Images
  • bulan

ULASAN: Bulan, ilmu sains dan masyarakat – di mana kita hari ini?

Sabtu, 20 Julai lalu, genap setengah abad manusia pertama kalinya menjejakkan kaki di bulan.

Sejak Neil Armstrong dan rakan sekapal angkasa Apollo 11, Buzz Aldrin, menjejakkan kaki pada tahun 1969, 10 lagi angksawan lain telah mengikut jejak mereka dalam penjelajahan manusia ke satelit yang terdekat dengan bumi itu.

Penerokaan manusia ke bulan walaupun telah bermula lebih separuh kurun lalu, ia tetap menjadi batu tanda penting pencapaian tamadun manusia.

Ia mencerminkan kejayaan manusia dalam membuat kemajuan besar dari segi penguasaan sains dan teknologi; suatu usaha yang bukan kecil tetapi cukup bermakna kerana kesan-kesan dan faedah ilmu pengetahuan yang kita raih daripadanya.

Pendaratan Armstrong dan Adrin di bulan (Gambar Wikipedia)

Tetapi sebelum Apollo 11 dengan dua penumpang utamanya  Armstrong dan Aldrin berjaya dengan penjelajahan mereka ke bulan, sumbangan besar pemikir dan sarjana silam termasuk mereka dari dunia Arab/Islam lebih seribu tahun lalu telah memungkinkan pencapaian sains dan teknologi yang diperlukan untuk penjelajahan sedemikian.

Walaupun kajian terhadap angkasa lepas dan alam semesta kita ini telah dimulakan oleh manusia ratusan malah ribuan tahun lebih awal, sumbangan para pengkaji Arab/Islam boleh dikatakan menjadi penentu penting dalam membolehkan ilmu sains berkembang lebih pesat lagi.


(Kawah Al Biruni – Wikipedia)

Dalam bidang kaji bintang umpamanya, nama-nama besar seperti Abu Raihan Al Biruni  dan Al Khwarizmi sudah pun terpahat di permukaan bulan itu sendiri.

Dua kawah di permukaan bulan, Kawah Al Biruni dan Kawah Al khwarizmi adalah antara ratusan nama kawah di permukaan bulan yang diberikan sempena sumbangan pakar-pakar kaji bintang, ahli sains dan ahli falsafah kepada bidang masing-masing.

SUMBANGAN ILMUWAN

Pengiktirafan terhadap ahli-ahli sains Arab/Islam mencerminkan sumbangan besar para ilmuwan Islam – baik dari dunia Arab, Parsi atau pun rantau Maghrib – dalam sains, perubatan dan bidang-bidang ilmu yang lain  dari kurun ke-9 hingga ke-14.

Di kalangan mereka, ada yang menganggap tokoh seperti Ibn Sina  sebagai ahli sains yang teragung dalam Islam.

Ada juga yang menganggap bahawa jolokan itu sebaiknya diberikan kepada Al Biruni kerana kepintaran dan sumbangannya sebagai seorang ahli falsafah, ahli matematik dan juga ahli kaji bintang.

Al Biruni juga besar sumbangannya sebagai pakar ilmu ketuhanan, ilmu bahasa, ilmu alam dan ilmu perubatan. Penguasaannya dalam ilmu pengetahuan amat luas sehingga ada yang menyanjungnya sebagai Bapa Ilmu Kaji Bumi (geologi) dan Kaji Masyarakat (anthropologi).

Pencapaian para sarjana Arab/Islam dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan dikaji dengan mendalam dalam tulisan Ahmad Dallal, ahli sejarah warisan Arab-Islam di Universiti Amerika, Beirut.

Dalam ‘Islam, Science and the Challenge of History’ (Islam, Sains dan Cabaran Sejarah), Dallal ingin menunjukkan kaitan rapat antara perkembangan ilmu sains dengan konteks sejarah dan sosio-politik masyarakat Islam sekitar 200 tahun selepas Islam tersebar luas dari semenanjung Arab.

KAITAN AGAMA DAN SAINS 

Beliau berhujah bahawa walaupun terdapat kaitan antara agama dengan ilmu sains – dengan kedua-duanya boleh mempengaruhi satu sama lain – sains berkembang kerana banyak faktor tertentu dan tidak semesti kerana adanya anjuran dan dorongan dari agama.

Menurut Dallal, sains dan matematik dalam masyarakat Islam mungkin ada permulaannya dari segi agama – seperti kaitan antara kaji bintang dengan penentuan arah kiblah, awal Ramadan/Syawal, waktu solat dan penentuan faraid – hakikatnya tokok-tokoh ahli sains dan ilmuwan Arab/Islam tidak pernah menganjurkan supaya ilmu mereka itu dikaitkan dengan agama.

Apa yang hendak dibuktikan oleh Dallal adalah ilmu agama dan sains berkembang selari  dengan tiadanya pertentangan antara satu sama lain.

Seperti beberapa sarjana lain, Dallal melihat kebangkitan sains dan ilmu pengetahuan disebabkan faktor-faktor sosio-politik antaranya kehadiran para pemimpin Arab/Islam seperti Khalifah Al Ma’mun di Baghdad.  Beliau memang amat terkenal sebagai khalifah yang  bersungguh-sungguh dalam membangkitkan semangat sains dan keilmuwan pada kurun ke-9.

Sumbangan Al Ma’mun itu. dengan langkahnya menggerakkan lembaga penterjemahan ilmu Greek ke bahasa Arab dan pembentukan pusat ilmu pengetahuan Baitul Hikmah, menjadi semacam pemangkin kepada dunia Arab/Islam untuk berlumba-lumba dalam penguasaan ilmu pengetahuan.

ZAMAN KEMELESETAN 

Dengan berhujah demikian bolehlah disimpulkan bahawa jika perkembangan ilmu sains dan pengetahuan disebabkan oleh pelbagai faktor yang kompleks, maka apabila dunia Arab/Islam mengalami kemunduran dalam sains dan pengetahuan sekitar kurun ke-14 ia juga disebabkan oleh pelbagai faktor dan bukan kerana adanya tentangan daripada agama. 

Pemisahan yang berlaku antara sains dan ilmu agama bukanlah kerana pertembungan dan perselisihan yang sukar dielakkan. 

Merujuk kepada Al Ghazali, misalnya, Dallal melihat pemisahan yang dibuat oleh imam besar itu bukan kerana beliau tidak menghayati prinsip-prinsip sains dan akal fikiran. Ia lebih kerana beliau tidak merasakan perlu untuk bergantung pada dalil-dalil sains atau falsafah bagi menegakkan hujah-hujahnya mengenai agama dan ketuhanan. 

Beginilah keadaannya dalam sejarah perkembangan ilmu agama dan sains seribu tahun lalu - dengan setiap bidang ilmu itu walaupun berkembang selari tetapi tetap dengan peranan tersendiri masing-masing. 

Justeru, Dallal berhujah bahawa adalah tidak bijak sebarang langkah untuk mengaitkan agama dengan sains, yang menjadi agenda sesetengah masyarakat Islam hari ini.

Beliau melihat usaha tersebut sebagai satu langkah yang kaunter-produktif, malah memandang ke belakang.

Ahmad Dallal, Profesor Sejarah warisan Arab-Islam

Sebarang agenda sedemikian, menurut Dallal, merupakan “satu kejahilan, malah penyelewengan terhadap sejarah.” 

AGAMA SEBAGAI ALAT

Kebimbangan yang disuarakan oleh Dallal ini memanglah kena pada tempatnya di mana sudah terdapat banyak bukti hari ini bahawa sebarang usaha mengaitkan agama dengan bidang-bidang di luar peranannya membawa kepada kemudaratan dan penyelewengan.

Kalau dalam bidang politik umpamanya, ada sahaja pihak yang menjadi ‘penunggang agama’ dan kalau dalam bidang ilmu pengetahuan dan perniagaan ada sahaja yang mempergunakan agama untuk tujuan dan kepentingan masing-masing.

Meskipun demikian dalam banyak hal lain agama sebenarnya tetap berperanan. Misalnya, dengan memahami ajaran dan prinsip-prinsipnya yang sejati,  kita sepatutnya boleh membuat penilaian yang baik tentang bila sebenarnya agama boleh menjadi sumber ilmu pengetahuan dan bila ia  sudah menjadi bahan ‘tunggangan’ petualang-petualang agama.

Begitu juga dalam kita membuat renungan terhadap bulan dan alam semesta, perhatikanlah dengan teliti di mana kita perlukan agama dan di mana kita sepatutnya bergantung kepada sains, teknologi dan falsafah untuk mendapatkan penghayatan yang  sebetulnya.

Janganlah pengetahuan kita tentang sang rembulan sekadar  umpama 'burung pungguk rindukan bulan' sahaja.

Sebaliknya ia haruslah berdasarkan penghayatan sains dan ilmu pengetahuan sihat yang  berpandukan nilai-nilai agama tulen dan sejati. 


- BERITAmediacorp/IB

Top