Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Daya tahan Melayu teruji di bawah penjajahan dan kepimpinan lama

Penelitian dalam Tuhfat An Nafis dan Hikayat Abdullah membantu kita memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu pada era penjajahan.

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Daya tahan Melayu teruji di bawah penjajahan dan kepimpinan lama

Tuhfat An Nafis di Pameran Melayu-Bugis, Taman Warisan Melayu

 

Sekitar buku:

Kitab Tuhfat An Nafis dan Hikayat Abdullah 

Tuhfat An Nafis oleh Raja Ali Haji, disunting Virginia Mattheson Hooker (Dewan Bahasa & Pustaka, 1991)

Hikayat Abdullah oleh Munsyi Abdullah (Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1997)

Tempoh pengkaryaan mereka adalah semasa penjajahan Barat memasuki tahapnya yang terakhir: Singapura diserahkan kepada Inggeris pada 1824 sementara kerajaan Johor-Riau sendiri memasuki dekad-dekad penamatnya pada lewat kurun-19 di bawah penjajahan Belanda.

Penjajahan Inggeris dan Belanda itu menamatkan apa yang disifatkan oleh sarjana Virginia Mathheson sebagai ‘kesultanan Melayu-Indonesia yang paling lama dalam sejarah’ – seribu tahun lamanya! 

Ia bermula dengan empayar Srivijaya (kurun ke-10), kemudian kerajaan Singapura Sang Nila Utama (1299), yang  diteruskan di  Melaka–Johor (kurun ke-15 hingga ke-17), dan akhirnya diwarisi pula oleh kerajaan Johor-Riau-Lingga (kurun ke-17 hingga awal ke-20).

Sejarah panjang itu berakhir dengan penjajahan. Dan apa yang pasti penjajahan Barat memanglah suatu peristiwa besar yang meninggalkan kesan mendalam ke atas masyarakat yang dijajah.

DETIK PENTING PENJAJAHAN

Dua teks lama yang membolehkan kita menyingkap beberapa detik penting saat-saat yang membawa kepada ‘lengkapnya’ proses penjajahan di bahagian selatan Semenanjung Melayu itu adalah kitab Tuhfat An Nafis (Hadiah Paling Berharga) karya Raja Ali Haji dan Hikayat Abdullah oleh Abdullah Bin Abdul Kadir.

Raja Ali Haji (meninggal 1873) adalah seorang sarjana dan sejarawan terkenal keturunan Bugis yang dibesarkan dalam keluarga diraja Bugis-Melayu di Pulau Penyengat.

Abdullah (meninggal 1854) lebih dikenali sebagai Munsyi Abdullah dan pernah menjadi  jurutulis dan penterjemah kepada Stamford Raffles. Menerusi penulisan beliau seperti Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, Munsyi Abdullah telah diangkat sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden.

RESPON KEPADA PENJAJAHAN

Membaca kedua-dua karya Raja Ali Haji dan Munsyi Abdullah  ini dengan mengambil kira konteks sejarahnya yang lebih luas,  membolehkan kita memahami cabaran-cabaran genting penjajahan dan sejauh mana kepimpinan Melayu telah memberikan responnya yang terbaik mungkin.

Penjajahan Barat bermula sekitar awal kurun ke-16 dengan kejatuhan Melaka. Seratus tahun kemudian ia mencetuskan krisis besar ke atas Asia Tenggara yang disebut sarjana Anthony Reid sebagai ‘zaman krisis kurun ke-17’.

Kedua-dua Raja Ali Haji dan Munsyi Abdullah menulis karya-karya mereka sekitar awal kurun ke-19, yakni 200 tahun selepas era krisis itu berakar jauh ke dalam masyarakat dan badan politik dunia Melayu.

Raja Ali Haji (Gambar wikipedia) 

Raja Ali Haji (Gambar wikipedia)

Bagi Raja Ali Haji beliau melihat zaman krisis Melayu itu sebagai faktor utama yang membuka peluang pihak Bugis untuk memainkan peranan penting dalam perkembangan sejarah kerajaan Johor- Riau sekitar lewat kurun ke-17.

Raja Ali Haji melihat kurun ke-17 hinggalah kepada lewat kurun ke-19,  sebagai era sumbangan besar kepimpinan Bugis dalam kerajaan Melayu Johor-Riau bermula dengan pakatan lima pahlawan Bugis bersaudara (Daing Perani, Daing Menambun, Daing Marewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi).

Merekalah yang menjadi pelindung kepada kerajaan keturunan Bendahara Abdul Majid pengganti kepada keturunan sultan-sultan Melaka yang tamat secara dramatik dengan kematian Sultan Mahmud Shah (1685), yang lebih terkenal kerana ‘mangkat dijulang’.  

SUMBANGAN BUGIS

Kehadiran para pahlawan Bugis itu dan keturunan mereka digambarkan oleh Raja Ali Haji sebagai amat penting dalam menstabilkan sistem poliltik Melayu.

Kerajaan-kerajaan Melayu ketika itu memanglah berhadapan dengan keadaan kucar kacir akibat peperangan sesama sendiri, sedang pihak penjajah Barat pula sibuk meluaskan pengaruh dan dominasi mereka dari segi perdagangan dan juga ketenteraan.

Bagi Raja Ali Haji, hanya menerusi perkongsian kuasa Melayu-Bugis – dengan putera-putera Raja Melayu diangkat sebagai Sultan, dan yang keturunan Bugis pula menjadi Raja Muda atau Yamtuan Muda – perdamaian dan kemakmuran dapat dikecapi.

Walaupun berhadapan dengan cabaran demi cabaran, Raja Ali Haji menceritakan pihak Bugislah yang banyak menyumbang kepada kemakmuran dan ketamadunan rantau Riau; baik dari segi pencapaian budaya dan persuratan Melayu hinggalah kepada penghayatan Islam.

Contohnya, kehadiran pemimpin-pemimpin seperti Raja Ali Raja Jaafar dan Raja Muhammad Yusuf;  kedua-dua Yamtuan Muda keturunan Bugis ini yang disifatkan sebagai teguh pada agama, warak dan cintakan ilmu.

Bagi Raja Ali Haji apa yang menggugat ini semua adalah sebab-sebab ‘kelemahan dalaman’, seperti ‘kekacauan nilai’, ‘sikap kesukuan’ dan ‘iri hati yang suka jatuh menjatuhkan satu sama lain.’

Antara yang menjadi kritikannya adalah sikap raja seperti Sultan Mahmud Muzaffar Syah yang suka ‘berfoya-foya’ di Singapura sehinggalah beliau dipecat oleh Belanda pada 1857.

KELEMAHAN KEPIMPINAN

Soal kelemahan kepimpinan pihak atasan juga dibangkitkan dengan ketara dalam Hikayat Abdullah, yang sebenarnya ditulis lebih awal (selesai 1840an) daripada Tuhfat An Nafis (selesai 1860an).

Kalau Raja Ali Haji mengkritik kepimpinan Melayu dengan membezakannya dengan kepimpinan pihak keturunan Bugis, Munsyi Abdullah pula menonjolkan kelemahan-kelemahan pemimpin Melayu dengan membezakannya dengan kepimpinan penjajah.

Kalau Raja Ali Haji agak berat sebelah memihak kepada keturunan Bugisnya, Abdullah pula langsung tidak berselindung dalam sanjungan tingginya ke atas penjajah.

Seperti dalam karyanya yang terdahulu, Kisah Pelayaran Abdullah (diterbitkan lewat 1830an), Munsyi Abdullah melihat faktor kemunduran masyarakat Melayu pada zaman penjajahan kurun ke-19 lebih berpunca daripada sistem feudal yang diamalkan  kepimpinan tradisional Melayu.

Abdullah Abdul Kadir (Gambar wikipedia) 

Abdullah Abdul Kadir (Gambar wikipedia)

Abdullah menolak punca kemiskinan dan kemunduran orang-orang Melayu kerana disebabkan oleh sikap malas.

Sebaliknya beliau melihat soal kemiskinan Melayu sebagai satu penyakit sosial yang berpunca daripada struktur masyarakat tradisional-feudal ketika itu.

PENINDASAN DAN KEZALIMAN

Abdullah melihat banyaknya penindasan, kezaliman dan segala ‘kepercayaan dan adat resam yang bodoh’ di negeri-negeri Melayu,  sementara di negeri-negeri di bawah penjajahan seperti Melaka dan Singapura pula, beliau melihat lebih banyak ‘hak bebas dan kesenangan rakyat yang tinggal di bawahnya.’

Singapura di bawah Inggeris pada pandangan Abdullah umpama ‘matahari baru terbit’, ‘makin tinggi, makinlah besar cahayanya.’

Namun perubahan-perubahan yang berlaku itu gagal dilihat golongan tradisional Melayu sebagai peluang yang harus dimanfaatkan.

Abdullah telah merakamkan beberapa tindak tanduk dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Melayu seperti Sultan Hussin, yang menurutnya berpandukan pada adat-adat lama yang tidak lagi kena pada tempatnya.

Ia termasuklah sikap mereka yang kurang mementingkan pendidikan moden, amalan perhambaan dan membawa senjata sehingga mengancam ketenteraman awam, dan keengganan untuk terlibat dalam perniagaan kerana melihatnya di bawah martabat mereka.

Contoh-contoh lain yang dikecam oleh Abdullah: ”jika mengambil anak bini orang yang disukainya seperti menangkap anak ayam sahaja”; dan “membunuh orang itu seperti membunuh seekor semut sahaja.”  

Keengganan golongan atasan ini untuk menerima perubahan dan menghentikan amalan-amalan tidak baik, dikecam oleh Abdullah sebagai ‘bodoh-bodoh’.

Hikayat Abdullah (Gambar wikipedia) 

Halaman dari Hikayat Abdullah (Gambar wikipedia)

PUNCA MASALAH

Abdullah banyak sekali menyebut tentang perkara ini yang menurutnya jika tidak dibuangkannya akan menjadikan masyarakat ‘bertambah-tambah bodoh’.

Melihatkan keadaan masyarakat dan para pemimpin Melayu ketika itu, membuat Abdullah merintih: ‘Bangsa Melayu itu makin lama usahkan makin pandai, makin pula bodoh adanya’.

Namun Abdullah tidak melihat punca utamanya pada diri masyarakat Melayu semata-mata.

Beliau lebih mempersalahkan golongan kepimpinan Melayu, yang menurut beliau:  ‘zalim dan aniayanya yang berlebih-lebihan’.

Ini menyebabkan ‘hati rakyatnya itu menjadi tanah yang tiada lagi berbaja, tiada boleh tertumbuh barang sesuatu pekerjaannya’.

RENUNGAN SEJARAH

Gambaran yang dibuat oleh kedua-dua Raja Ali Haji dan Munsyi Abdullah mungkin agak berat sebelah, dengan mereka lebih cenderung kepada pihak yang disenangi masing-masing.

Bagaimanapun renungan sejarah dan pemerhatian teliti yang dibuat mereka boleh membantu kita memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu pada era penjajahan.

Sedikit sebanyak tentunya ada bebeapa perkara yang boleh dijadikan iktibar dalam kita merenungkan pula keadaan masyarakat Melayu pada hari ini.

 


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan