Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Islam agama damai - tapi kenapa ada yang mencurigainya

Gambaran tentang Islam dan Nabi Muhammad banyak menonjolkan nilai-nilai perdamaian dan persefahaman, belas kasihan dan sikap ihsan; nilai-nilai yang masih perlu terus dikembangkan untuk keadaan semasa hari ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

Sekitar buku:

Muhammad – Prophet of Peace Amid The Clash of Empires oleh Juan Cole (Nation Books, 2018)

Seperti yang diperhatikan oleh ramai pengamat agak jelas bahawa sikap mencurigai terhadap Islam, (atau Islamofobia), semakin meningkat di merata dunia.

Banyak faktor boleh diambil kiri untuk menjelaskan keadaan ini – termasuklah faktor sejarah, peranan media, keadaan semasa seperti perkembangan geopolitik, isu imigrasi dan banyak lagi.

Apa pun faktornya sebenarnya lebih ramai lagi manusia di dunia ini yang masih bersikap terbuka, toleran dan sedia menerima kewujudan Islam di tengah-tengah masyarakat non-Muslim yang lebih besar.

Mereka tidak memerlukan hujah atau bukti tegas bahawa Islam bukan agama yang mengancam mereka atau kemanusiaan.

Namun, ramai juga yang memerlukan hujah dan bukti-bukti untuk menyakinkan mereka bahawa ‘Islam sebagai agama perdamaian’ bukanlah satu laungan cogan kata semata-mata.

Inilah yang cuba dilakukan oleh Juan Cole dalam Muhammad – Prophet of Peace Amid the Clash of Empires  (atau, Muhammad, Nabi bagi Perdamaian di tengah-tengah pertembungan empayar).

Cole, seorang profesor Sejarah di Universiti Michigan, dinukil dalam satu wawancara bahawa beliau amat tersentuh dengan betapa pentingnya idea perdamaian, keharmonian dan sikap  berbaik-baik yang banyak ditekankan dalam Al Quran.

Islam, bagi Cole, terutama dalam peringkat awalnya cukup diwarnai oleh nilai-nilai yang menggalakkan perdamaian.

‘NABI BAGI PERDAMAIAN’

Nabi Muhammad, kata beliau, memanglah cocok dipanggil seorang ‘nabi bagi perdamaian’ kerana sikapnya yang tidak membenarkan peperangan yang agresif dan selalu cuba sedaya upaya untuk mencari perdamaian di tengah-tengah keganasan.

Nabi tidak menggalakkan peperangan yang agresif kerana peperangan yang dibenarkan adalah yang berdasarkan pada sebab-sebab keadilan (dipanggil Just War theory).

Islam di bawah ajaran Nabi juga tidak menggalakkan kekerasan dengan bertindak sewenang-wenangnya.

Hasilnya menurut Cole, Islam berkembang di rantau semenanjung Arab dan seterusnya ke sebahagian besar dunia lain kerana kesantunan mesej perdamaiannya.

Cole menyediakan konteks sejarah tentang bagaimana Islam boleh muncul sebagai agama perdamaian walaupun ia sebenarnya berhadapan dengan sekitaran yang penuh dengan permusuhan.

DUA KUASA BESAR

Konteks sejarahnya adalah permusuhan dan perbalahan antara dua kuasa besar ketika itu – yakni kerajaan Romawi Byzantine di Constantinople dengan kerajaan Parsi Sassanid di Iran.

Keadaan tidak menentu yang berputik daripada perbalahan ini menjadi faktor utama bagi orang seperti Nabi Muhammad berusaha sedaya upaya dalam mencari ketenangan jiwa dan perdamaian yang berkekalan.

Sejarah telah menunjukkan bahawa perbalahan antara kedua-dua kuasa besar itu, yang sememangnya disebut dalam beberapa ayat Al Quran (Surah Rum, misalnya), meninggalkan impak yang besar ke atas kehidupan masyarakat semenanjung Arab.

Laluan dagangan utara-selatan semenanjung Arab sebelum Islam (wikipedia)

Seperti kita ketahui kota Makkah yang berperanan besar sebagai pusat kerohanian, sebenarnya dapat berkembang sebagai kota perdagangan utama utara-selatan Semenanjung Arab, kerana adanya perdamaian antara Byzantine dengan Parsi.

Tetapi apabila keseimbangan kuasa ini terganggu dengan meletusnya konflik dan peperangan antara mereka berdua, ia meninggalkan keadaan tidak menentu.

BERITA MENGEJUTKAN

Inilah yang berlaku pada 603 Masihi, yang menurut Cole, berupa satu berita yang cukup mengejutkan bagi masyarakat Makkah apabila pasukan Parsi dikatakan berjaya merampas banyak wilayah Romawi Byzantine.

Ia seumpama gangguan besar kepada peraturan sejagat kita hari ini  atau menurut seorang penulis, lebih mirip kepada satu ‘perang dunia’ kepada masyarakat ketika itu.  

Laporan tentang kemusnahan kota-kota yang menjadi persinggahan kabilah-kabilah dagangan Arab apabila mereka berdagang ke utara (seperti apa yang kerap dilakukan sendiri oleh Nabi Muhammad), menimbulkan rasa gelisah yang mendalam bagi penduduk Makkah.

Dan keadaan sebegini serta kesan-kesannya kepada sistem sosial dan ekonomi masyarakat Arab, banyak mengusik jiwa orang seperti Nabi sehingga beliau terdorong untuk melakukan sesuatu.

Dalam sekitaran sedemikian wujud di Semenanjung Arab ‘dahaga yang amat sangat’ kepada pandangan hidup dan kerohanian yang lebih segar.

DIPILIH SEBAGAI RASUL

Di sinilah Nabi Muhammad telah tampil ke depan bagi menyahut cabaran tersebut selepas terpilih sebagai Rasulullah untuk menyebarkan risalah dari Allah.  

Secocok dengan perwatakannya yang lebih mengutamakan perdamaian, Cole melihat Nabi Muhammad kerap menyahut setiap cabaran ke atasnya bukan dengan kekerasan tetapi dengan menyuarakan keinginan bagi perdamaian bersama.

Antara perutusan utama beliau selain menyeru manusia kepada kebenaran dan kepercayaan berdasarkan Tauhid, Nabi banyak juga menyeru kepada ketenangan jiwa, sifat ihsan, belas kasihan dan pemaaf kepada mereka yang tersilap.

Dan apabila Islam sudah cukup kukuh bertapak di Madinah perutusan utama beliau seperti yang diajarkan di dalam Al Quran adalah ke arah persefahaman dan kepelbagaian, di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.

PIAGAM MADINAH

Seperti yang digariskan dalam apa yang dipanggil sebagai ‘Piagam Madinah’ mesej utama yang ditegakkan oleh Rasulullah adalah satu ‘wawasan masyarakat berbilang budaya dan berbilang kepercayaan’ yang boleh menerima satu sama lain walaupun ada perbezaan.

Ia adalah masyarakat yang setia kepada satu sama lain, sedia memberi perlindungan dan sedia meleraikan segala pertikaian menerusi rundingan.

Menurut Cole, berbanding dengan norma-norma masyarakat yang dibentuk oleh empayar Romawi Byzantin kurun ke-7 Masihi, Piagam Madinah menggariskan tanggungjawab masyarakat berasaskan prinsip kewujudan bersama.

Ia juga berbeza daripada norma-norma keagamaan kurun ke-7 yang eksklusif, tidak toleran terhadap kepercayaan dan amalan agama yang berbeza.

Sealiran dengan ajaran Islam, Cole juga melihat bahawa Nabi Muhammad tidak melancarkan peperangan kecuali atas sebab membela diri, nyawa masyarakat, agama dan harta benda.

Namun dalam setiap konflik itu, Nabi hanya mengamalkan teknik perang minimum supaya tidak menimbulkan banyak kehilangan jiwa atau kerosakan harta benda.  

Cole melihat sebagai suatu yang ironik bahawa seorang pejuang keamanan, yang hanya melawan kezaliman dengan kebaikan, perlu menghabiskan sepertiga terakhir hayatnya dalam konflik ketenteraan demi mempertahankan diri sendiri.

PERALIHAN ARAH

Cole juga menyuarakan rasa hairan bagaimana sebuah gerakan yang memperjuangkan perdamaian, pada akhir hayat pengasasnya boleh bertukar menjadi gerakan yang ‘militan’.

Beliau mempersoalkan bagaimana ajaran dan nilai-nilai awal Islam yang banyak menggalakkan perdamaian dan persefahaman, boleh berubah menjadi fahaman yang eksklusif dan tegar.

Cole tidak menyalahkan Islam atau pun Nabi Muhammad.

Masyarakat Arab Badwi sekitar lewat kurun ke-19 (wikipedia)

Beliau melihat banyak faktor dalaman yang menyumbang kepada peralihan arah ini: Antaranya termasuklah kurangnya ‘didikan’ golongan Arab Badwi untuk menjadi Muslim sebenar.

Mereka sebaliknya telah berpaling semula kepada  tradisi kasar mereka sehingga ia menggugat nilai-nilai murni Islam. (Golongan ini, menurut Cole, mereka bangun pagi kemudian minum arak sehingga mabuk dan langsung terus pergi berperang).

Beliau juga mengkritik golongan ulama terkemudian yang lebih cenderung menekankan aspek-aspek agama yang eksklusif dan tegar sahaja demi kepentingan politik dan empayar masing-masing.

GAMBARAN JELAS

Banyak pengamatan yang dibuat oleh Cole mungkin tidak mudah dapat diterima begitu sahaja - terutama tentang bagaimana agama Islam boleh tersasar dari dasar-dasar keamanan yang telah diletakkan oleh Nabi Muhammad.

Namun begitu, Cole sekurang-kurangnya  telah berjaya mengukirkan gambaran yang jelas bahawa Islam dan pengasasnya, Nabi Muhammad, amat peka dan prihatin tentang soal perdamaian.

Dan Nabi juga digambarkan sebagai amat ambil berat tentang nilai-nilai kemanusiaan seperti belas kasihan, toleransi dan persefahaman walaupun adanya perbezaan dari segi latar belakang kaum,  agama dan budaya.       

Inilah juga nilai-nilai yang perlu terus dikembangkan oleh umat Islam hari ini sedang kita berhadapan dengan pelbagai cabaran Islamofobia dan sikap mencurigai antara satu sama lain.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan