Interaksinya dengan dunia Islam pula membantu Eropah menemui semula warisan ilmunya dari zaman tamadun  Greek.

                 

                              Ibn Sina  (Gambar wikipedia)

Ia kembali semula ke bumi Eropah menerusi terjemahan karya-karya penting para pemikir Arab/Islam seperti Ibn Sina, al Kharizmi, al Haytham, al Kindi, al Farabi, Ibn Rushd, dan ramai lagi.

Tetapi kegemilangan tamadun Islam ini buat seketika sahaja. Sedang perabadan Islam itu meningkat tinggi, di situ juga bermulanya bibit-bibit kemunduran.

PERMULAAN KEJATUHAN

Ada yang melihat permulaan kemerosotan tamadun ilmu dalam dunia Islam bermula  sekitar kurun ke-9  dengan semakin buruknya perpecahan antara mazhab dan penolakan terhadap falsafah dan penggunaan akal fikiran dalam kehidupan.

Keadaan huru-hara dan ketidakmantapan yang diburukkan dengan kemunculan bala tentera Mongol sekitar kurun ke-13, tidak mengizinkan pembangunan ilmu dan kebebasan berfikir.

Bagi Ibn Taimiyyah yang hidup dalam era tidak mantap itu, beliau melihat jalan terbaiknya adalah dengan menutup sahaja  ‘pintu ijtihad’ – dengan tidak menggalakkan penggunaan akal fikiran dalam apapun  bentuknya sama sekali.

Ini semua amat membantutkan perkembangan ilmu – bukan sahaja ilmu sains dan teknologi – tetapi juga ilmu berkenaan agama dan falsafah.

Akibatnya mutu peradaban dunia Islam semakin merosot dan akhirnya ‘terberhenti di tengah jalan’, langsung tidak bergerak buat beberapa kurun lamanya.

BERAKAR DAN BERTAMBAH TEGAR

Sikap konservatisme dan fundamentalisme semakin berakar dan menjadi tegar, dengan sikap inovasi, keterbukaan, dan pemikiran tulen pula terus terkubur.

Bellaigue mengambil contoh, tentang kemunculan mesin percetakan dari Eropah (direka pada kurun ke-15) yang ditolak mentah-mentah oleh golongan konservatif Turki tiga ratus tahun kemudian.

Masih lagi di Turki, disebabkan tentangan golongan ulama konservatif satu-satunya makmal pemantau angkasa  (observatory) dalam dunia Islam di Galata, Istanbul telah dimusnahkan pada 1580 kerana mereka tidak memahami faedah yang boleh diraih.

Penolakan itu semata-mata atas dasar tidak memahami bahawa kemajuan sains dan teknologi tidak semestinya bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

Sedang Eropah terus maju ke hadapan terutama selepas era kebangkitannya semula (Rennaisance), dunia Arab dan Islam semakin tegar tentangannya terhadap bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan sains dan akal fikiran.

Meskipun demikian Bellaique melihat usaha menentang sains dan akal fikiran  gagal dihapuskan sama sekali oleh golongan tegar yang berfikiran sempit ini.

Beliau melihat penghayatan bahawa Islam sebenarnya tidak menentang sains dan teknologi dan penggunaan akal fikiran terus terpahat dalam kesedaran sesetengah pihak.

BERPUTIK SEMULA

Semangat tiadanya percanggahan antara sains dengan Islam berputik kembali dalam satu lagi pertembungan antara Islam dengan Barat dengan kemunculan Napoleon di bumi Mesir pada 1798.


Napoleon Bonaparte jajah Mesir sebagai Jeneral pada 1798

Pemodenan Barat yang diperkenalkan oleh Napoleon menimbulkan pelbagai pengaruh yang mencetuskan apa yang dipanggil sesetengah orang sebagai ‘Islamic Enlightenment’ atau Pencerahan Dunia Islam.

Bellaigue mahu menunjukkan bahawa pertembungan dunia Islam (seperti Mesir, Iran dan Turki) ekoran ketibaan Napoleon  itu menimbulkan "kesan-kesan tidak mudarat" (benign) dan ini menjadi alasan baik "mengapa kita boleh bersikap positif bagi masa hadapan."

Kemunculan Napoleon itu dengan idea-idea pemodenan yang dibawanya menjadi pencetus utama dalam membangkitakan semula kesedaran di kalangan tokoh-tokoh berpengaruh dalam dunia Islam ketika itu.

Ia menyedarkan mereka  bahawa tiada satupun dalam ajaran Islam yang menentang kemajuan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi dan penggunaan akal fikiran untuk apa sahaja bidang ilmu, termasuk ilmu agama.

Dalam ‘Islamic Enlightenment’  Bellaigue melakarkan pelbagai coretan kehidupan dan pemikiran tokoh-tokoh utama seperti Muhammad Ali Pasha, Sultan Mahmud II, Abbas Mirza,  Rifa’a al Tahtawi, Jamaludin Afghani,  Muhammad Abduh dan ramai lagi.

TERUS BERKEMBANG PENGARUHNYA

Idea-idea pencerahan yang diperjuangkan mereka terus berkembang pengaruhnya sehinggalah ke dunia Melayu sebelah sini, seperti kemunculan gerakan pembaharuan islah yang diperjuangkan oleh Shaikh Tahir Jalaludin dan Syed Shaikh al Hadi, pengasas penerbitan Al Imam.

Perjalanan bagi membangkitkan semula semangat berfikir dan penghayatan sebenar terhadap sains dan teknologi memanglah bukan mudah.

Bellaigue menulis bahawa ia terus menghadapi pelbagai tentangan dan cabaran dekad demi dekad hinggalah ke hari ini.

Ada sahaja pihak yang menolaknya atas berbagai sebab, lebih-lebih lagi kerana tersalah anggap bahawa ‘pencerahan’ dan  ‘pemodenan’, malah juga sains dan teknologi berasal dan berkait rapat dengan Barat. Oleh itu perlu ditolak kerana ia datang dari ‘orang kafir’.

Apakah sikap tegar seperti ini sudah pudar atau masih lagi berleluasa dalam masyarakat? Harapan kita ia sudahpun semakin luntur dan menipis.

Jika tidak, ia bermakna usaha meningkatkan kesedaran dan pencerahan yang tulen tentang pentingnya sains, ilmu pengetahuan dan pemikiran, perlu terus dipergiatkan lagi.

 

- BERITA mediacorp/IB

Top