Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Ideologi ekstrem sukar dibendung jika kita sendiri tidak mengenalinya

Fahaman melampau mungkin tidak menganjurkan pengganasan. Namun dengan menonjolkan nilai-nilai dan corak pemikiran sempit, ia mendekatkan para penyokongnya kepada pengganasan.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Ideologi ekstrem sukar dibendung jika kita sendiri tidak mengenalinya

Brenton Tarrant didakwa atas tuduhan membunuh berhubung serangan pengganas yang dilancarkan ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand. (Gambar: Mark Mitchell/New Zealand Herald/Reuters)

Sekitar Buku:

Brendon Tarrant, penyerang kejam dalam pembunuhan beramai-ramai di Christchurch tempoh hari dilapor mendapat inspirasi dari seorang lagi pengganas, Anders Brevik.

Brevik kini menjalani hukuman penjara di Norway kerana melakukan pembunuhan  ke atas 69 orang, kebanyakannya remaja,  lapan tahun lalu.

Seperti Brevik, Tarrant juga menerbitkan manifesto menjelaskan pendiriannya melakukan tindakan ganas tidak berperi kemanusiaan itu.

Motifnya bagi Tarrant: dia melihat mangsa-mangsanya sebagai ‘penceroboh yang mahu merampas tanah airnya’ dan mahu ‘menggantikan kaumnya’ (yakni masyarakat kulit putih New Zealand). 

Menurut J.M Berger, penulis Extremism, The MIT Press Essential Series, ini bukanlah suatu diluar dugaan.

Dalam satu rencana dua minggu sebelum pembunuhan kejam di Christchurch, Berger menulis di majalah Atlantic, Amerika Syarikat,  tentang bagaimana  Anders Brevik kini muncul sebagai ikon pengganas kulit putih.

Berger menekankan penulisan pengganas seperti Brevik kini mendapat perhatian meluas daripada kalangan pelampau-pelampau kulit putih yang lain.

Anders Brevik  (Wikipedia)

Berger melihat daya inovasi utama Brevik bukanlah dari segi ideologi tetapi operasi: yakni dengan menulis manifesto, melancarkan aksi ganas, kemudian sebarkan manifesto menerusi media terutama media digital.

Kini sudah lapan tahun jelas,  Brevik dan manifestonya mempunyai ramai pengikut di kalangan pelampau-pelampau sayap kanan kulit putih.

Di kalangan mereka, Brevik memanglah seorang ikon, wira pelampau-pengganas dengan diberikan jolokan seperti ‘Komander Brevik’ atau ‘Saint Brevik’.

Dan dengan kejadian menyayatkan hati seperti di Christchurch, kini timbul kebimbangan berapa ramai lagi pelampau seperti Brevik dan Tarrant di luar sana yang menunggu masa untuk mengikuti jejak langkah kedua-dua mereka.

J.M Berger (Wikipedia)

Dalam Extremism,   Berger,  seorang pakar pengganasan dan gerakan-gerakan pelampau menjelaskan bagaimana ideologi pelampau atau ekstremisme boleh terbentuk.

Berger juga adalah penulis buku-buku: Jihad Joe: Americans Who Go to War in the Name of Islam dan ISIS: The State of Terror (bersama Jessica Stern).

Berger menulis bahawa kandungan atau ideologi fahaman pelampau boleh berbeza antara satu sama lain.

Misalnya, ada yang memperjuangkan ketuanan kulit putih, nasionalisme agama Hindu, Buddha atau Yahudi,  fahaman agama yang ekstrem seperti ISIS, Al Qaeda, Taliban, Jemaah Islamiyah dan ada juga yang perjuangkan  ideologi nasionalisme sempit dan fasisme lain seperti di Eropah.

Walaupun ideologi ekstremis ini berbeza dari segi kandungan, bagi Berger kesemuanya mempunyai persamaan dari segi struktur atau rangka pemikirannya.

SIAPA KAWAN, SIAPA LAWAN

Pertama sekali, semua ideologi pelampau ini  cenderung sekali dalam mengenal pasti siapa pengikut mereka dan siapa pula musuhnya.

Mereka gemar menggariskan siapa itu kawan dan siapa lawan (us vs them).

Dari sini ideologi pelampau itu membahagikan masyarakat kepada apa yang dipanggil Berger sebagai ‘kumpulan dalam’ (in-group) dan ‘kumpulan luar’ (out-group).

Ideologi pelampau ini mendefinisikan identiti siapa yang bersamanya sebagai ‘kumpulan dalam’ dan siapa yang menentangnya sebagai ‘kumpulan luar’  (cakap mudahnya musuh mereka).

Memisahkan satu sama lain sahaja tidak mencukupi.

Di bawah ideologi pelampau ini,  turut digariskan juga adalah suasana atau pemikiran krisis yang sentiasa membeleggui mereka dan bagaimana ini harus diatasi (dipanggil Berger sebagai ‘crisis-solution construct’)

Berdasarkan kerangka ini, ‘kumpulan dalam’ menghadapi krisis penakatan yang diancam oleh ‘kumpulan luar’.

Oleh itu sesuatu tindakan ganas perlu diambil terhadap ‘kumpulan luar’. Gagal bertindak sedemikian bermakna matlamat akhir ‘kumpulan dalam’ itu tidak akan tercapai.

KEMENANGAN KUMPULAN SENDIRI

Bagi golongan pelampau sayap kanan kulit putih seperti di Amerika, Eropah dan kini di Australasia, kumpulan luar mereka adalah pendatang-pendatang bukan kulit putih yang berlainan agama, fahaman dan cara hidup.

Kepada golongan pelampau seperti ISIS dan Al Qaeda, kumpulan luar mereka bukan sahaja masyarakat bukan Islam, malah juga masyarakat Islam yang dilihat tidak menyokong matlamat dan perjuangan ganas mereka.

Kalau dilihat dari segi struktur ideologi ekstrem ini jelas bahawa matlamatnya adalah untuk mencapai kemenangan ke atas ‘musuh’; dan jika ini melibatkan tindakan ganas ia  tidak teragak-agak untuk berbuat demikian. 

Berger akui bahawa mungkin ada ideologi ekstrem yang pada zahirnya tidak menganjurkan pengganasan.

Tetapi dalam ia menggambarkan pandangan dunianya atau worldview, dalam ia menggambarkan kewujudan ideal bagi ‘kumpulan dalam’ di mana tiadanya tempat bagi ‘kumpulan luar’, dan dalam ia memecah belahkan masyarakat dengan pandangan dan sikap tidak toleran terhadap orang yang lain kepercayaan dan kefahaman -  jelas bahawa ideologi kumpulan sebegini akan mudah terjerumus ke dalam kancah pengganasan.

PERLU DIKEKANG

Dengan memahami struktur ideologi pelampau ini kita dapat memahami bagaimana sesuatu fahaman pelampau boleh menjadikan seseorang pengikutnya radikal.

Ini kerana pada mereka yang percaya pada ideologi sebegini, apa yang di hadapan mata mereka hanyalah identiti kumpulan masing-masing, krisis yang dihadapinya, dan langkah keras yang perlu diambil untuk mengatasi krisis itu.

Model pemikiran sebegini memudahkan kita memahami bagaimana seseorang yang berpegang kuat pada ideologi ekstrem mungkin tidak jauh daripada pengganasan – kalau tidak dari segi melakukannya, sekurang-kurang mewajarkannya dari segi permikiran.   

Oleh itu memanglah wajar bahawa ideologi ekstrem itu dikekang sebelum ia berkembang luas.

Tetapi sebelum kita dapat mengekangnya, kita mestilah terlebih dahulu mengenali rupa bentuk fahaman yang hendak dibanteras.

Buku Extremism  oleh JM Berger ini sedikit sebanyak boleh membantu kita mengenalinya.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan