Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Gandum, haiwan dan senjata – apa kaitannya dengan sejarah dan kehidupan hari ini

Sejarah memang dipengaruhi pelbagai faktor yang kompleks. Yang penting sejauh mana kita arif dalam mempelajarinya supaya tidak menjadi mangsa sejarah berulang lagi. 

Anggaran Waktu Membaca:

Bagi mereka yang gemar memerhatikan perkembangan sejarah mereka akan  faham bahawa sejarah itu tidak dicorak oleh satu-satu faktor sahaja.

Namun ini tidak seharusnya menghalang kita untuk mendalami dan menghayati sesuatu teori sejarah itu selagi kita faham ia hanyalah sebahagian daripada banyak teori lain.

Antaranya adalah teori ‘cabaran dan respons’ Arnold Toynbee yang meletakkan peranan utama pada segelintir ‘minoriti kreatif’ dengan pelbagai daya usahanya untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi.

Begitu juga Ibn Khaldun dengan falsafah sejarahnya bahawa paras peradaban manusia dibentuk oleh faktor-faktor sosial dan geografi.

Ia termasuk peranan besar yang dimainkan oleh semangat kekumpulan atau kepuakan (asabiyah) dalam pembentukan peradaban.

BANYAK TEORI LAIN

Begitulah banyak lagi teori dan pendekatan yang boleh kita telaah untuk mendapatkan apa-apa kefahaman mendalam tentang bagaimana sesuatu trend sejarah itu boleh berlaku dan bagaimana ia menjejas kehiupan kita sehingga hari ini.

Diamond, sejarawan dan profesor dalam bidang geografi dan anthroplogi, cuba menjawab persoalan bagaimana sesetengah peradaban itu boleh menjadi lebih dominan dari segi ekonomi dan politik, sementara ada pula yang seolah-olah terus terpinggir daripada perubahan sejarah.

Tidak seperti sesetengah sejarawan, Diamond tidak mahu menggunakan kaum atau budaya sebagai faktor penentu; misalnya dengan berhujah bahawa ada kaum dan budaya itu memang dari mula lagi lebih ke depan daripada kaum dan budaya lain.

Maksud Diamond, kita terima bahawa Barat atau Eropah memang sejak sekian lama, mungkin sudah sealaf lamanya, merupakan antara kaum atau peradaban yang lebih maju daripada peradaban-peradaban lain.

Tetapi ia bukan kerana warna kulit, bentuk otak atau pun jenis baka mereka yang lebih ‘istimewa’ daripada yang lain.

PERUBAHAN SEKITARAN

Faktor utama, kata beliau, adalah perubahan geografi dan sekitaran yang berlaku sekitar 10,000 tahun sebelum Masehi.

Sebelum tempoh itu, menurut Diamond, rata-rata semua kumpulan manusia menjalani kehidupan yang sama , iaitu sebagai masyarakat ‘pemburu dan pengumpul’ makanan sahaja.

Namun atas sebab-sebab perubahan iklim dan ilmu alam, kehidupan bagi manusia di rantau Eropah dan Asia (dipanggil Eurasia), menjalani perubahan yang membolehkan mereka bercucuk tanam dan membiak haiwan ternakan.

Bagi masyarakat Eropah dengan keupayaan bercucuk tanam seperti tanaman gandum dan menternak haiwan-haiwan, mereka kini dapat menikmati makanan yang lebih berkhasiat.

Daripada bercucuk tanam masyarakat purba ini meningkat pula taraf keupayaannya kepada kemahiran lebih tinggi, seperti mewujudkan sistem pertanian dan pengaliran, penyimpanan dan pengagihan bekalan yang lebih canggih.

Akhirnya mereka telah dapat melahirkan sistem kenegaraan, peradaban dan kebudayaan masing-masing yang unik mungkin sekitar 3 ribu tahun sebelum Masehi.

Ia termasuklah keupayaan membentuk bala tentera dan peralatan senjata untuk menguasai tanah dan wilayah lain, yang kita ketahui sekarang sebagai penjajahan atau pun kolonialisme.

Penjajahan Benua Amerika (Wikipedia)

Gambaran penjajahan Eropah ke atas benua Amerika sekitar kurun ke-16

FAKTOR KEPIMPINAN

Teori Diamond adalah untuk menerangkan faktor paling dasar dalam menjelaskan perbezaan peradaban manusia.

Kajian David Priestland pula boleh memberikan kita penjelasan lebih mendalam tentang elit atau kepimpinan bagaimana yang banyak mempengaruhi perubahan sejarah.

Kasta yang digunakannya bukan seperti dalam agama Hindu tetapi dari segi maksud golongan ‘karyawan’ tertentu.

Tiga kasta utama dalam sejarah menurut Priestland adalah golongan pedagang (merchant), (termasuklah golongan kapitalis dan pemilik kekayaan); golongan satria atau perwira (warrior), (termasuk golongan bangsawan aristokrat dan kepimpinan politik);  dan golongan bijaksana (sage), (termasuk sarjana, cendekiawan dan agamawan).

GOLONGAN  BERPENGARUH  

Dalam penelitian Priestland, sepanjang sejarah manusia baik di Eropah, China, India dan Timur Tengah, nasib setiap kumpulan kasta ini ada turun naiknya, bergantung kepada kemampuan masing-masing dalam menangani cabaran utama yang dihadapi.

Namun pandangan beliau yang paling menarik adalah kesimpulannya bahawa taraf peradaban kita kini berada di tahap di mana golongan yang paling berpengaruh adalah kasta pedagang.

Mereka adalah kalangan pemilik modal, usahawan besar, hartawan, jutawan malah juga ‘billionaire’ yang cukup serba mewah.

Semua kemewahan mereka itu semakin berlipat ganda hasil pertumbuhan ekonomi pesat sejak berdekad-dekad terutama dalam perusahaan teknologi digital dan kewangan.

Seperti yang diperhatikan oleh Priestland, setiap kali kasta pedagang bertambah kuat pengaruhnya dalam masyarakat seperti yang dilihat dalam tahun-tahun 1920-an dan kemudian dari 1990-an hingga hari ini, kita juga berhadapan dengan dua krisis kewangan yang serius.

Pertama, krisis kemelesetan besar-besaran Great Depression pada lewat 1920-an dan kemudian krisis-krisis kewangan 1997 dan 2008.

PENGAJARAN SEJARAH

Memandang ke hadapan, Priestland berpendapat adalah penting kuasa dan pengaruh golongan pedagang dikawal, dengan mencari semacam keseimbangan di mana pengaruh dan kepentingan pihak-pihak lain juga diambil kira dalam pembentukan pemerintah dan dasar negara.

Ia bagi mengelakkan keretakan dan kesenjangan sosial sekiranya gejala jurang pendapatan yang meluas tidak dapat dikekang disebabkan perubahan struktur ekonomi dunia.

AMBIL IKTIBAR

Dengan menelaah perspektif sejarah kedua-dua Diamond dan Priestland,  adalah jelas bagi kita bahawa terdapat pelbagai faktor kompleks yang menentukan perubahan dan perkembangan sejarah.

Namun sebagaimana rumit pun perubahan sejarah itu, adalah perlu bagi kita mempelajari dan mengambil iktibar daripadanya.

Sekurang-kurangnya kita tahu bagaimana hendak mengelakkan diri daripada menjadi mangsa berulangnya sejarah sekali lagi.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan