Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Budaya politik sihat menjamin kesejahteraan dan kemajuan

Nilai-nilai tradisional yang kuat dengan fahaman feudal lebih banyak kesan negatif kepada masyarakat jika ia terus diamalkan tanpa mengira kira keadaan masyarakat yang sudah berubah.  

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Budaya politik sihat menjamin kesejahteraan dan kemajuan

Rumah kampung S'pura, 1907 (New York Public Library)

Sekitar buku:

KERAJAAN Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule oleh Anthony Milner (SIRD, 2016)

MALAYSIAIslam, Society And Politics disunting Virginia Hooker & Norani Othman (Iseas, 2003)

Amalan-amalan lama seperti tidak boleh memakai kasut atau membawa payung ketika melalui kampung-kampung orang tertentu, mungkin tidak lagi berlaku hari ini.

Ia antara adat feudal yang telah lama ditinggalkan oleh masyarakat Melayu yang suatu ketika terpaksa mengamalkannya seperti yang digambarkan oleh Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke pantai timur semenanjung Melayu.  

Hanya dengan menghentikan nilai-nilai feudal sebegini, seperti yang berlaku di Singapura sejak 200 tahun lalu,  barulah masyarakat boleh mengecapi kemajuan dan kesejahteraan.

Banyak nilai tidak baik yang diamalkan di bawah sistem feudal Melayu lama terutama di kalangan golongan  bangsawan;  termasuk penindasan dan ketidakadilan terhadap rakyat, kemewahan berlebihan dan kehidupan berpoya-poya, serta kegilaan terhadap kedudukan, pangkat dan darjat kebesaran.

NILAI-NILAI FEUDAL

Bertentangan dengan nilai-nilai begini adalah nilai-nilai seperti kesejahteraan dan kesamarataan rakyat, kerja keras untuk kepentingan bersama dan kesederhanaan dalam gaya hidup dan tindak tanduk.

Nilai-nilai baik ini memang bertentangan dengan nilai dan sikap pemikiran feudal, malah ia juga adalah nilai-nilai yang sangat dituntut oleh agama seperti Islam.

Sejauh manakah nilai-nilai feudal membentuk sikap dan budaya politik Melayu – dan sejauh manakah ia menjalani perubahan - menjadi topik perbincangan Anthony Milner, dalam dua tulisan beliau.

Pada era sebelum rantau Melayu termasuk Singapura jatuh ke tangan penjajah sepenuhnya, kehidupan dan budaya politik Melayu, seperti digambarkan oleh Munsyi Abdullah, nyata sekali dipengaruhi oleh nilai-nilai feudal.

TERLALU MENGONGKONG

Pada satu segi Milner mendapati bahawa kehidupan Melayu pada era sebelum penjajahan menunjukkan ciri-ciri keterbukaan, semangat individualistik dan bebas bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Malah dari segi identiti Melayu sendiri, adanya banyak kelonggaran yang tidak mengikat seseorang itu pada sesuatu lokasi mahupun takrifan apa itu Melayu.  

Namun pada satu segi yang lain pula di bawah zaman feudal, kita dapati seseorang itu sebenarnya tidak mempunyai identiti lain kecuali yang berkaitan dengan raja – baik sebagai hamba atau orang suruhan, atau pun sebagai kalangan bangsawan yang berpangkat dan berkedudukan tertentu.

Kuasa seseorang raja atau sultan adalah mutlak sehingga tiadanya ruang,  baik dari segi fizikal atau pun mental di mana seseorang itu boleh terlepas daripada kawalan dan pengawasan raja.

Seperti yang ditunjukkan oleh Munsyi Abdullah, terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Melayu pada pertengahan kurun ke-19, terlalu banyak adat dan amalan yang terlalu mengongkong seseorang itu demi kepentingan raja dan kerabatnya.

Pada satu pihak ketidakadilan dan pelbagai rintangan dikenakan ke atas rakyat dan pada satu pihak lain pula, rakyat sendiri bersikap pasrah dan menerima apa sahaja nasib yang bakal menimpa mereka.

Inilah yang menjadi dasar utama budaya politik yang dipengaruhi nilai-nilai feudal. Kesannya ke atas masyarakat dan negara tentunya besar sekali.

KEROSAKAN JIWA DAN MORAL

Antaranya ia menimbulkan kerosakan jiwa dan moral kepada semua pihak baik yang memimpin dan yang dipimpin.

Apa yang betul dan apa yang salah tidak lagi dapat dibezakan.

Dari segi ekonomi pula, negeri dan rakyat sama-sama menjadi miskin kerana kemalasan dan tiadanya inisiatif untuk melakukan sesuatu bagi membaiki keadaan.

Ini kerana bagi rakyat biasa, tiada guna mereka mempunyai kekayaan kerana semua harta benda, malah juga anak isteri, boleh sahaja dirampas untuk menjadi milik raja atau pembesarnya.

Dengan demikian memanglah tidak menghairankan mengapa rakyat dan negeri boleh menjadi terlalu miskin dan tidak bermaya sama sekali.

Rintih mereka seperti yang dirakam Abdullah:  ‘Apa guna rajin kita itu? Maka jikalau mendapati sedikit wang atau makanan, nescaya dilobakan dan dirampas oleh orang besar itu”.

Namun, menurut Milner dasar dan budaya politik Melayu tidaklah statik dan terus membeku seperti dalam zaman feudalnya.

IDEOLOGI ‘KERAJAAN’

Dalam  kajiannya terhadap tiga teks Melayu dalam era di ambang penjajahan: Hikayat Deli, Hikayat Pahang dan Hikayat Johor, Milner menghujahkan bahawa nilai-nilai feudal dan budaya politik Melayu sebenarnya telah  menjalani perubahan.

Dua faktor utama menurut beliau adalah kedatangan Eropah – dengan sistem nilai dan budayanya – serta pengaruh daripada kebangkitan Islam pada lewat kurun ke-19, menjadi pendesak kepada perubahan ini.

Ideologi ‘Kerajaan’ di mana institusi raja dan nilai-nilai feudal memainkan peranan besar dalam mencorak pemikiran dan budaya politik Melayu, pada era tersebut berdepan dengan cabaran ‘nilai-nilai baru’ yang menjadi alternatif kepada masyarakat Melayu.

Di bawah zaman yang membawa ‘angin pembaharuan’ ini, ideologi tersebut perlu disesuaikan walaupun kedudukan raja dan sesetengah nilai feudalnya (seperti penekanan kepada adat istiadat, darjah kebesaran dan kedudukan martabat) masih tetap diamalkan.

PERANAN SIMBOLIK

Namun semua ini diamalkan dengan alasan-alasan yang baru, bukan untuk mengagung-agungkan institusi beraja  semata-mata. Alasan baru itu adalah institusi tersebut masih penting kerana peranan simboliknya.

Kalau dahulu ‘kerajaan’ atau keadaan mempunyai raja itu menjadi wajib dengan sendirinya dengan seseorang itu berhak menjadi raja semata-mata kerana keturunannya.

Selepas menjalani perubahan ia kini dilihat penting kerana berperanan sebagai ‘pelindung’ dan ‘penyatu rakyat’ dan sebagai ‘lambang jati diri’ dan ‘budaya Melayu’.

Semua perubahan ini menunjukkan bahawa institusi dan tradisi Melayu memanglah tidak statik dan mampu berubah dalam memenuhi keadaan semasa.

Berapa lama tradisi dan nilai-nilai silam ini dapat bertahan semuanya bergantung kepada sejauh mana masyarakat menilainya berharga dan tetap relevan untuk kehidupan seharian mereka.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan